anak-anak

Nafi dan isbat kau sandingkan, sebagai tali pegangan

Nafi dan Isbat. Dua perkataan yang punya konsep dan makna yang berbeza. Apabila kedua-dua perkataan ini diletakkan pada tempat yang salah, maka jadilah ia seperti ini.

MAti adalah PASTI, dan hidup pula insyaAllah. Isbat yang mana yang mahu dinafikan?

Mati adalah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati.
Maksud Firman Allah s.w.t :

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Kiamat.”
( Surah Ali Imran ayat 185 )

[dipetik daripada SINI]

Pelbagai reaksi daripada pemimpin tentang video paparan kematian yang ditayangkan disebuah sekolah baru-baru ini. Pelbagai reaksi.

Fakta kanak-kanak 2-7 tahun secara ringkas:

  1. Perkembangan fizikal dan motor begitu pesat
  2. kanak- kanak ini berfikir secara tidak logik tetapi mereka boleh dan berupaya untuk berfikir berdasarkan imej mental
  3. Fikiran mereka adalah bersifat egosentrik iaitu tertumpu kepada diri sendiri
  4. Mula membuat imaginasi secara aktif

Pembangunan kognitif anak bermula sewaktu anak itu dilahirkan di mana 100 bilion sel otak telah tercipta.

Para saintis bersependapat bahawa otak memperoleh maklumat yang paling banyak dalam tahun pertama anak di mana 75% perkembangan otak terjadi. Inilah masa yang baik untuk mempelajari apa sahaja sebab pembelajaran memuncak antara usia 3 hingga 10 tahun, tetapi berterusan sepanjang hidup anak.

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

“Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (HR al-Bukhari)

Oleh itu, anak adam yang bagaimana yang mahu kamu lahirkan?

Adakah dengan pendidikan yang menjaminkan kekamilannya di dunia dan akhirat ataupun dengan pendidikan yang BEGINI, dan BEGINI .

Baru satu aktiviti islamik dilaksanakan di sekolah, sudah kecoh bagai dunia nak kiamat. Bagaikan anak yang melihat video ‘sajak kematian itu’ hilang AKIDAH.

Sedangkan banyak aktiviti non-islamik (dilaksanakan oleh orang yang mengucap syahadah), ‘bakal’ merosakkan akidah dipaparkan di sekeliling anak-anak, tiada pula pemimpin dan ibu bapa yang melompat marah.

Aduhai dunia!

Baca Juga RUMAH YANG KOSONG!

Katanya, aku pentafsir yang gagal mencari makna air di mata…

Ramai yang gagal dalam hidup kerana malas berfikir dan mentafsir. Itu kata abah yang sehingga kini silih berganti memperkaya hidup seorang anak. Kata abah lagi, setiap yang berlaku ada sebabnya. Sebab musabab yang melingkari hukum karma.

Setiap apa yang dilakukan hari ini ada kesannya di masa hadapan.

Setiap apa yang dilakukan hari ini ada balasannya di masa hadapan.

Abah memahami anak-anak dengan mengkaji setiap apa yang berlaku.

Kenapa ibu kepenatan walaupun bergelar suri rumah? Kerana banyak kerja rumah yang harus diselesaikan atau kerana tiada yang membantu ibu melaksanakan tugasan itu?

Kenapa adik mahukan sangat motosikal untuk ke sekolah? Adakah mahu menghargai masa agar tidak terlewat ke sekolah ataupun mahu menunjuk-nunjuk dengan teman yang lain?

Kenapa kakak berdiam durja mengurung diri di dalam bilik? Adakah kerana pertama kali datang haid atau pertama kali didatangi cinta?

Kenapa angah ligatnya bukan main? Kerana pengaruh teman atau salah asuhan?

Bermain dengan sebab musabab menjadikan abah manusia yang memanusiakan orang lain terutama anak-anaknya.

Tapi hari ini, manusia malas berfikir dan mentafsir. Senang-senang meletak atau menjatuh hukum tanpa usul periksa, gerangan apakah kesalahan itu dilakukan. Apa puncanya atau apa gelodak yang melanda.

Kalaulah abah punya banyak masa, mahu sahaja saya tanyakan pada abah mengapa ada manusia yang sanggup menyongsang arus, melakukan sesuatu yang menjadi kemarahan orang lain.

Jawapan abah yang paling saya pasti ialah, abah akan kaji mengapa si polan jadi begitu, si anu lakunya begini.

Tapi, tak semua abah begitu kan? Ada juga abah yang tak suka fikir-fikir, Tak suka kaji-kaji. Apa yang berlaku itulah dia. Maka kata putus segera dilontarkan, hukum segera dijatuhkan.

“Huisssh….bahaya tu,” kata abah.

Abah memahami anak-anak dengan mengkaji setiap apa yang berlaku. Dan seharusnya pemimpin memahami rakyat dengan mengkaji apa tindak tanduk yang diambil oleh rakyatnya.

Ini bukan kisah asamaradana dan imaginasi yang maha liar seorang gadis kepada jejakanya. s-m-s erotik itu tidak mengubah apa-apa pun. Percayalah!

Semua orang mengimpikan kedudukan yang teratas. Kononnya punya kuasa. Hendak buat apa pun boleh. Terutama untuk tujuan “merehatkan” diri atau “tidur-tidur” ayam.

Kedudukan teratas dikaitkan dengan kuasa. Tahu kan apa yang boleh kamu lakukan dengan kuasa?

kedudukan teratas juga memberi kelebihan yang pelbagai kepada kamu. Yang terutamanya sudah tentu kamu akan rasa lebih tinggi dari orang lain. Apabila kamu berada ditingkat yang lebih tinggi dari orang lain, maka dari situ kamu akan menyaksikan segala perkara;

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Percayalah, dengan berada di atas sahajalah kamu akan kenal semua perkara itu. Lantas apa tindakan kamu sebagai orang yang berada di atas? membiarkan sahaja atau berbuat sesuatu?

Zaman sekarang jangan tidak percaya jika melihat orang yang di atas selalunya hanya tidur-tidur-tidur.

Jika terlihat sesuatu kepincangan nilai kemanusiaan pun, mata mereka yang di atas seolah-olah kabur-buta-katarak.

Kadang juga mereka sengaja menulikan telinga dengan menyumbat earphone dan menikmati lagu-lagu pelbagai rentak, menghangguk-hanggukkan atau sekadar menggoyang-goyangkan kepala tanda menikmati kehidupan di atas itu. Satu escapisme yang baik untuk memutuskan silaturrahim dengan kelompok yang berada di bawah juga rakan-rakan yang berada di barisan atas.

Ahhh…itu semua tidak penting. Yang pastinya kamu sudah termasuk di dalam golongan di atas. Memang itu impian kamu kan? Juga impian mereka yang sentiasa mahukan acara yang lebih dari orang lain.

Dan kamu-kamu-kamu yang berada di bawah, menjalari hidup dengan berselisih dengan mereka yang berada di atas, masih perlu berhati-hati.

Kerana tidak semestinya yang berada di atas itu tidur-tidur belaka. Masih ada yang berjaga, memerhatikan dan mencatat segala yang kamu lakukan seperti…

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Dan teknologi terkini yang mereka ada akan digunakan untuk merakam segala perbuatan kamu yang tidak bermoral itu. Hati-hati dengan kuasa orang yang berada di atas yang tidak tidur dan memainkan peranannya sebagai manusia di muka bumi ini. Percayalah, kamu yang berada di bawah akan sentiasa diperhatikan.

*Entri ini ditujukan khas buat kenderaan-kenderaan kecil seperti kereta, van dan motorsikal yang berselisih atau berhenti di sebelah bas. Kami yang berada di dalam bas lebih tinggi kedudukan dari kamu. Kami dapat perhatikan dan merakam apa yang kamu lakukan di dalam kenderaan kamu.

Berhati-hatilah kepada kamu yang asyik meraba-raba peha gadis kamu yang berada di sebelah. Juga berwaspada kepada gadis yang memakai baju yang seksi yang boleh mempamerkan sebahagian buah susu kamu kepada kami yang berada di atas.

Dan terlebih penting, ketika kamu berseronok-seronok melakukan sesuatu yang tidak bermoral di dalam kenderaan kamu tidak kira kamu di kedudukan atas atau bawah, Percayalah, ada lagi yang di ATAS yang sedang memerhati kamu, mencatat segala perlakuanmu dan tidak terelakkan juga, segala yang kamu lakukan dimuka bumi ini akan dihitung kelak. Berhati-hati!


 noname.jpg

“Kesilapan besar saya sejak datang ke Kuala Lumpur ialah kerana bekerja keras melaksanakan tugas sebagai Menteri Kesihatan dan Naib Presiden MCA,” kata Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, yang meletakkan jawatan sebagai anggota kabinet dan melepaskan semua jawatan parti ekoran penyebaran rakaman cakera video digital (DVD) perlakuan seksnya. (petikan daripada Berita Harian Online, 4 Januari 2008).

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dengan tenang menghadapi situasi ini, mengaku, memohon maaf sekaligus melepaskan kesemua jawatan yang dipegangnya. Beliau yang merupakan pemimpin yang bekerja kuat, fasih menggunakan bahasa Melayu serta memberi sumbangan yang bukan sedikit dalam bidang perubatan dan kesihatan di Malaysia. Namun, hanya kerana kesilapan peribadi, beliau disingkirkan serta merta. ‘Pencerobohan peribadi’ yang dilakukan ke atas beliau dipercayai merupakan satu konspirasi menjatuhkan kerjaya politik beliau.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek merupakan antara pemimpin yang berkesudahan dengan tragis. Sebelum ini beberapa orang pemimpin tertinggi di Malaysia juga mengakhiri kerjaya politik dan kepimpinan mereka dengan kesudahan yang tidak manis. Skandal seks dan rasuah sering mengambil tempat sehingga seseorang pemimpin dilucutkan kepimpinannya.

Malaysia merupakan negara Islam yang menjadi contoh dan menjadi pujian negara-negara luar yang lainnya. Kes Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mungkin tidak akan menjejaskan kredibiliti Islam kerana beliau bukan beragama Islam. Namun, beliau harus sedar, sebagai seorang pemimpin di dalam sebuah negara Islam, nilai-nilai yang baik penting demi meneruskan kehidupan. Apatah lagi kepada pemimpin yang beragama Islam yang diberi kepercayaan untuk menerajui negara.

Sebelum ini, terdapat juga beberapa kes salah laku yang melibatkan pemimpin, tidak kira mereka beragama Islam atau bukan. Apabila salah laku itu berkaitan dengan skandal seks, pemimpin sering menggunakan alasan, mereka hanya manusia biasa yang mempunyai kehidupan peribadi yang tidak perlu diganggu gugat oleh mana-mana pihak.Teori sebegini yang akhirnya memakan diri para pemimpin dewasa ini.

Siapa sebenarnya pemimpin? Apa tanggungjawab mereka? Dan apa keistimewaan mereka?

Baca di SINI