Apabila ada yang bertanya kepada saya tentang ciri yang bagaimanakah yang perlu ada dalam diri seorang penulis, maka saya bertanya kepada mereka semula, “apakah tujuan kamu menulis?”

Saya kira itu soalan yang selalu ditanya oleh pembimbing dalam bidang penulisan.

Apakah yang ingin kamu tulis dan apakah tujuannya. Kerana setiap perlakuan punya cerita dan matlamat tersendiri.

Di situ ada rangkak, jalan, lari dan tersungkur yang perlu kamu pelajari dan beritahu orang lain.

Ada bangun yang penuh kental.

KOMA

Ceramah Penulisan dan Bengkel Cerpen bersama Puan Nisah Haji Haron.

Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Penulis Negeri Sembilan [PEN] akan mengadakan ceramah “Asas Penulisan Cerpen” dan Bengkel Cerpen Intensif bersama penulis muda terkemuka Puan Nisah Haji Haron. Butiran program adalah seperti berikut :

Tarikh : 8 Mei 2010

Hari : Sabtu

Tempat : Dewan D’Ark, Taman Sri Kasih, Senawang

Sesi ceramah akan bermula jam 9:00 pagi diikuti sesi bedah cerpen [bengkel]. Sesi ceramah terbuka kepada umum, manakala untuk menyertai sesi bengkel, peserta digalakkan menghantar cerpen untuk dibedah sebelum atau pada 30 April 2010.

Yuran penyertaan untuk kedua-dua sesi cuma RM50, dan sekiranya ingin menyertai sesi ceramah sahaja yurannya hanya RM20. Sesiapa yang berminat boleh hubungi saya : tejamanis@gmail.com

KOMA

Rajin dan berbakat. Pengalaman dan bakat. Ilmu dan bakat.

Ini bermakna bakat tidak boleh bergerak sendiri. Harus juga bergandingan dengan konsisten yang tinggi iaitu rajin. Pengalaman yang dimanfaatkan serta ilmu yang sentiasa ditambah. Ilmu itu termasuklah memperkaya diri dengan ilmu-ilmu baharu dalam dunia kreatif, membaca situasi dunia penulisan semasa, silaturrahim yang baik dengan kawan-kawan penulis, dan tahu apa yang perlu ditulis dan medium yang bagaimana tulisan itu harus disebarkan.

Jadi, jangan rasa kamu tidak perlu ke bengkel penulisan dan kelas bahasa hanya kerana beranggapan kamu berbakat dalam bidang penulisan dan tidak perlu tunjuk ajar sesiapa.

Berbengkel sehingga mati. Teringat kata-kata yang saya ungkapkan semasa bengkel penulisan cerpen sebelum ini.

Merangkak, berjalan, berlari, tersungkur, dan bangun semula. Itulah penulisan.

DSC_0185

“Saya akan terus datang ke bengkel begini, sampai mati.”

Itulah antara kata-kata akhir saya di bengkel yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan [PEN], hari Sabtu yang lepas.

Umbara Sastera III dan Bengkel Penulisan Cerpen 2009.

KOMA

Saya benar-benar nantikan bengkel ini. Alhamdulillah, kerana tarikhnya dipercepatkan. Jika masih tarikh yang sama [21 November 2009], manakan mungkin saya dapat menyertainya kerana terlibat sepenuhnya dengan Pertemuan Penyair Nusantara 2009.

Penantian terhadap bengkel ini berdasarkan beberapa alasan;

  1. Kerana fokus penulisan saya mula kecamuk dengan pelbagai kerja yang berlainan bidang. Saya perlu mencari titik fokus itu dan membinanya kembali memandangkan saya sendiri kesal dengan semangat yang turun naik sehingga malu apabila orang menggelarkan saya penulis, sedangkan tiada karya yang terpapar di dada akhbar atau majalah.
  2. Kerana seorang insan yang begitu dekat dengan saya. Ani Izzuani. Saya yang mencetus rasa dan semangat kepadanya untuk terus menulis. Jadi, saya juga perlu bersama-sama beliau meneruskan apa yang telah dicetuskan itu.
  3. Ingin bersama-sama dengan PEN membina generasi pelapis yang aktif menulis seperti Puan Nisah, Puan Mahaya, Amiza Khusyri, Syarifah Salha dan ramai lagi.

Dan beberapa sebab lain yang saya kira, saya sangat teruja dengan bengkel ini.

Dan seperti yang dijangka ia tidak pernah mengecewakan saya.

Pesona, siapakah yang mampu menepisnya.

KOMA

DSC_0069

Sesi pagi dipenuhi dengan bicara tentang pembinaan cerpen. Proses penghasilan cerpen yang telah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam baru-baru ini. Puan Nisah Haron dengan cerpennya Aset Istiqamah, Puan Syarifah Salha dengan cerpennya Tangisan Daerah terpinggir dan juga Encik Amiza Khusyri dengan cerpennya Kasad.

Suatu hal yang perludan wajar di beritakan kepada penulis muda [muda di sini bukan merujuk usia, tetapi pengalaman menulis], ialah tentang hal ini. Proses penghasilan.

Betapa setiap penulis mempunyai cara dan pandangan tersendiri bagaimana mahu memanipulasikan sesuatu peristiwa ke dalam bentuk yang kreatif. Semata-mata kerana ingin memberitahu masyarakat, mendidik juga menyampaikan apa yang terbetik di hati.

Tahniah untuk ketiga-tiga penulis yang lahir dari Persatuan Penulis Negeri Sembilan ini.

Pesona yang memancar, akan disimpan di dalam jiwa.

KOMA

DSC_0126-2

Sesi kedua di sebelah petangnya membuatkan diri saya teruja yang luar biasa. Pembedahan cerpen. Terdapat 9 cerpen hasil nukilan peserta akan dibedah. Doktor pakarnya ialah Puan Nisah dan Encik Amiza Khusyri. Kami dilantik menjadi doktor juga. Doktor pelatih.

Satu persatu cerpen dibedah. Pelbagai perkara dikongsi bersama. Kritikan dan cadangan diberi. Saya suka sesi begini kali ini, berbanding dengan bengkel yang lepas yang juga diadakan oleh PEN.

Jika dahulu, peserta akan dipanggil seorang demi seorang berhadapan dengan pengkritik. Kali ini kami membentuk bulatan dan saling bertukar pandangan mengenai cerpen masing-masing. Sangat bagus dan semakin banyak perkara dapat dikongsi.

Tidak terbetik juga rasa malu kerana masih menyertai bengkel begini walaupun telah banyak bengkel yang saya sertai dengan tiada karya yang keluar di media. Persepsi terhadap bengkel berubah. Bengkel penulisan bukan untuk penulis baharu, ia untuk penulis lama juga. Bagi menyuntik semangat dan berbincang isu-isu terkini gaya penulisan.

Seketika, cerpen saya dibedah. Maaf kepada peserta kerana cerpen itu mengubah suasana menjadi sedikit pilu. Saya akui, ceritanya memang pilu. Mujur saya mampu menahan air mata.

Maaf juga Puan Mahaya kerana cerpen itu mengembalikan puan kepada cerita lama. Sesungguhnya, ia sekadar luahan rasa saya. Dan saya kira babak air mata yang berlaku bukanlah drama. Ia menunjukkan betapa sesebuah karya, jika ditulis dengan ‘rasa’ maka, hasilnya juga mengundang ‘rasa’ dan inilah yang penulis mahukan.

‘Mak Ngah’ ialah karya saya yang pertama yang saya rasa sangat berpuas hati. Disiapkan sehari selepas Pak Ngah meninggal dunia. Dihasilkan dengan suasana masih pilu. Jadi, saya kira ia menyumbang kepada penghasilan karya sebegitu. Terima kasih pujian dan semangat yang diberi untuk saya meneruskan penulisan. Insya Allah, akan diperbetul apa yang kurang dan cuba dihantar ke media dalam masa terdekat.

KOMA

DSC_0088

Ani Izzuani ialah sepupu saya. Sebetulnya kami tidak serapat ini. Semasa dia terlantar di hospital akibat penyakit paru-parunya, saya hanya melawatnya sekali. Dan sekali itulah yang penuh air mata. Kami sangka hayatnya tidak panjang. Alhamdulillah, dia diberi kekuatan untuk terus bernafas walaupun dengan bantuan alat oksigen.

Pergerakan beliau terhad dan tidak boleh melakukan banyak aktiviti. Apatah lagi tidak boleh bebas ke sana ke mari.

Jadi, apabila dia menangis semasa berada di bengkel, menyatakan jangkaannya yang jauh meleset, saya jadi sedih. Jangan malu dengan air mata yang gugur itu, kerana di situ ada hati yang akan berkata, ada akal yang akan mencerna. Teruskan menulis Ani. Insya Allah, saya akan bantu sebaik mungkin.

Terima kasih kepada semua peserta kerana tidak pernah memandang keupayaan fizikal sebagai halangan untuk mereka bermesra.

Bengkel kali ini benar-benar hidup. Tahniah untuk PEN. Terima kasih Puan Nisah dan Encik Amiza Khusyri yang bersungguh menjayakan bengkel ini.

Jika ada bengkel sebegini lagi, saya akan sertai juga. Sehingga mati. Kerana pesona untuk menulis, jika tidak dihidupkan, ia akan mati.

Gambar bengkel dimuatkan dalam FB saya.

Laporan selainnya :

Nisah Haron

Syafiq Zulakifli

Amiza Khusyri

Ani Izzuani

Syarifah Salha

Mya Marja

acar

“Nenas, timun, lada besar, bawang, sedikit gula dan sedikit cuka. Ini bahan untuk acar,” jelas ibu.

“Sedap kah?” tanya saya.

“Sedap jika betul gaulnya dan betul sukatannya. Juga sedap jika memang kamu suka,” sahut ibu.

“Oh, macam menulis dan membaca buku la kan?” tanya saya lagi.

Dan ibu senyum sambil terus menggaul bahan-bahan itu membentuk figura ‘acar’ yang sedap dimakan bersama nasi minyak dan ayam masak merah.

KOMA

Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen), anjuran DBP dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) telah berlangsung minggu lalu dan saya salah seorang pesertanya [yang masih gagal memahami konsep penulisan cerpen].

Kata penganjur, “selalunya, pelajar yang sama dalam kelas yang sama setiap tahun, bermakna pelajar itu ‘kurang bijak’ “.

Itu konsep pengajian dan persekolahan. Kamu gagal dan terpaksa mengulang kelas.

Tetapi bengkel seperti ini, kamu tidak dikira ‘kurang bijak’ tetapi sentiasa mahu membaiki diri.

Usaha yang baik ini saya lihat di mana-mana. Pelbagai pihak terutama penulis dan penerbit banyak melaksanakan bengkel penulisan untuk memberi tunjuk ajar kepada penulis muda. Percuma atau berbayar.

Bukankah itu peluang  yang tidak harus kita abaikan?

KOMA

“Karya kita masih belum asli. Tema ikut acuan barat. Padahal dalam masyarakat kita banyak perkara boleh diperkatakan dan diadaptasi dalam bentuk penulisan.”

Itu kata-kata yang dilontarkan oleh pembimbing bengkel, YM Tuan Norizan Mohd Yunos (Ana Balqis).

Dan sejak akhir-akhir ini saya lihat penulisan karya kreatif di negara kita semakin baik dan rencam. Sudah banyak buku yang memperkatakan tentang nilai dan budaya masyarakat Melayu.

Saya bangga itu.

KOMA

Tajuk cerpen amat penting kerana ia akan menjadi kayu ukur pembaca untuk terus membaca.

“Ini apa ni, tajuk macam drama radio,” kata Ana Balqis.

Dan kami tertawa kepada empunya cerpen yang dibedah dan kepada diri sendiri.

KOMA

“Cuma harap ada sesuatu dapat dihasilkan. Percambahan semangat dan idea kadang perlu teman, kadang boleh sahaja sendiri-sendiri. Saya tahu kamu juga semangat mahu menulis,” katanya petang itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Iye, semangat. Pakai lawa-lawa tidak tahu ke mana, siap pen dan kertas tidak tahu nak tulis apa,” jawab sahabatnya yang tidak mahu digelar jejaka atau siapa-siapa.


“Mendokumentasikan sebuah pemikiran melalui tulisan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar kerana ia tidak boleh dipadam dan di baca oleh semua orang, sepanjang zaman” – Nisah Haron

Dan hanya dengan kalimat pembukaan itu saya sedar ‘hubungan kimia’ antara saya dan dia bermula.

Mungkin agak terlewat untuk saya membuat catatan tentang Umbara Sastera 2 dan Bengkel Asas Penulisan Cerpen anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Dan jadual hujung minggu yang lepas terisi.

Sesuai dengan namanya, Umbara Sastera, maka telahan saya tepat tentang pengisiannya yang cukup bermakna dalam santai. Membawa saya mengembara dan menjelajah minda dengan pelbagai cara memperkatakan hal-hal seputar sastera dan persuratan Melayu. Juga menggugah peserta dengan idea dan pendapat tentang dunia sastera.

Sangat bermakna bagi saya dan juga adik-adik atau rakan seperjuangan yang baru mula bertatih dan takut-takut mahu mendokumentasikan pemikiran melalui bentuk penulisan karya kreatif.

Sebenarnya, halangan dan alasan yang saya ciptakan bukan apa-apa. Bukan apa-apa. Itu hanya sekadar pemusnah semangat yang baru tumbuh.

Berhadapan dengan Puan Nisah Haron hari itu memang berlainan benar dengan situasi bertemu beliau di mana-mana (pesta buku dan DBP). Saya tidak pernah membaca karya beliau dan kebanyakan penulis wanita yang lain dengan alasan, saya seorang wanita yang ‘tiada kimia’ dengan penulis wanita. Maka, kebanyakan buku dan novel yang saya baca melingkungi kehidupan dan penulisan seorang penulis lelaki.

Aduh, malangnya mengikut kata hati dan menurut peraturan ‘kimia’ yang akhirnya membataskan saya kepada perkara yang saya nampak sahaja.

Bacalah, baca dan baca. Itu hakikat yang menjadi makanan kepada penulis dan membuka tirai perbincangan. Hatta, sasterawan negara A. Samad Said sendiri mempunyai tabiat membaca yang mengagumkan selain menjadikan kediamannya sebagai perpustakaan. Hal ini akan saya ulas pada entri yang lain.

Hari itu (19 Julai 2008), berhadapan dengan sebaris generasi muda yang giat berkarya membuat saya cemburu dengan kesempatan yang mereka gunakan sedari awal. Namun, bagai mengetahui kekesalan hati, Nisah Haron sendiri mengatakan bahawa tidak semua penulis menulis di usia yang awal.

Berkongsi pengalaman dan semangat dengan barisan panel merupakan sesuatu yang berharga terutama bagi adik-adik seawal usia 11 tahun yang turut menghadiri bengkel ini. Panel terdiri daripada Fahd Razy (penyair muda), Raihani Mohd Said (penyair tegar), Amiza Khusryi Yusof (penulis karya kreatif), Salina Ibrahim (novelis prolifik) dan Adibah Abdullah (penulis karya kreatif).

Turut serta memberi motivasi adalah Puan Mahaya selaku Ketua Satu PEN dan Syarifah Salha yang merupakan penulis muda angkatan baharu Negeri Sembilan.

Banyak perkara yang ingin saya kongsikan tetapi bukan di dalam entri ini. Hakikatnya, menulis sesuatu terapi pemikiran yang indah dan memberi banyak manfaat. Berdampingan dengan orang yang benar (penulis berdamping dengan penulis) akan memberi kelebihan berlipat ganda.

Saya perlukan semangat seperti ini. Perbincangan dan perkongsian rasa dengan kawan-kawan penulis. Mencerna idea melalui peristiwa yang sentiasa berlaku di sekeliling kita memberi ganjaran yang bergunung- ganang. Antara hendak dengan tidak melakukannya, menembusi tembok alasan, itu yang setiap individu harus putuskan sendiri.

Tahniah Umbara Sastera 2. Maklumat lengkap dan berkesan sila ke blog Nisah Haron dan Amiza Khusyri.