Berlarilah sekuat kudrat.

Berpayunglah dengan setiap teduhan yang ada.

Atau biarkan sahaja titis-titis hujan membasahi diri.

Mendung.

Hujan.

Ia kadang memberhentikan apa yang baru bermula.

KOMA


HUJAN YANG TIBA-TIBA

Hujan yang tiba-tiba menyimbah bumi
tiba-tiba tanpa mendung awan
hati-hati dengan hujan begitu
Yang membunuh rasa tanpa amaran waspada

Tiba-tiba hujan yang menyimbah bumi
Mentari dingin sedari malam bawa ke pagi
Sedari pagi membawa ke senja
Adalah hujan yang membawa erti
Bukan secara tiba-tiba

Jika tiba-tiba hujan mencecah bumi
Mungkin juga hal yang besar
Tentang debukota yang perlu disuciputihkan
dosa pahala yang perlu dilunaskan
rindu yang basah mendesah
pohon yang rinduranum
langit yang bertukar warna
dengan matahari sunyi di sana.

Bumi yang disimbah hujan dengan tiba-tiba
Sekadar acah-mengacah musim menghilang
Sekadar main-mainan mentari dan awan
Sekadar usik-mengusik langit dan bumi

Bumi yang tiba-tiba dicecah hujan
Usah sama mencecah basah
Kelak mencecah pening
Menjadi rutin semakin pusing

[Antara puisi yang termuat di dalam Antologi Penyair Muda Malaysia-Indonesia 2009, sempena Pertemuan Penyair Nusantara ke-3, Kuala Lumpur 2009. Susunan S.M Zakir dan Ahmadun Yossi Herfanda. Terbitan PENA]

 maskara7.jpg

Saya jangkakan Maskara diadakan pada minggu kedua setiap bulan. Memang benar. Tapi untuk Maskara 7, ia diadakan pada minggu pertama bulan hadapan iaitu 1 Mac 2008 bagi memberi laluan dan ruang untuk Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan pada bulan April [bulan April Maskara tiada].

Oleh itu, saya tidak dapat menikmati Maskara 7, kerana tarikh yang ditetapkan telah diisi untuk agenda lain.

Bukan apa-apa pun saya tidak hadir. Maskara 7 akan tetap berjalan seperti biasa, malah mungkin lebih baik tanpa saya.

Kepada kamu yang ingin menikmati juadah yang biasanya disediakan oleh Cik Daun, Cik Amyz, Cik Nida dan kawan-kawannya, hadirlah dengan perut yang kosong ke Maskara 7.

Kepada kamu yang ingin bertentang mata dengan si naga yang gorgeous, Tok Rimau yang parentheses serta jejaka-jejaka urban di sana, datanglah tanpa prejudis dan ragu-ragu. Kamu akan temui segalanya. Diri kamu dan mereka.

Catat dalam diari harian kamu, tandakan pada kalendar, set kan di dalam telefon bimbit, atau tulis di helaian post -it dan tampalkan sahaja di mana-mana – skrin komputer, pintu tandas, dashboard kereta, atau paling praktikal di dahi kamu [ha ha ha], tuliskan :

Agenda    : MASKARA 7
Tarikh     : 1 Mac 2008
Masa         : 8.30 mlm
Tempat    : Rumah PENA

Semoga Maskara 7 berjalan dengan baik. Semoga Kamu yang hadir peroleh sesuatu yang bermanfaat. InsyaAllah

*Saya pernah cakap poster Maskara memang cool kan?