ring2.jpg

BULAN Syawal disambut dengan meriah sebagai bulan meraikan kemenangan setelah berpuasa selama sebulan. Bulan Syawal juga dijadikan sebagai satu landasan untuk saling maaf-memaafi antara satu sama lain dan mengikat semula silaturrahim yang semakin renggang kerana urusan masing-masing. Proses mengeratkan silaturrahim berlaku dengan aktiviti kunjung mengunjungi serta menziarahi sahabat lama ataupun sanak saudara yang jauh di mata.

Selain itu, aktiviti rumah terbuka juga dijadikan alasan untuk bertemu dan bermersa dengan kenalan atau sahabat handai. Melalui aktiviti rumah terbuka yang mengumpulkan pelbagai kaum, agama dan bangsa, sudah pasti ikatan silaturrahim dapat disemai sebaiknya. Pendek kata, bulan syawal adalah bulan yang baik dan berkat untuk kita mengikat semula silaturrahim sesama manusia.

Bulan Syawal bukan sahaja diraikan untuk hari raya. Bagi pelajar sekolah, cuti yang diperuntukkan digunakan sebaik-baiknya untuk berehat atau membantu ibu bapa di rumah. Selain itu, ramai juga yang mengambil kesempatan atas cuti raya dan cuti sekolah pada bulan ini, untuk mengadakan majlis perkahwinan untuk anak-anak mereka.

Tidah hairanlah selari dengan penerimaan kad ucapan hari raya, kita juga turut menerima undangan walimatulurus yang bertali arus. Selari dengan pemberian ‘duit raya’, kita juga pening dengan pembelian hadiah untuk pengantin. Aktiviti hari raya bertambah sendat. Pagi berhari raya di rumah pak cik, petang pula menghadiri majlis kahwin anak mak cik. Apapun, bulan yang baik ini memang wajar dimanfaat oleh bakal pengantin untuk menamatkan zaman bujang mereka.

NILAI SEBUAH PERKAHWINAN

Perkahwinan merupakan suatu ketetapan oleh Allah s.w.t dan sunnah Rasulullah s.a.w. Fungsi perkahwinan bukan hanya semata menyatukan dua jiwa untuk melayari bahtera yang dinamakan rumah tangga. Malahan perkahwinan lebih kepada suatu ibadah dan melaksanakan sesebuah perkahwinan memerlukan tanggungjawab kedua-dua pihak.

Terdapat banyak dalil al-Quran yang menerangkan kepentingan perkahwinan dalam kehidupan manusia. Antaranya dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara kekuasaan- Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Ini jelas menunjukkan perkahwinan adalah suatu ibadah yang seterusnya menghasilkan pelbagai perkara yang baik dalam kehidupan manusia. Di dalam perkahwinan terkandung nilai tanggungjawab, kasih sayang, silaturrahim, dan sebagainya. Sudah pasti sedari awal proses berkahwin, harus dilingkungi dengan nilai yang tidak membelakangkan syariat. Perkara-perkara sebegini yang akhirnya akan membentuk keluarga dan generasi yang akan meneruskan agenda agama dan negara.

ANTARA TRADISIONAL DENGAN MODEN

Majlis perkahwinan masyarakat Islam melalui evolusi masa selari dengan perkembangan masa kini. Pada zaman dahulu, majlis perkahwinan yang dilaksanakan lebih kepada bertujuan memberitahu kepada masyarakat bahawa pasangan tersebut sudah mempunyai ikatan yang sah untuk bersama sekaligus menolak fitnah masyarakat terhadap mereka.

Tidak banyak perkara yang berbentuk kewangan melingkari majlis perkahwinan tradisional kerana nyata tujuan majlis dilaksanakan adalah untuk menyatukan pasangan, mengelakkan fitnah serta meraikan tetamu secara sederhana. Silaturrahim yang wujud juga semarak dengan kehadiran jiran tetangga dan sanak saudara dalam membantu urusan majlis walimah itu.

Ditambah lagi dengan bantuan penduduk kampung yang bertindak sebagai penanggah yang bertungkus lumus di bahagian dapur atau kendarat yang menguruskan pemberian cenderamata dan menjaga makan minum tetamu yang hadir. Oleh kerana itu, majlis perkahwinan tradisional meninggalkan banyak kesan pada sistem kemasyarakat dan peraturan sosiobudaya masyarakat.

Majlis perkahwinan moden dilingkari elemen-elemen kemeriahan dan kemewahan. Setiap perkara dititikberatkan seperti soal pemilihan pakaian pengantin, baju persalinan, tempat majlis diadakan, tetamu yang akan dijemput, hiburan atau ole-ole serta cenderamata atau bingkisan istimewa untuk para tamu, khidmat dj dan sistem audio atau P.A system (public address system), andaman, pelamin, hantaran, jurugambar katering dan sebagainya.

Rentetan daripada itu, permintaan terhadap aspek ini menyebabkan wujud peluang niaga kepada perkhidmatan dan produk yang berkaitan dengan majlis perkahwinan. Hari ini pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tidak tidak perlu bersusah payah menguruskan majlis satu demi satu. Segala yang berkaitan dengan majlis perkahwinan hadir dalam bentuk pakej. Bakal pengantin hanya perlu menyediakan wang untuk menyempurnakan majlis itu kelak.

Malahan, bagi menyelesaikan konflik kewangan yang tidak mencukupi, ada usaha daripada pihak-pihak tertentu yang memperkenalkan skim pinjaman untuk majlis perkahwinan. Skim yang dikenali sebagai “skim kahwin dahulu bayar kemudian” ini semakin popular di kalangan pasangan masa kini. Sumber pinjaman bukan sahaja daripada agensi swasta malahan terdapat juga beberapa bank yang sudah mula menawarkan khidmat pinjaman untuk majlis perkahwinan.

Kemudahan sebegini dilihat sebagai memudahkan bakal pengantin dan juga mengelakkan fenomena lambat kahwin di kalangan wanita kerana si lelaki tidak mempunyai wang yang mencukupi. Anggaran majlis perkahwinan masa kini lebih kurang RM10,000 sehingga RM20,000. Itu tidak termasuk wang untuk hantaran yang kini mencecah puluhan ribu.

Dikatakan juga, kenaikan kos untuk majlis perkahwinan masa kini adalah disebabkan pengaruh oleh golongan kaya dan artis tempatan yang sengaja menguar-uarkan kehebatan dan kemewahan majlis perkahwinan mereka di media tempatan. Hal ini seterusnya mengubah persepsi masyarakat terhadap perkahwinan. Perkahwinan masa kini seterusnya dibayangi wang ringgit yang mengalir seperti air.

NILAI DALAM MAJLIS PERKAHWINAN

Persepsi masyarakat terhadap majlis perkahwinan berubah mengikut musim. Jika dahulu manusia memainkan peranan dalam mengendalikan sesebuah majlis perkahwinan, kini wang ringgit menjadi pertaruhan untuk menjayakan majlis tersebut. Konsep kesederhanaan dipinggirkan demi menjaga nama dan status di dalam masyarakat.
Tidak hairan kebanyakan majlis perkahwinan masa kini membelakangkan kewajipan dan mengutamakan hal-hal yang remeh dan akhirnya membawa kepada dosa dan maksiat.

Beberapa hari yang lepas, penulis menghadiri beberapa majlis perkahwinan kenalan dan sanak saudara. Meriah dan mengagumkan dengan segala bentuk hiburan serta bermacam-macam acara yang diadakan semasa majlis berlangsung seperti karaoke, acara kuiz, pertandingan menyanyi dan sebagainya.

Makanan yang dihidang berbentuk layan diri. Kendarat yang ada hanya berdiri dan memerhati persiapan makanan. Di sini silaturahim seharusnya terjalin antara tetamu dan tuan rumah atau pengendali majlis. Namun, masing-masing hanya menjalankan tugas – kendarat memerhati makanan, tetamu mengambil makanan, duduk, makan dan balik. Dahulu, kendarat antara orang yang penting dalam menjayakan majlis perkahwinan. Mereka mengangkat hidangan dari dapur, membersihkan meja, menghidang makanan dan mempersilakan tetamu untuk makan. Di sini terbentuk silaturahim antara mereka.

Hiburan untuk para tamu pada zaman dahulu adalah nasyid, qasidah, bacaan al-Quran dan marhaban demi memelihara majlis dari gangguan syaitan dan mengharmonikan majlis dengan zikrullah agar majlis tersebut dirahmati dan diberkati. Selain itu, hiburan yang berbentuk nyanyian dan pantun tradisi juga mengisi ruang majlis. Lagu-lagu perkahwinan didendangkan dengan kadar yang sederhana.

Kini khidmat dj dan penggunaan sistem audio yang canggih mengambil tempat dalam menghiburkan tetamu. Kadangkala lagu yang dipasang atau didendangkan tidak kena dengan majlis. Terdapat juga dj yang membawa penyanyi bersama untuk memeriahkan majlis.

Kesilapan yang wujud di sini ialah penggunaan sistem audio yang melampau ini mengganggu situasi majlis sehingga wujud kesukaran untuk tetamu berkomunikasi antara satu sama lain. Silaturrahim yang dijangkakan erat melalui majlis perkahwinan ini telah longgar dan hampir tiada.

Lagu yang membingitkan telinga juga menyukarkan petugas majlis dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ditambah lagi dengan gelagat penyanyi jemputan yang mendendangkan lagu sambil bergelek riang sudah pasti membuatkan mata pakcik-pakcik dan abang-abang terbeliak. Manakala mak cik-mak cik dan kaka-kakak pula panas hati sambil menjengilkan mata terhadap suami masing-masing. Sudah pasti dalam hal ini silaturrahim menjadi cacamerba bukan sahaja antara para tamu dan tuan rumah, malahan juga antara tetamu itu sendiri.

Selain unsur silaturrahim yang semakin pecah, banyak lagi unsur-unsur lain yang tidak wajar wujud dalam majlis perkahwinan masa kini. Tuan rumah yang menganjurkan majlis harus tahu apa yang disuakan kepada tetamu tidak menyalahi syariat. Begitu juga dengan tetamu yang hadir. Tetapkan tujuan menghadiri undangan bukan kerana menunjuk-nunjuk atau ada tujuan lain yang boleh mengundang dosa.

MAJLIS PERKAHWINAN DAN TUNTUTAN AGAMA

Melalui riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang tidak menghadiri undangan, dia telah menentang Allah dan Rasul-Nya.”

Manakala, ulama mazhab Shafie menegaskan bahawa memenuhi undangan menjadi kewajipan namun bergantung kepada keadaan majlis itu sama ada ia mengundang dosa atau mendapat pahala melaluinya.

Islam menetapkan agar sesuatu undangan itu wajib dihadiri atas alasan :

1. Orang yang mengundang adalah mukalaf ( orang yang telah cukup umur dan diwajibkan mematuhi hukum-hukum Islam), merdeka serta sihat pemikirannya.
2. Tidak dikhususkan kepada orang-orang kaya sahaja.
3. Orang yang mengundang beragama Islam.
4. Tidak ada kemungkaran dalam majlis berkenaan.
5. Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.

Namun, syarat wajib menghadiri undangan itu akan menjadi haram atau tidak boleh dihadiri atas sebab-sebab seperti yang berikut:

1. Jika Majlis menyediakan minuman yang memabukkan, hiburan yang melalaikan dan maksiat yang terang-terangan bertentangan dengan syarak.
2. Tuan rumah yang mengundang berlatarbelakangkan sifat yang keji seperi kaki judi, bapa ayam atau pelaku maksiat.
3. Jika yang menjemput bukan Islam.
4. Membezakan orang miskin dan kaya dalam majlis yang diadakan.
5. Makanan dan minuman yang dihidangkan haram di sisi Islam
6. Jika kad atau surat jemputan bersifat umum seperti diletakkan di balai raya, masjid, pejabat atau lain-lain atas nama semua rakan dan bukannya bersifat khusus.
7. majlis yang tidak diiringi dengan doa pembuka atau penutup serta tiada bacaan al-Quran walau sepatah ayat.
8. Majlis yang diadakan dipenuhi dengan pembaziran sehingga menonjolkan sifat riak dan sombong kepada yang menjemput.

Ini adalah antara perkara yang wajar diteliti oleh individu yang mengadakan sesuatu majlis yang memerlukan kehadiran tetamu untuk meraikannya. Perkara ini juga wajar diteliti oleh mereka yang ingin memenuhi undangan sesuatu majlis.

Kesimpulannya, mengadakan sesuatu majlis dengan tujuan tertentu serta dilingkungi sifat kesederhanaan atau wasatiah, amat digalakkan malahan boleh menjadi suatu ibadah kepada yang menganjurkannya. Bulan Syawal merupakan bulan yang mulia dan dipenuhi keberkatan apatah lagi dalam usaha mengelakkan maksiat dan menyambung tali silaturrahim. Selain meraikan pasangan pengantin dan tetamu, tuan rumah yang mengadakan majlis juga harus tahu tujuan majlis itu dilaksanakan.

Majlis perkahwinan merupakan satu majlis yang dipenuhi dengan kemanfaatan jika dilaksanakan dengan berhemah dan mematuhi ketetapan Islam. Kesederhanaan tidak akan memberi kesan terhadap persepsi masyarakat kerana persepsi atau pandangan Allah s.w.t lebih harus diutamakan daripada pandangan manusia biasa. Tetapi, pembaziran dan seterusnya diikuti dengan anasir maksiat sudah pasti akan menenggelamkan tujuan murni majlis tersebut seterusnya penganjur majlis tidak akan terlepas dari memikul bebanan dosa akibat kelalaiannya dalam menguruskan majlis itu.

Oleh itu, konsep wasatiah atau kesederhanaan bukan sahaja manfaat dalam usaha mengadakan majlis perkahwinan tetapi juga harus diterapkan dalam kehidupan seharian. Melalui konsep ini juga,bukan sahaja silaturrahim dapat dikukuhkan malah hubungan kita dengan Allah.s.w.t juga akan terpelihara.