rumah

Ini bukan gambar yang Salina ambil


“Tengok gambar hasil daripada lens kamu,” sapa Salina melalui ruang maya itu.

“Ini bukan hal lens yang mencantikkan gambar yang kamu ambil. Lens itu, bila jatuh ke tangan orang yang hebat seperti kamu maka hasilnya juga hebat,” balas saya mengagumi gambarnya dan merintih pada diri yang masih tidak tekal pada minat dan bakat sendiri.

KOMA

Dia, seorang Yang Berhormat (YB). Menjadi orang yang paling berpengaruh di tempat saya bekerja [menurut hemat saya].

Semalam, dan sebetulnya sama seperti hari-hari sebelumnya, dia menyuntik rasa kesepaduan antara kami. Pandangan hidupnya bermakna buat saya dan kakitangan yang lain.

Beberapa tahun lalu dia pernah menyarankan kod etika berpakaian bagi wanita agar tidak mengalami gangguan seksual. Cadangannya dibantah oleh rakan seperjuangannya sendiri yang mungkin juga suka seksualnya diganggu. Alasan mereka yang menolak kod etika berpakaian itu sangat dangkal.

Ada beberapa berita tentangnya yang agak kurang sedap di dengar. Mungkin permainan politik dan juga kedunguan ‘sang’ wartawan menyampaikan berita.

Semalam, saya dan juga mungkin kawan-kawan yang lain perasan, antara dia dengan yang lain-lain, siapa yang menjadikan kami sebagai bahan teknologi dan siapa pula antara dia dengan yang lain-lain menjadikan kami sebahagian daripada ‘world view‘ untuk melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

Saya kagum dengan YB yang seorang ini.

KOMA

“Malam ini, di televisyen ada cerita apa ya?” tanya dia yang punya aura seperti Bayu Adi Jata.

“Entah, mungkin Desperate Housewife,” jawab saya yang tidak punya aura Ariasha Cinta Castra.

KOMA

Malam tadi saya menonton sebuah dokumentari di Animal Planet. Tentang monyet yang dilatih untuk memetik kelapa. Lokasi di Sumatera.

Saya kagum. Bukan dengan isu yang dipaparkan tetapi cara ia digarap. Mungkin faktor teknologi yang kita tahu bangsa yang membuatnya itu sangat bijak dan berinovasi. Sudut merakam gambar yang baik, kesinambungan antara babak dan juga beberapa hal lain yang tidak mungkin saya jelaskan melalui bahasa ‘filem’ atau bahasa ‘penggambaran’.

Saya kagum. Saya pasti bukan teknologi semata yang menghasilkan sesuatu yang baik untuk tatapan dan pengetahuan. Ini bertitik tolak daripada world view orang yang merakamkannya.

Ini  kerana televisyen tempatan [yang bertaraf swasta] di sini juga pernah membuat liputan atau dokumentari isu yang sama. Tentang monyet yang dilatih memetik kelapa dan menjadi rakan paling baik kepada manusia, jika betul didikannya. Tapi paparannya tidak sebaik ini [yang saya tonton malam tadi]. Padahal orang yang membuat liputan dengan isu yang mahu dipaparkan adalah dari benua yang sama. Asia.

Kita perlu teknologi. Kita perlu pandangan hidup dengan acuan kita sendiri. Mungkin.

*Selamat menyambut ulangtahun kelahiran encik Bayu Adi jata.