“Kenapa senyap?” tanya seorang kawan.

“Saja. Malas bercakap. Dan tiada apa mahu dicakapkan,” jawab saya.

Sukar rupanya orang lain mahu memahami jawapan seperti itu. Padahal ia mudah.

Bercakap ialah soal diri sendiri. Kita berhak bercakap. Kita berhak diam.

Jika ada yang bertanya ,”kenapa?”

Kita wajar menjelaskan. Tapi penjelasan begitu memang sukar di fahami oleh orang lain.

Saya, dalam fasa memilih untuk diam. Diam untuk sesetengah hal dan sesetengah kawan. Untuk hal-hal yang tidak mahu saya cakapkan.

Faham.

KOMA

Saya kesal kerana saya lupa, peristiwa manakah yang saya terdengar hal ini ;

“Orang Melayu mudah di jajah kerana banyak bercakap. Pada zaman penjajah menguasai negara ini, mereka hanya mampu menguasai negara dan fizikal penduduk Melayu. Jiwa orang Melayu gagal di tawan. Dan puncanya adalah orang Melayu tidak banyak bercakap. Penjajah tidak dapat memahami budaya pemikiran orang Melayu. Mereka juga gagal mencari kelemahan orang Melayu yang ‘berat mulut’.”

Sambungannya ;

“Jadi mereka mula berbaik-baik dengan orang Melayu. Belajar bercakap bahasa Melayu. Belajar menghormati orang Melayu dan adat budayanya. Dari situ mereka tahu dan dapat menyenaraikan kelemahan demi kelemahan orang Melayu untuk mereka menjajah pemikiran bangsa Melayu.”

Mari kita lihat semula sajak Melayu oleh dua tokoh yang hebat ini. Mewakili dua zaman.

Dan kini, kesannya…

Walau negara sudah merdeka, penjajah masih boleh tersenyum riang. Agenda mereka menjajah pemikiran bangsa kita berjaya tanpa dipaksa. Tanpa berkerah tenaga.

Dan kita jadi bangsa yang taksub kepada hiburan. Meminggirkan agama. Bersikap terbuka untuk segala hal. Menuntut hak dan kebebasan bersuara. Melabelkan ‘kolot’ kepada mereka yang diam kurang bersuara serta bergaduh sesama kita sehinggakan seorang penyair dari Indonesia yang saya lupa namanya  berkata, “pergaduhan kita sesama bangsa dan budaya lebih hebat dan lama daripada bergaduh dengan penjajah di zaman dahulu.”

KOMA

Orang mudah membaca diri kita dengan perkataan-perkataan, serta gaya bahasa kita bercakap. Itu puncanya daripada kita,  jika dia melabel kita dengan begitu dan begini, kerana kita telah beri petunjuk kepada orang lain tentang sikap kita melalui percakapan.

Orang juga mudah membaca diri kita jika kita tidak banyak bercakap. Itu hal mereka, yang mudah menilai walau tidak tahu apa sebenarnya yang kita fikirkan. Itu prejudis namanya, wahai kawan.

akal.gifSEKUMPULAN ayam telah tersesat di dalam sebuah hutan dalam usaha mencari reban yang terletak di pinggir hutan. Keadaan hutan yang gelap menyukarkan ayam-ayam ini bergerak dengan pantas, apatah lagi ayam-ayam ini sedang membawa telur sebiji setiap seekor.

Ayam yang di hadapan sekali yang sudah tentunya merangkap ketua bagi ayam-ayam ini, mengarahkan anak buahnya supaya berkumpul rapat-rapat dan bersentuhan antara satu sama lain agar tidak tersesat dalam kegelapan hutan itu. Cuaca bertambah gelap. Bermakna sebentar lagi malam akan menjelang. Ketua ayam juga mengingatkan anak buahnya agar menjaga telur-telur itu dengan baik memandangkan telur itu akan dieramkan dan menghasilkan keturunan mereka kelak. Ayam-ayam yang lain mengangguk tanda faham dan setuju.

Ketua ayam memulakan langkah dengan teratur kerana keadaan dalam hutan yang gelap memungkinkan segala-galanya. Apatah lagi ketua ayam sendiri tidak arif dengan keadaan hutan itu dan dia tahu mereka bakal diancam dengan pelbagai halangan terutama daripada musuh ketat mereka, sang musang, yang sememangnya banyak berkeliaran di dalam hutan tersebut.

(selanjutnya…)

Seorang manusia boleh diumpamakan seperti sepohon pokok. Dari benih, ia bercambah menjadi tunas yang lembut yang boleh dibentuk dan cantik untuk dipandang. Apabila semakin besar, daun yang menghijau dan rendang serta pucuk daun yang segar kadangkala boleh menjadi tempat berteduh dari pancaran terik sang suria bagi manusia dan binatang. Seterusnya batang dan ranting yang kukuh dan mantap menjadi tempat bermain sang tupai, monyet dan juga binatang-binatang kecil yang lain. Juga menjadi tempat bagi manusia merehatkan badan dengan bersandar pada batangnya. Perdu akar yang berselirat dan mencengkam bumi pula menjadi alas untuk manusia merehatkan kepala. Manakala bunga-bunga yang memutik menjadi perhiasan alam paling indah dan sumber madu bagi sang lebah. Buah-buah yang masak meranum pula menjadi bekal dan sumber makanan bagi manusia dan juga binatang. Betapa sang pokok begitu bermakna dan berguna dari hujung akar hingga ke hujung pucuk daun yang muda.

Bagaimanapun, apa yang berlaku apabila ia semakin tua? Daun-daun semakin mengering dan kontang sehingga mudah terlerai dari ranting-rantingnya. Gugur satu persatu dan menjadi sampah yang berterbangan ke mana-mana. Jika tidak melayang pun, daun-daun itu pasti mereput dan akhirnya hancur di atas bumi. Batang dan rantingnya yang kering mungkin berguna untuk dijadikan kayu api. Bagaimanapun, ada juga daun-daun kering yang masih boleh diguna semula untuk dijadikan perhiasan.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah tergolong dalam kategori daun yang kering melayang ataupun daun yang boleh digunakan semula dan disimpan selama-lamanya? Jadilah warga tua yang berguna dan ‘berisi’, kerana ‘isi’ tersebut boleh dikongsi bersama generasi muda untuk mereka meneruskan hidup. Janganlah jadi warga tua yang mensia-siakan hari-hari terakhirnya. Seperti pepatah lama “Bak keris tersisip di dinding, bak pedang tajam tersarung”. Bukankah ‘manusia mati meninggalkan nama’?. Sebaiknya tinggalkanlah nama yang baik demi keturunan kita. Bagi warga emas yang beragama Islam, yang telah melakukan jenayah tidak kira kecil atau besar, masih sempat untuk anda bertaubat.

Daripada Abu Musa Abdullah Bin Qais al-Asy´ari r.a., Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Taala membuka tangan-Nya (meluaskan rahmat-Nya) pada waktu malam untuk menerima taubat orang-orang yang membuat kesalahan pada waktu siang dan juga membuka tangan-Nya pada waktu siang untuk menerima taubat orang-orang yang berbuat kesalahan pada waktu malam. Demikian adalah terus-menerus sehingga terbit matahari dari arah barat (hampir kiamat), setelah itu tidak diterima lagi taubat sesiapa.” (Riwayat Muslim)