noname3.jpg

Sudah dua minggu (2 kali) saya menghadiri kelas bahasa isyarat (handspeak/fingerspelling) anjuran Mysl. Menarik dan memberi kesan yang besar dalam memahami dunia orang pekak. Juga sukar dan memerlukan kesabaran bagi yang pertama kali mempelajarinya.

Keinginan mempelajari bahasa ini mungkin juga dipengaruhi oleh seorang teman yang terlibat secara langsung dengan dunia orang pekak ini. Juga selepas berhadapan dengan situasi tidak tahu mengucapkan ‘sama-sama’ untuk membalas ucapan ‘terima kasih’ seorang remaja pekak yang menjual rantai kunci yang cantik.

Selain itu, pernahkah anda menonton filem tamil bertajuk Mozhi? Ya, ceritanya sangat bagus. Percintaan dan kesenian yang berkisar tentang orang pekak dan bisu. Bagaimana jejaka yang normal, seorang pemuzik inginkan muzik yang diciptanya itu dihayati oleh si gadis yang pekak dan bisu? Saya baru beli VCD filem itu (tanpa terjemahan bahasa Melayu).

Kesempatan hujung minggu yang tidak terisi dengan aktiviti ilmu, saya ambil untuk mempelajari bahasa isyarat walau sekadar tahap asas. Memang sukar pada mulanya apatah lagi guru yang mengajar juga seorang yang pekak dan bisu.

Seperti komunikasi melalui suara, bahasa isyarat juga mementingkan bahasa badan (body language). Saya lihat, kebanyakan bahasa isyarat yang dipelajari menyertakan sekali fungsi bahasa badan melalui mimik wajah yang pelbagai. Oleh itu, ketidakfahaman tentang satu-satu isyarat yang diberi, mudah difahami melalui mimik wajah, pandangan mata, gerakan badan dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, bahasa isyarat berbeza dengan bahasa badan. Bahasa badan menjadi suatu subjek yang penting yang boleh diaplikasikan dalam semua subjek bahasa yang lain. Kerana bahasa badan itu lahir secara benar dan berlaku secara benar. Pendek kata, apa kita tuturkan selalunya tidak menggambarkan dengan tepat apa yang ingin kita sampaikan.

Teringat kata-kata, “mata tidak boleh menipu”. Percaya tidak, mata merupakan anggota badan yang boleh berbicara dengan pelbagai bahasa, pelbagai situasi, pelbagai makna.

Untuk bahasa isyarat, jika tidak tahu menyampaikan sesuatu maklumat, gunakan sahaja kaedah mengeja dengan isyarat ABC. Agak lambat. Eja satu persatu, tetapi lebih baik dari menggunakan bahasa isyarat yang salah dan akhirnya mengundang salah faham.

Dan untuk kes-kes tertentu seperti teman saya yang seorang ini,  hati-hatilah. Nasib baik kesan salah faham itu cuma kecil.

Untuk mereka yang ingin menggunakan kaedah bahasa badan, fahami konsep bahasa badan dengan baik. Dan selalunya bahasa badan setiap orang berbeza-beza. Kerana itulah, selalu timbul salah faham.

Dan akhirnya, sebaik-baiknya, cakap sahaja terus terang apa yang kamu ingin sampaikan. Bukankah itu lebih senang? Lagipun kamu telah dianugerahkan suara dan pendengaran yang baik. Jangan mengundang salah faham hanya kerana percaya bahasa badan kamu boleh difahami oleh sidia.

sisipan :

Jumaat. Memang penuh rahmat. Matahari belum bangun. Masih berselimut [tapi bukan selimut kulit khinzir].  Begitulah kebiasaannya hari Jumaat. Redup dan tenang.

Saya tidak lewat. Bermakna matahari tidak berjaya mencium pipi saya dan memanaskan tubuh saya. Bas yang hadir depan mata terus saya naiki.

Sepanjang perjalanan hati berdebar. Seperti debarnya tatkala  si gadis menanti lamaran jejaka.

Akhirnya.

psittacula3.jpg

Terima kasih encik kerana sudi meluangkan masa membuat ‘imej kepala’ [header] untuk blog saya. Saya sangat suka dan hari ini menjadi lebih baik untuk saya.

 daisies2.jpg

Hampir seminggu saya tidak bersama blog ini dan dunia pelayaran maya tanpa sempadan ini. Ini semua akibat proses perpindahan pejabat yang sudah pasti melibatkan aspek pemunggahan barang, mengemas atur barang di pejabat baru, menunggu talian internet yang kadang mengambil masa agak lama dan sebagainya.

Alhamdulillah, sebenarnya proses perpindahan itu tidak mendatangkan masalah. Cuma bantuan dari teman sepejabat dari tingkat yang berlainan sangat diharapkan. Bukan untuk menolong mengangkat barang, cukup sekadar memberi perhatian dan ucap selamat kepada bahagian atau jabatan kami yang akan berpindah. Namun itu tidak berlaku. Sedikit rasa tersingggung di hati jabatan kami sehingga melabel rakan pejabat dari jabatan lain sebagai tidak prihatin.

Alhamdulillah, talian internet dapat di sambung semalam, dan hari ini, saya mula menyusun atur jadual kerja semula. Mungkin ada rasa cemburu di hati seorang rakan yang juga baru berpindah pejabat tetapi masih tiada talian internet. Saya ucapkan takziah.

Namun, percaya atau tidak, hidup saya tidak terganggu dengan ketiadaan internet. Mungkin sedikit rasa janggal kerana rutin harian yang membaca akhbar secara online dan mencari maklumat secara tanpa sempadan dan kesahihan.

Sebenarnya aktiviti mengemaskini dan memasukkan artikel ke dalam laman web rasmi kami agak terganggu. Namun itu bukan bidang tugas saya. Saya hanya perlu menyediakan berita tempatan dan juga artikel untuk dimuatkan dalam web kami.

Tidak bersama dunia siber membuatkan ruang waktu saya agak lapang. Saya telah mula menulis cerpen dan menyiapkan artikel dengan tenang. Membaca beberapa buah buku ilmiah tentang sejarah dan kebudayaan bangsa Malaysia serta menghabiskan bacaan novel “Ayat-Ayat Cinta” karya Habiburrahman El Shirazy yang telah lama dicadangkan oleh seorang teman untuk di baca. Ulasan tentang novel itu akan saya luahkan jika ada kelapangan.

Hari ini, dunia saya kembali seperti sediakala. Datang ke pejabat lebih mudah dari sebelumnya. Hanya menggunakan bas di hadapan rumah sehingga ke depan pejabat. Tidak perlu bersesak menggunakan perkhidmatan komuter dan tidak perlu berjalan sekitar 10 minit dari KTM KL ke pejabat induk yang terletak di sebelah Masjid Negara. Itu semua tinggal sejarah.

Kehidupan yang baik seperti sekarang harus saya manfaatkan. Walaupun persekitaran pejabat baru tidak begitu tenang seperti di tempat lama, sekurang-kurangnya saya tidak perlu berasa tertekan dengan perjalanan pergi balik ke pejabat.

Pernah seorang teman bertanya, “bagaimana kehidupan di tempat baru? Pasti membosankan dan kelam kabut kan?”

Saya hanya tersenyum dan ingatan kepada kata-kata ibu menerpa dengan tenang.

“Tidak kira di mana pun kamu dicampakkan, pastikan hati kamu tidak mati. Hati yang bersih membawa kepada akal yang sihat. Jangan biar diri ditelan keadaan. Biar kita yang menguasai keadaan itu.”

Dan saya hanya diam seperti biasa. Menelan kata-kata ibu dengan hati yang hidup dan bersemangat. Diam-diam juga saya memuji kejadian ikan di laut yang masin. Walaupun hidup di air yang masin, ikan tetap tawar. Maknanya keadaan sekeliling langsung tidak mempengaruhi ikan tersebut. Kecuali jika ikan itu mati dan manusia menjadikannya ikan masin.

Ayat-ayat cinta dari ibu meniupkan hati yang baik buat saya. semoga hati ini kekal hidup dan akan berusaha menghidupkan hati-hati lain yang semakin layu dan rebah menyembah bumi.

*Saya kagum dengan penghasilan novel Ayat-Ayat Cinta Itu.

opis1.jpgSeperti Encik Nickmenza, saya juga akan memasuki fasa kegelapan. Sebenarnya bukanlah gelap sangat pun, tetapi agak suram, mungkin. Kegelapan dan kesuraman itu hanyalah berkaitan dengan kemudahan saya untuk berblog dan mencari bahan melalui internet.

Ini semua berlaku gara-gara bahagian saya akan berpindah pejabat minggu hadapan. Dengar khabar pejabat baru kami lebih selesa dan cantik. Walaupun terletak lebih tinggi tingkatnya dari sekarang, kami difahamkan ruang pejabat lebih tersusun dan luas. Alhamdulillah.

opis-2.jpgTapi, biasalah. Pejabat baru [yang baru dibaikpulih], masih tidak sempurna talian mayanya. Apa boleh buat. Terpaksalah saya bercuti [blog] seperti kawan saya di Sabah nun yang juga baru berpindah ke pejabat baru.

Sebenarnya perasaan berpindah ke pejabat baru atau rumah baru atau apa-apa sahaja yang berlabel baru, bukanlah satu perasaan yang menyelesakan. Seolah kita tiba ke satu tempat yang asing. Padahal sama sahaja.

opis-3.jpg

Hal ini boleh juga dikaitkan dengan cara kita berfikir selama ini. Sebab itulah ada kata-kata yang menyebut ‘berfikir dari luar kotak’. Kita harus sentiasa mengubah persepsi dan daya fikir. Statik atau disiplin yang terlalu keras, akan menyebabkan otak kita malas untuk bekerja dan hanya mengikut acuan yang telah ditentukan dari dulu hingga kini.

Apa salahnya sesekali memecah tembok berfikir…gunakan sudut lain untuk menilai, dan gunakan ruang akal yang berbeza untuk mentafsir. Tapi harus diingat, berfikir lain dari yang sebelumnya harus berlandaskan sesuatu yang waras. Bukan gila atau membabi buta.

opis-4.jpg Banyak perbezaan akan berlaku dalam rutin harian saya. Tambang bas semakin murah kerana tak perlu menaiki komuter yang gila itu. Hanya gunakan bas rapid KL dengan tiket yang sama pergi-balik. Dan saya juga tak perlu keluar senyap-senyap ke Sogo atau Jalan TAR kerana pejabat baru tu berdekatan dengan tempat-tempat kegemaran wanita [dan saya], Jadi, saya boleh mengunjunginya bila-bila masa [tanpa mengganggu waktu bekerja].

opis-5.jpg

 

Dan yang paling penting kaki saya semakin terpelihara kerana tak perlu berdiri lama dalam komuter] dan menjimatkan penggunaan kasut [tak perlu menapak dan mendaki bukit seperti sekarang] Alhamdulillah. Dari aspek daya kerja, harapan saya agar budaya kerja yang baik dapat saya teruskan kerana kerja itu kan satu ibadah.

Oleh kerana minggu ini adalah minggu terakhir saya berblog [mungkin] dan minggu terakhir menggunakan komuter, Mungkin saya akan membuat satu atau dua penggulungan mengenai perkhidmatan komuter yang mendominasi salah satu kategori dalam blog saya ini. InsyaAllah.

*proses mengemas dan mengotakkan barang-barang amat merimaskan.