Assalamualaikum, kawan.

Apa khabar kamu di sana? Sudah serasikah dengan tempat barumu?

Saya di sini biasa-biasa sahaja. Seperti janji kita dahulu. Supaya saya jangan sedih-sedih dan kamu juga jangan kekok memulakan hari barumu di sana.

Angin di sini masih seperti selalu. Kadang hembusannya kencang menerbangkan sebahagian rambut di sisi kening. Kadang ia lesu berhembus sehingga tidak terasa hadirnya.

Mentari juga, kadang ia panas. Memberi harapan dan segunung impian. Tiba-tiba pula ia menghilang.

Hujan yang dahulunya saya kagumi sehingga leka berteleku di jendela, juga hadir kadangkala. Mungkin rindukan kamu yang juga suka pada titits-titisnya. Indah. Dan dari atas ini, kita bersedia dengan kamera, merakam gelagat manusia yang kadang bergembira dengan titis-titisnya dan kadangkala cemuh mencuka merasa sukarnya dengan kehadiran hujan.

Pelangi. Hari itu pelangi muncul. Tanpa sangsi. Mungkin mahu juga mewarnai hari kamu. Tapi, saya telah ceritakan hal sebenar kepadanya bahawa kamu tiada lagi di sini kawan. Pelangi tiba-tiba menghilang. Entahkan merajuk entahkan apa. Tidak pula dia mahu memikirkan saya yang turut mendamba warna-warninya.

Bulan. Ia indah seperti biasa. Apatah lagi dalam keadaan begini. Waktu begini. Mengambang penuh kerana ia memang waktu untuk sang bulan memancarkan cahayanya dengan gemilang. Kita merenung bulan yang sama walau dari tingkap yang berbeza.

Bintang masih begemerlapan seperti biasa. Menjadi selimut yang paling indah buat kita.

Awan-awan yang setiap hari melintasi langit kita, masih ada. Melintasi bumbung rumah kita dan tersenyum. Kadang saya rakam dalam kamera betapa indahnya awak-gemawan itu. Yang seringkali juga bermain-main dengan mentari. Sehingga kita yang di bawah ini sangsi sama ada mendung sedang berarak membawa hujan, ataupun mentari masih di sana, menyinar alam.

Pokok-pokok yang menghiasi laman taman kita, sudah besar mengikut aturan kejadiannya. Masa kamu pergi, pepohon bermacam jenis itu hanya separas dada. Kini, ia meningkat keparas bahu. Bermakna, agak lama juga kamu tiada di sini.

Apa lagi yang ingin saya khabarkan kawan?

Semua yang saya ceritakan masih di sini. Tanpa sangsi.

Auntie penjual surat khabar masih dipenjuru itu. Kedai mamak masih biasa-biasa. Bising dengan kecoh-riuh pengunjungnya. pasar malam meriah dan lelah. Surau dan masjid masih setia mengejutkan kita di kala subuh dan mengingatkan kita setiap lima waktunya. Burung-burung masih riang ke sana sini dan kadangkala meninggalkan ‘khazanah’ mereka di bumbung kereta kita.

Semua masih di sini. Dengan seri.

Semua masih begini. Tanpa kamu di sisi.

Yang Benar,

Zalila Isa

KOMA

Assalamualaikum, kawan.

Angin di sini, tidak sama seperti kelmarin.

Mentari hari ini sebenarnya tidak sama seperti semalam.

Hujan dingin. Pelangi tidak berwarna. Bulan suram. Bintang tiada gemerlapan. Awan berantakan. Pepohon tidak lagi menghijau.

Mereka yang hadir di sekeliling kita terasa tiada dalam ada.

Saya rasakan itu. Tanpa kamu.

Yang benar,

Kawanmu yang tertinggal di sini.

DSC_0008Di sebalik jendela, saya terpesona dengannya. Tetapi bukan cinta. Kerana saya tidak pasti esok pesona ini mahu menemani saya lagi atau tidak. Sedang jika cinta, saya pasti dia ada!

Mempunyai semangat!

Ia bukan seperti mendapat duit yang banyak. Kerana tidak semua orang obses dengan duit. Setiap dari kita mempunyai pesona dan cinta kepada sesuatu. Kenali apakah ia dan mula mencatatnya sebagai salah satu sebab untuk kamu meneruskan hidup walau sepayah mana.

Pesona itu teruja kepada sesuatu. Berasa senang pada sesuatu. Mungkin ia kekal atau mungkin juga ianya hanya sementara. Itu tidak mengapa kerana tidak semua benda kekal di dunia. Senaraikan pesona apa yang membangkitkan rasamu, ia bermanfaat untuk kamu meneruskan ‘rasa’ dalam meniti perjalanan.

KOMA

Tapi cinta, usah disamakan dengan pesona. Sebetulnya, cinta, usah dikelirukan dengan pesona. Cinta itu lain.

Jika dikumpulkan definisi cinta, ia akan menjadi sebuah kamus yang maha besar. Sebuah rasa yang mempunyai pelbagai ungkapan dan persepi. Tidak ada salahnya.Tapi ia untuk siapa?

Cinta memang besar. Tidak juga ia datang sekali.

Pengertian cinta, paling hakiki, kamu tahu harus diletakkan di mana.

Entah kenapa saya masih merasakan bahawa kita sesama manusia hanya pesona. Bukan cinta. Kerana yang sayang dan suka kepada manusia, mungkin berubah dan tidak konsisten.

Kepada Tuhan yang harus dicintai dengan tanpa was-was dan tanpa kompromi, tanpa rasa sedikit, tanpa rasa prejudis dan dengan yakin tanpa bantahan, itulah cinta.

KOMA

Saya obses dengan pelbagai perkara yang memungkinkan saya lupa kepada kesakitan.

Matahari, awan, bulan, alam terbentang luas, kamera, keluarga, penulisan, buku, diri sendiri…

Senaraikan sahaja, kerana ia mungkin menjadi sebab yang jitu mengapa kamu harus hidup.

Dan itulah jawapan kepada kawan-kawan yang merasakan saya tidak konsisten dalam hubungan sesama kawan.

Bezakan hubungan kita dengan kawan-kawan dan hubungan kita dengan Tuhan.

Saya kira itu boleh membantu kita menanam sifat redha dan ikhlas dalam berhubungan.

Dan usah rumitkan keadaan dengan yang bukan-bukan dan tidak-tidak.

Berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Seribu itu untuk manusia. Satu itu untuk Dia.

Wallahua’lam.


Dengarlah matahariku suara tangisanku
ku bersedih karena panah cinta menusuk jantungku
ucapkan matahariku puisi tentang hidupku
tentangku yang tak mampu menaklukkan waktu

(Matahariku- Agnes Monica)

Saya sangat letih.

Maaf.

Jumaat. Memang penuh rahmat. Matahari belum bangun. Masih berselimut [tapi bukan selimut kulit khinzir].  Begitulah kebiasaannya hari Jumaat. Redup dan tenang.

Saya tidak lewat. Bermakna matahari tidak berjaya mencium pipi saya dan memanaskan tubuh saya. Bas yang hadir depan mata terus saya naiki.

Sepanjang perjalanan hati berdebar. Seperti debarnya tatkala  si gadis menanti lamaran jejaka.

Akhirnya.

psittacula3.jpg

Terima kasih encik kerana sudi meluangkan masa membuat ‘imej kepala’ [header] untuk blog saya. Saya sangat suka dan hari ini menjadi lebih baik untuk saya.

dsc_0218.jpgSepanjang hari Cik Mendung cuba menyibukkan diri agar basah yang ditinggalkan oleh Encik Hujan kering dan kontang. Memang banyak tugas yang harus dilangsaikan. Apatah lagi esok Cik Mendung akan menghadiri Simposium Penulisan Pelbagai Kaum anjuran DBP, Gapena dan Kerajaan Pahang.

Novel Faisal Tehrani semakin rancak membajai hati dan juga beberapa karya Datuk A. Samad Said yang semakin selesa diterjemah oleh akal dan jiwa. Di sana nanti bukan hanya tandatangan yang Cik Mendung dambakan. Tetapi sejalur sinar [tidak semestinya sinar dari Cik Matahari], yang bakal membajai jiwa ini agar ia subur serta menerbitkan dan menumbuhkan tunas baru yang akhirnya bermanfaat kepada semua.

Melalui e-surat, Cik Mendung menemui sinar matahari. Bukan Cik Matahari [jangan keliru]. Tetapi hanya sinar matahari, yang banyak memberi kekuatan dan semangat. Sinar matahari juga memberi SMS kepada Cik Mendung tanda silaturrahim yang baru terjalin semakin kukuh. Alhamdulillah. Terima kasih sinar matahari yang tak jemu melayan rungutan Cik Mendung.

Melalui e-surat juga Encik Hujan memberi penjelasan. Maaf Encik Hujan, Cik Mendung bukannya seorang pendendam, tetapi Cik Mendung masih berasa tersinggung dan buat masa ini jangan dipersoalkan lagi tentang hujan dan titis-titisnya semalam.

hujan-itu.jpg

Hujan sudah berhenti, tetapi ribut dihati siapa peduli

Cik Mendung selesa bergerak tanpa diiringi Encik Hujan dan diapit Cik Matahari.

OK. CAIR

Entri emo akan berakhir di sini. InsyaAllah.

“Jadilah aku pengingat yang setia, setelah aku tahu, aku hanya serangga di taman belantara”

“Andai kota itu PERADABAN, rumah kami adalah BUDAYA, dan menurut ibu, tiang serinya adalah AGAMA”

paulus1.jpg

Lagu lama yang berkumandang dari perut bas Metro 100 itu berselang seli dengan rangkap ayat dari novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani yang sedang dibaca. Dua baris ayat yang tertera di atas tidak ada perkaitan kah?

“wah, dari jauh nampak kasut putih Cik Mendung, macam nurse la”

“owh…kasut yang biasa memanjakan kaki ini di basahkan oleh Encik Hujan semalam”

“Cik Mendung, hari ni agak-agak Cik Matahari ada tak?”

“Saya tak tahu, mungkin dia berjumpa Encik Hujan untuk meninggalkan satu lagi kesan rasa di leher Encik Hujan seperti yang saya lihat semalam”

“tanda?”

“ya, tanda sebuah bahagia yang dinafikan oleh Encik Hujan semalam”

“Kalau macam tu, saya tak nak kawan dengan Encik Hujan”

“ya, jangan kawan dengan dia, sebab dia bukanlah pembawa rahmat seperti yang dikatakannya. Hanya Encik Hujan yang itu. Hanya itu”

Cik Mendung berusaha memataharikan dirinya supaya tempias cahaya itu merembes dan membias ke seluruh alam. Namun, Cik Mendung tak boleh menipu orang dengan kemendungannya yang jelas terpancar di mata, bibir dan air muka. Lenggok Cik Mendung semakin lelah dan Cik Mendung benci pada kejujuran yang selalu dimanipulasi oleh Encik Hujan.

“kejujuran apakah yang ingin kamu sampaikan jika jelas kamu tamak dalam mengejar bahagia. Jujur konon!”