Ada rasa semacam semasa membaca buku ini di dalam bas. Bukan kerana Indera Bumi yang menggetar dan berdengung…

Indera Bumi hanya bergetar dan berdengung di dalam novel ini, Takluk Jagat Bahagian 1, Bisikan Ariasha karya Zaki Zainol. Lagipun, jika benar Indera Bumi itu wujud, ia pasti berdengung manja, menandakan ia berdekatan dengan saya, orang yang baik [ha ha ha].

Novel Fiksyen Sains dan Fantasi ini diperkenalkan oleh saudara vovin ketika saya berlegar-legar di dalam gerai PTS semasa Karnival Buku Kuala Lumpur 2008 yang lepas.

Semasa saya masih membaca novel ini, dikhabarkan di dalam blog penulis ini, bahawa novel Takluk Jagat Bahagian II – Amukan Indera Bumi telah pun di terbitkan.

Sebenarnya saya tidak yakin untuk menghabiskan bacaan novel ini memandangkan novel ini katanya berkisar tentang fantasi purba, pertarungan, alam mistik, alam persilatan, dendam dan sebagainya. Namun, setelah membaca babak pertama, saya terkagum. Jadual harian menjadi terganggu kerana sibuk mencari ruang untuk melangsaikan bacaan.

Ini novel sai-fai kedua saya selepas saya membaca Opera Angkasa. Sudah pasti pengalaman membaca novel begini untuk saya masih kurang.

Saya terkagum kerana bahasa yang digunakan mudah difahami dan dapat memberi imaginasi yang jelas dalam fikiran. Unsur-unsur pemerian terhadap sesuatu misalnya, jurus silat dan hikmat yang digunakan oleh watak hero amat membantu pembaca untuk memahami jalan cerita. Penggunaan dialog yang mudah dan selitan unsur-unsur komedi sedikit sebanyak dapat meringankan perasaan yang cemas dengan sesi pertarungan di dalam novel ini.

Seperti Opera Angkasa, saya juga dapat menggambarkan beberapa adegan filem Lord of The Ring di dalam novel ini terutama dengan kewujudan keris takluk jagat dan Indera Bumi yang menjadi rebutan dan juga kehadiran alam bunian. Namun, itu tidak bermakna idea penulis tercemar. Saya sukakan ideanya dalam mengemukakan persoalan dendam, silaturrahim, ilmu persilatan dan persepsi watak hero tentang kehidupan. Sangat Melayu!

kesinambungan antara babak dan watak-watak yang wujud juga dipaparkan dengan baik. Pendek kata, membaca novel ini seolah-olah saya turut mengembara bersama Bayu Adi Jata dalam mencari keris Takluk Jagat di samping mencari keserasian dengan Indera Bumi. Dan, peta kawasan pengembaraan yang dilampirkan amat membantu.

Turut merasai segala babak yang dipaparkan dengan kemunculan watak-watak yang mempunyai perwatakan tersendiri yang sangat kukuh. Walaupun banyak watak yang ditampilkan dengan nama yang agak panjang, saya tidak mengalami kesukaran untuk membezakannya antara satu sama lain. Puteri Ariasha Cinta Castra, Zilastra Dunia Kencana, Cindrasari Kemala Dewi dan banyak lagi yang memiliki nama yang panjang tetapi indah. Setiap watak berdiri dengan perwatakan tersendiri.

Jika novel ini bukan sebuah novel, ia pasti menjadi sebuah komik yang menarik. Jika novel ini bukan sebuah komik, saya pasti ia boleh diadaptasi sebagai sebuah drama atau filem.

Saya suka novel ini! Untuk ulasan yang lebih baik, baca blog ini.

Saya jarang membaca novel atau cerita fiksyen sains dan fantasi. Istilah yang digunakan sudah cukup untuk membuatkan saya membaca ayat-ayat yang digunakan berulang kali.

operacover.jpg

Berlainan benar dengan novel Opera Angkasa hasil karya Nazri M Annuar. Novel fiksyen ini dibeli serentak dengan K-Eight [sindiket Sol-Jah] dan You Want A Gum, Sol-Jah? [sinaganaga].

Opera Angkasa [OA] . Tajuk yang simbolik dan sarkastik. Sesuai dengan isi kandungan, teknik penceritaan dan gaya bahasa yang digunakan.

Sinopsis [diambil dari blog penulis OA] :

Arman dan krew kapal angkasa Rajawali menjalankan khidmat pengangkutan kargo antara planet. Polisi mereka mudah: anda bayar, kami angkut. Tiada sebarang soalan ditanya. Suatu hari, mereka menerima tugasan yang disangka mudah. Tugas mereka: membawa pulang Faridah Hanum, anak saudara seorang senator yang pulang bercuti.

Namun ketika menjalankan tugas itu, mereka dikejar oleh pelbagai pihak termasuk lanun angkasa, pemburu upahan dan anggota kerajaan yang korup. Rupa-rupanya Faridah Hanum bukan gadis biasa. Gadis itu menjadi buruan kerana mewarisi kalung Raja Bersiung, salah satu daripada ‘empat Pusaka Kemusnahan’. Kalung itu adalah kunci yang mengaktifkan tujuh armada di tujuh galaksi. Sesiapa yang memilikinya dapat menguasai alam semesta.

Arman dan rakan-rakannya berusaha sedaya upaya menyelamatkan Faridah Hanum.

Dari situ merka membongkar satu lagi rahsia umat manusia….

OA bukan novel berat bagi saya yang baru bertatih mengenal fiksyen sains. Bertambah menarik apabila bahasa yang digunakan mudah difahami. Melayari cerita atau mengembara bersama Arman tanpa perlu melakar kisah perjalanan di kertas putih [yang seperti selalu saya lakukan apabila membaca buku fiksyen sains].

Saya suka bila penulis mengangkat unsur-unsur budaya seperti :

“bahasa Melayu adalah bahasa perdagangan. Tidak hairanlah pada era koloni angkasa ini, seorang yang bernama Julian Ananova boleh bertutur dalam bahasa Melayu…..Tidak fasih tanda mereka tidak boleh memajukan diri….”

Sebenarnya agak janggal bila membaca novel fiksyen sains yang menggunakan banyak gaya bahasa jenis sarkastik. Tidak banyak istilah sains fiksyen yang digunakan.

Mungkin juga novel ini dikategori sebagai sains fiksyen kerana ia berjaya menanggap pemikiran futuristik penulis iaitu keadaan manusia dan bumi beberapa ratus tahun ke hadapan.

Suasana debar saat melarikan Faridah Hanum yang merupakan pewaris empat pusaka kemusnahan, diselang seli dengan dialog-dialog bersahaja watak-wataknya. Cuma agak ganjil apabila hampir semua watak mempunyai gaya bahasa yang sama iaitu bersifat sinisme dan sarkastik.

Walau bagaimanapun, konflik yang diwujudkan releven dan tidak meleret sebagaimana yang berlaku dalam kebanyakan cerita fiksyen sains. Sekali imbas, cerita ini membayangkan sedikit [hanya sedikit] persamaan dengan filem Lord Of The Ring. Terutama aspek tentera batu, besi dan air. Dan juga watak pustakawan yang boleh hidup beratus tahun sama seperti watak Legolas Greenleaf [Orlando Bloom] iaitu kaum bunian yang membantu Aragon memerangi Battle of the Hornburg di Helm’s Deep.

Kelakar juga bila penulis memasukkan budaya birokrasi pegawai Persekutuan dalam novel ini. Dan putar belit sejarah lampau yang dilakukan oleh pihak tertentu, tidak mustahil berlaku pada masa hadapan sehingga kita tidak tahu asal usul bangsa dan bumi yang kita diami.

Saya suka novel ini. Kesal kerana tidak membacanya seawal penerbitannya. Kepada penulis OA, Nazri M Annuar, saya harap sambungan novel ini lebih baik, lebih sarkastik dan lebih memberi kejutan.

Sebenarnya, seperti novel-novel lain yang berada di pasaran, saya memang selalu ketinggalan. Sila baca ulasan lain mengenai OA di me, stilettos and presario, up and down in life and love.

*Ilyana dan Arman ? Ke mana hala tuju Faridah Hanum? Siapakah perempuan tua yang mengganggu Faridah dalam perjalanan Arman menjual Faridah kepada Alfonso? Kemana Ibu Arman menghilang? dan Begitu juga dengan bapa Faridah Hanum? Selain Faridah, siapakah 3 pewaris kemusnahan yang mempunyai kalung Raja bersiung?