Berlarilah sekuat kudrat.

Berpayunglah dengan setiap teduhan yang ada.

Atau biarkan sahaja titis-titis hujan membasahi diri.

Mendung.

Hujan.

Ia kadang memberhentikan apa yang baru bermula.

KOMA


HUJAN YANG TIBA-TIBA

Hujan yang tiba-tiba menyimbah bumi
tiba-tiba tanpa mendung awan
hati-hati dengan hujan begitu
Yang membunuh rasa tanpa amaran waspada

Tiba-tiba hujan yang menyimbah bumi
Mentari dingin sedari malam bawa ke pagi
Sedari pagi membawa ke senja
Adalah hujan yang membawa erti
Bukan secara tiba-tiba

Jika tiba-tiba hujan mencecah bumi
Mungkin juga hal yang besar
Tentang debukota yang perlu disuciputihkan
dosa pahala yang perlu dilunaskan
rindu yang basah mendesah
pohon yang rinduranum
langit yang bertukar warna
dengan matahari sunyi di sana.

Bumi yang disimbah hujan dengan tiba-tiba
Sekadar acah-mengacah musim menghilang
Sekadar main-mainan mentari dan awan
Sekadar usik-mengusik langit dan bumi

Bumi yang tiba-tiba dicecah hujan
Usah sama mencecah basah
Kelak mencecah pening
Menjadi rutin semakin pusing

[Antara puisi yang termuat di dalam Antologi Penyair Muda Malaysia-Indonesia 2009, sempena Pertemuan Penyair Nusantara ke-3, Kuala Lumpur 2009. Susunan S.M Zakir dan Ahmadun Yossi Herfanda. Terbitan PENA]

DSC_0126-Edit

“Tidak pasang bendera di kereta? Lagi dua hari nak sambut merdeka,” kata seorang kawan.

“Kemerdekaan itu bukan di bendera, ia di sini,” jawab saya sambil meletak tangan di dada.

“Jadi, bagaimana nak menunjukkan yang ‘di sini’ itu sebagai bukti kita menghargai kemerdekaan negara?” tanyanya lagi.

Saya diam. Dalam hati berkata, “itu soalan yang susah kawan. Jika mahu jawapan, lihat masyarakat sekeliling. Apa yang kamu lihat melambangkan kemerdekaan negara?”

KOMA

Merdeka bagi saya itulah dia. Apabila melihat masyarakat boleh hidup bersama-sama walaupun berlainan agama dan budaya. Merdeka apabila sensitif dengan budaya dan agama bangsa lain serta saling tahu kedudukan dan letak diri sesuatu bangsa dalam sesebuah negara.

Juga merdeka apabila ada kesinambungan yang baik antara pemimpin dan rakyat, ibu dan bapa, anak-anak dan keluarga, jiran sesama jiran, kawan sepejabat dan sebagainya.

Tidak merdeka apabila memikirkan bahawa masih ramai remaja yang terpesong, pembikin filem yang menghasilkan filem-filem yang tidak menyumbang kepada sahsiah bangsa, pelajar-pelajar yang semakin kurang kualiti kebijaksanaannya serta kakitangan kerajaan yang semakin lupa kepada tanggungjawabnya.

Juga tidak terlupakan artis-artis yang semakin lupa diri, peniaga yang haloba, pengeluar makanan yang tidak jujur, hotel yang tiada pengesahan halal JAKIM, kes-kes jenayah yang tergantung tanpa penyelesaian, kes-kes rasuah dan penipuan yang tidak terbendung dan banyak lagi.

Paling penting, konflik politik yang melibatkan para pemimpin parti, fitnah-memfitnah, pijak-memijak sehingga rakyat tidak rasa hormat dan mengiktifan kepimpinan seseorang pemimpin.

Mendengarnya, terasa amat tidak merdeka di sini.

Tapi, di mana-mana negara juga ada perkara-perkara yang disebutkan di atas.

KOMA

Status Facebook saya hari ini : Apa tema kemerdekaan tahun ini? Kita leka dengan puasa atau memang semangat kemerdekaan itu telah tiada? Adakah semangat kemerdekaan diukur dengan betapa banyaknya bendera yang dikibar? Kepada Pak Menteri, usah risau dengan hal bendera yang tidak ber kibar. Prihatin dengan suara rakyat, itulah lambang kemerdekaan buat negara.

Mahu merdeka dengan cara yang bagaimana?

Mengibar bendera dan berarak semata?

SELAMAT MENYAMBUT MERDEKA BUAT SEMUA.

Pesan guru, jika kamu tidak mahu jadi baik, jangan buat orang jadi jahat.

Pagi tadi, melalui telefon seorang ibu bertanya, mahu kepastian adakah filem Kami The Movie sesuai untuk anaknya yang masih belajar di tingkatan satu. Dan saya tidak mendengar jawapan yang diberi oleh Liyana Jasmay dan kawan-kawannya yang bertandang ke konti Hot Fm untuk mempromosi filem itu.

Saya tidak tahu apa jawapan yang Liyana Jasmay beri.

Sampai di meja kerja, saya membuka komputer dan mencari maklumat tentang filem ini.

Ibu yang menelefon, saya rasakan raya pertama ini biarlah anak ibu yang masih belajar di tingkatan satu itu dibawa menziarahi saudara mara.

Hari raya bukan untuk menonton filem. Hari raya untuk menyambung silaturrahim dan mengukuhkan persaudaraan.

Dan jika bukan hari raya pun, filem ini tidak sesuai untuk menjadi inspirasi kepada pelajar sekolah walaupun subjeknya mengenai peralihan usia dari zaman sekolah ke alam dewasa.

Maafkan saya jika prejudis. Malangnya filem remaja di Malaysia terlalu klise. Pemberontakan emosi, krisis gender, persoalan cinta yang kecundang dan kematian jiwa.

Jika memang persoalan itu yang melingkari usia remaja, mengapa perlu dipaparkan dengan babak yang serupa? Tanggungjawab sosial untuk membaiki masyarakat tidak diambil kira.

KOMA

Saya sedang menyelongkar persoalan perpaduan. Juga sedang menggali punca kematian jiwa generasi muda terutama remaja yang baru menamatkan alam persekolahan.

Setiap hari saya menerawang ke alam maya. Meneliti setiap maklumat yang diperolehi. Terjumpa satu blog yang bermakna.

Menyelongkar blog cikgu jimi, saya merasakan satu kelainan. Kisah proses pendidikan dan pengajaran yang dilaksanakan guru ini sungguh membuatkan saya berkata;

“Jika kita punya ramai guru sebegini, maka kerajaan akan goyang kaki. Tidak perlu memikirkan masalah keciciran pelajar dan masalah sosial yang melanda generasi muda.”

Namun, tidak semua guru bertindak sebagai guru.

KOMA

Mengunjungi blog cikgu jimi tidak pernah menghampakan. Juga pagi ini.

Beliau bercerita tentang kemunculan filem Laskar Pelangi. Filem hasil adaptasi novel Andrea Hirata dari Indonesia ini menampilkan kisah kanak-kanak gelandangan yang hidup dalam ruang yang sempit namun mampu membina dunia yang besar. Inilah kisah ‘kekitaan’ dan ke ‘kami’ an yang baik dalam menjelaskan konsep perjalanan meniti usia dewasa.

Membaca novelnya sahaja sudah cukup mengagumkan, apatah lagi jika menonton filemnya yang dikatakan sudah ditayangkan di Indonesia.

KOMA

Ibu yang menelefon Hot Fm pagi tadi, saya tarik balik kenyataan saya bahawa raya bukan hari untuk menonton filem.

Ibu, Hari Raya memang bukan untuk menonton filem di panggung wayang jika filemnya adalah kisah remaja yang sangat klise dengan porakperanda jiwa.

Ibu, Hari Raya adalah hari menonton filem jika filem yang ditayangkan penuh dengan nilai dan kebangkitan jiwa seperti filem Laskar Pelangi.

Penulis memikul peranan yang amat besar. Dosa dan pahala dijunjung selagimana tulisannya ditatap mata dan isi kandungannya dicerna mengisi sel otak manusia. Ini Kerana tulisannya dicetak dan dirakam di atas kertas, dan tidak boleh dipadam sewenang-wenangnya!

Di London, penulis Britain, J K Rowling yang dikenali menerusi karyanya Harry Potter, muncul individu meraih pendapatan tertinggi dalam senarai majalah kewangan Forbes dengan memperoleh kira-kira £150 juta (RM1.05 bilion) sepanjang tahun lalu. Buku Harry Potter dalam beberapa siri yang bertumpu pengalaman budak lelaki yang memiliki kuasa ajaib, dijual kira-kira 375 juta naskhah di seluruh dunia. Buku terbaru Harry Potter And The Deathly Hallows, dijual 44 juta naskhah selepas berada di pasaran sejak Julai tahun lalu.

Tidak terlupakan penulis buku Man From Mars, Women From Venus oleh Dr. John Gray, karya-karya Dan Brown, John Grisham, Stephen King, Ian Fleming dan banyak lagi.

Mereka mampu meraih pendapatan yang lumayan hanya dengan mendokumentasikan pemikiran dan idea mereka dalam bentuk penulisan. Melihat kepada situasi di Malaysia, berapakah nilai pemikiran rakyat negara ini jika didokumentasikan?

BACA SETERUSNYA…

“Pada suatu hari, seekor semut sedang berjalan-jalan. Tiba-tiba semut ternampak….”

“Kenapa semut? Binatang lain tak bolehkah?”

Saya tahu, dia seorang penulis dan pengarang yang sangat bagus. Semua orang tidak menafikan hal itu. Namun ada beberapa hal yang kadangkala saya lihat dia sebagai penggiat karya kreatif dan penulisan ilmiah seperti terperangkap dengan keinginan dan keegoan sendiri. Mungkin…

Semasa Bengkel Asas Penulisan Cerpen di Senawang tempoh hari, saya ada tanyakan atau bincangkan hal ini bersama rakan peserta dan Puan Nisah sendiri.

Mengapa penulis menggunakan perbendaharaan kata dan ayat-ayat yang sukar difahami oleh golongan pembaca terutama yang baru bertatih mengenali dunia pembacaan [maknanya, baru timbul minat membaca buku-buku penulis Malaysia].

Gaya bahasa sebegitu akhirnya akan memberi impak kerugian yang sama kepada penulis dan pembaca. Pembaca akan berasa bosan kerana tidak memahami apa yang disampaikan dan penulis pula akan kehilangan khalayak.

Secara mudahnya, persoalan yang saya lontarkan itu akan memberi jawapan begini;

“Pembaca mempunyai hak untuk memilih bahan bacaan yang kena dengan jiwa dan pemahamannya, manakala penulis pula teruskan dengan penulisan dan gaya bahasa begitu [yang simbolik dan menggunakan perkataan yang jarang digunakan] kerana di luar sana pasti ada khalayak yang mengikuti jiwanya dan gaya bahasanya.”

Apa yang saya lihat ialah penulis mempunyai keinginan untuk membawa karyanya kepada masyarakat, dibaca dan dimanfaatkan oleh masyarakat. Dalam masa yang sama penulis harus mengukuhkan jati diri dan membuat kelainan agar pemikiran yang didokumentasikan itu punya ‘nilai kedirian’ penulis yang berbeza dengan penulis yang lain yang akhirnya dikenang sebagai penulis prolifik yang unik.

Siapa yang rugi di sini?

Penulis yang ego atau pembaca yang tidak cuba cari kelainan dalam bahan bacaannya?

Semalam, keegoan saya sebagai penulis artikel tercabar kerana seorang teman yang bukan dalam bidang penulisan menegur tatabahasa yang saya gunakan. Ada kesilapan di situ yang saya sedar, tetapi tidak mahu membetulkannya atas alasan itu cuma draf kasar dan bukan draf akhir penulisan saya.

Akhirnya keegoan yang didasari pendirian bahawa ‘saya belajar bahasa Melayu sehingga ke universiti, saya tahulah…’, hubungan kami menjadi renggang.

Mungkin silap dia kerana menegur kepincangan tatabahasa saya di hadapan rakan yang lain, dan mungkin juga silap saya kerana terlalu ego. Keegoan yang tidak mahu menerima teguran itu membuat saya tidak jadi manusia yang seharusnya ‘hari ini lebih baik dari semalam’.

Saya terlupa sehebat mana pun manusia, pasti ada kelemahan.

Saya silap. Teman, maafkan saya!

ila-515.jpg

MASYARAKAT di negara China terkenal dengan amalan pemakanan dan kesihatan berasaskan ginseng. Masyarakat India, Nepal dan Sri Lanka pula boleh berbangga dengan amalan ‘ayurveda’ dan yoga, yang dikatakan boleh mempengaruhi kehidupan yang baik dan sihat. Indonesia pula terkenal dengan jamu-jamunya yang menjadi makanan atau minuman wajib sejak mereka kecil.

Malaysia boleh berbangga dengan kekayaan sumber semulajadi yang menghuni hutan hujan tropikanya. Di situ terkumpulnya segala khazanah bumi yang boleh dimanfaatkan. Salah satu daripadanya ialah tumbuhan herba yang dikatakan menjadi bahan asas bagi segala ubat-ubatan dan makanan untuk kesihatan.

Secara umumnya, hutan amat penting bukan sahaja sebagai tanah ladang yang berpotensi tetapi sebagai simpanan balak yang boleh dieksploitasi, sebagai sumber spesimen biologi yang baharu dan sebagai habitat bagi berbagai variasi flora dan fauna.

Baca selanjutnya ...

Lelaki Malaysia penyayang! Wanita Indonesia menawan dan menggoda !

Senyum. Gelak. Diam. Beku.

Lelaki Indonesia, kamu harus tahu kenapa lelaki Malaysia menjadi pilihan :

  • lebih bersifat penyayang
  • lebih memahami diri wanita
  • baik hati

Wanita Malaysia, kamu juga harus tahu kenapa wanita Indonesia digilai:

  • Berketerampilan dan lebih menggoda
  • kelembutan tingkah laku wanita seberang
  • Lebih langsing, lebih kecil molek
  • hantaran perkahwinan yang lebih murah
  • status wanita Malaysia yang semakin kukuh dan berpelajaran tinggi turut mewujudkan jurang antara mereka dengan lelaki tempatan
  • wanita Malaysia yang berpelajaran menjadikan soal jodoh sebagai perkara kedua selepas karier

Namun, banyak perkara harus dikaji. Bukan alasan harta dan kerakyatan kah?

Dan saya masih memikirkan kata-kata wanita Indonesia ini,

“Memang orang kata perempuan Indonesia suka rampas suami orang, tetapi saya berasa kita bukan bertepuk sebelah tangan.”

“Ada kalanya lelaki tempatan yang hendak sangat kepada wanita Indonesia,”

“dia tidak kisah jika jodohnya di Malaysia ditakdirkan bersama suami orang.”

Dan cerita di bawah hanya sekadar hiburan!

Untuk beberapa tahun, Ahmad Suffian telah mengadakan hubungan sulit dengan orang gajinya, Sutina. Suatu hari, Sutina memberitahu Ahmad Suffian yang dirinya mengandung.

Ahmad Suffian yang tidak mahu merosakkan perkahwinannya, telah mengambil keputusan untuk menghantar Sutina balik ke Bandung untuk melahirkan anak mereka di sana. Beliau berjanji akan menanggung segala kos untuk anak tersebut sehingga anaknya nanti berusia 18 tahun.Supaya rahsia mereka berdua tidak terbongkar, Ahmad Suffian menyuruh Sutina supaya menghantarkan sekeping poskad dengan menulis perkataan “Mee Bandung” dibelakangnya setelah anak mereka lahir nanti. Ahmad Suffian akan menguruskan segala perbelanjaan untuk anaknya setelah mendapat poskad itu nanti.

Suatu hari, 9 bulan selepas itu, ketika Ahmad Suffian pulang dari kerja, isterinya Norzalina menegur Ahmad Suffian dengan muka yang keliru.

“Bang … abang dapat poskad yang peliklah hari ni,” kata Norzalina.

“Oh, tak pe … bagi poskad tu kat Abang. Nanti abang jelaskan,” kata Ahmad Suffian.

Norzalina pun memberi poskad itu kepada Ahmad Suffian dan melihat Ahmad Suffian membaca poskad tersebut, sebelum muka Ahmad Suffian bertukar menjadi biru, ungu dan terus pengsan!!

Poskad itu berbunyi …

“Mee Bandung, Mee Bandung, Mee Bandung, Mee Bandung – 2 ada telur, 2 tiada telur. Tolong hantarkan kuah lebih ya!”

Lagu Aku Mau yang di beri oleh seorang teman, menemani saya ketika menyiapkan artikel semasa Hari Raya Korban yang lepas. Lagu yang dimainkan sebanyak 14 kali dalam masa sejam itu telah saya ulang dengar selama sepanjang hari.

Seperti yang pernah saya katakan suatu waktu dahulu, lagu dari negara jiran memang puitis, tapi tak semua. sebenarnya memang agak lama saya tak menghayati muzik dari sana. Mungkin ada rasa kecil hati akibat pertelagahan yang berlaku dalam blog sendiri melibatkan rakan dari Malaysia dan negara seberang itu. Kata-kata mereka yang banyak menghina dari memberi teguran baik ternyata memberi pengaruh kepada saya. Saya budayakan diri dengan mendengar xfresh f.m [yang tidak memutarkan lagu dari negara seberang itu, tetapi mempromosikan konsert dewa 19….huh..tak faham saya). Juga klasik f.m yang memutar lagu-lagu irama tradisional, menjadi pendamping ketika saya berada di pejabat.

Berbalik kepada lagu Aku Mau nyanyian once, saya memang menyukai lagu itu. Lirik dan senikatanya baik. Perasaan suka ini juga mungkin pengaruh oleh perasaan yang dibawa oleh orang yang memberi lagu itu kepada saya.

Aku Mau. Tajuknya ringkas kan? Lagu-lagu dari Malaysia juga banyak yang menggunakan tajuk yang ringkas, juga puitis.

Aku Mau. Saya tanya pada diri sendiri apa yang saya mahukan dalam hidup. Dan seperti kebiasaan, mengira detik ke tahun baru menimbulkan pertanyaan yang streotype untuk semua orang.

APA AZAM TAHUN BARU? Apa yang kamu mahu lakukan untuk tahun hadapan. Sudah tercapaikah hasrat dan impian untuk tahun ini?

Saya cuma inginkan bahagia. Wahai jejaka, bahagiakan saya sebaiknya, sedaya dan semampu yang boleh kamu lakukan. Sekian, Terima Kasih.

Hari ini merupakan hari terakhir saya menggunakan perkhidmatan komuter (KTMB). Hmmm…

Rupanya dah setahun saya menggunakan tren komuter sejak mula bekerja di sini. Dahulu, semasa di UM kenderaan utama saya ialah kereta. Menggunakan tren dan kadangkala bas merupakan suatu perkara yang menyusahkan saya ketika mula-mula bekerja di sini.

img_ktm4.jpg

Minggu depan saya akan berpindah pejabat ke Jalan Ipoh. Pengangkutan utama saya ialah bas. Tapi itu tidak bermakna saya tidak menjejak kaki langsung dalam perut tren komuter. Mungkin naik juga untuk tujuan rasmi atau peribadi sekali dua.

Sepanjang menggunakan komuter banyak betul perkara -manis-pahit-payau-masam-kelat-sendat-ketat yang saya alami. Oleh kerana ini sesi penggulungan 1 tentang ktm, maka saya akan ceritakan peristiwa itu sejauhmana yang saya ingat.

  1. Saya pernah terlajak stesen sebanyak dua kali. Pertama kali kerana saya ditimpa ilham (intuisi) untuk artikel terbaru dan yang kedua semasa saya tertidur.
  2. Saya pernah pitam a.k.a pengsan juga sebanyak dua kali dalam tren. Pertama sekali kerana saya keletihan dan tidak sihat dan kali kedua kerana keadaan dalam tren yang sesak dan panas sangat.
  3. Masyarakat Malaysia kurang beradab, tidak peka dan pentingkan diri sendiri. Hal ini boleh di lihat apabila pasangan muda mudi sewenangnya melampias keghairahan masing-masing dalam tren. Juga individu yang tidak memberi tempat duduk kepada wanita mengandung, warga tua dan warga kurang upaya. Masyarakat Malaysia juga suka menjerit jika tersepit dalam kesesakan, tidak suka berbual sesama mereka dan suka mengasingkan diri dengan mendengar muzik melalui telefon bimbit atau mp3.
  4. Sebahagian dari kesesakan yang dialami oleh tren disumbangkan oleh warga asing dari pelbagai negara.
  5. Remaja Malaysia paling tegar membuat kesalahan sosial di dalam tren termasuk bertemu janji, berpeluk, bercium, tidak peka terhadap warga tua dan ibu mengandung, membuat bising dan sebagainya.
  6. Beberapa kejadian melibatkan gangguan seksual juga pernah saya alami dan lihat.
  7. Beberapa kejadian ragut dan mencuri telefon bimbit berlaku di hadapan mata.
  8. Tren yang saya naiki juga pernah terhenti di tengah landasan kerana rosak. Kami terpaksa turun dari tren (tanpa tangga) dan menapak di atas batu yang besar sehingga kaki kejang.
  9. Tren mengumpulkan pelbagai jenis manusia, pelbagai agama, pelbagai warna kulit dan bangsa, pelbagai negara, pelbagai umur, taraf pendidikan, status, kekayaan dan sebagainya. Jadi, kita boleh lihat pelbagai pemikiran dan persepsi melalui perangai masing-masing.
  10. Tren selesa di naiki ketika bukan waktu pejabat (8 pagi dan 5 petang).

img_ktm8.jpg

 

Sebenarnya banyak lagi yang telah saya alami sepanjang menggunakan tren ini. Sebenarnya semua jenis pengangkutan mempunyai cerita [negatif dan positif] yang tersendiri. Pandai-pandai lah sesuaikan dengan diri empunya badan. Sekian, penggulungan 1 saya kali ini. Penggulungan II akan menyimpulkan perkhidmatan komuter kepada pengguna secara menyeluruh.

Semenjak mula diperkenalkan laman web rasmi kerajaan ini saya gunakan untuk membuat rujukan pelbagai perkara, pengumuman penting kerajaan dan juga mencari kerja kosong.

Hari ini, semasa saya sedang menggodek-godek laman web itu, saya terkejut dengan apa yang saya jumpa. Sesiapa boleh komen?

pic-1.jpg

dan yang ini…

pic2.jpg

 sk_01_big.jpg

Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia. Kedua-duanya mempunyai makna yang berbeza sekaligus memberi kesan yang berbeza dalam banyak perkara. Saya tidak akan berbicara tentang sejarah dan rasional bahasa Melayu dikekalkan kerana itu tak akan mengubah apa-apa, dan saya pasti orang yang mengubah istilah ini lebih tahu tentang bahasa Melayu [agaknya].

Dua hari lepas di dalam sebuah komuter…

“eh keluar la dulu, orang yang kat dalam ni nak keluar susah” kata lelaki Melayu.

“Ko la keluar. Aku bayar tau” kata lelaki Indonesia.

Keadaannya mudah sahaja. Komuter yang sesak bertambah padat apabila penumpang berasak-asak untuk memenuhi ruang yang ada. Pintu komuter yang kecil [komuter jenis yang mempunyai satu pintu sahaja, dan bukannya dua pintu yang terletak dibahagian tengah badan komuter], menyusahkan proses keluar masuk penumpang apatah lagi dalam keadaan sesak.

Penumpang yang berada di pintu, tidak mahu keluar kerana takut tak dapat masuk, sedangkan penumpang yang mahu keluar tidak dapat keluar kerana penumpang yang berada di bahagian pintu tidak mahu memberi laluan. Faham tak?

Lelaki Melayu yang bercakap dalam bahasa Melayu yang mudah, telah meminta lelaki Indonesia ini keluar dahulu agar dia dapat keluar dengan selesa. tetapi lelaki Indonesia tidak faham bahasa Melayu Malaysia kerana dia sangka kan, lelaki Malaysia ini menghalau dia keluar.

Saya pun tak faham kenapa lelaki Indonesia ini tak faham Bahasa Melayu. Oh, Mungkin dia sangka Bahasa MALAYSIA nya dah cukup baik.

Satu lagi kes bahasa Melayu yang ingin saya kongsikan ialah secebis babak dari rancangan 360 yang memaparkan isu warga asing nigeria/afrika selatan yang berkampung di Metro Prima, Kepong.

Warga asing ini berkata mereka tidak pernah mengacau penduduk tempatan. Penduduk tempatan yang prejudis tak tentu hala. Mereka hanya bertanya soalan dalam bahasa Inggeris yang mudah iaitu ‘how are you?”, tapi penduduk tempatan yang tidak tahu bahasa Inggeris menganggap soalan mudah itu sebagai satu ancaman kepada mereka. Tapi, bila warga asing ini bercakap dalam bahasa Melayu, penduduk tempatan jadi tidak takut dan boleh berbual dengan mereka.

Warga asing ini menyarankan agar penduduk tempatan pandai menyesuaikan diri dengan warga asing seperti mereka dan belajar banyak bahasa. Dan kenyataan ini ditempelak oleh Mazidul kerana yang sepatutnya menyesuaikan diri ialah warga asing seperti mereka yang merupakan puak minoriti.

Susah benarkah memahami bahasa Melayu? Memang sukar jika masyarakat Melayu sendiri segan berbahasa Melayu. Ditambah lagi dengan pemerkasaan bahasaInggeris, ke mana kah nanti bahasa Melayu akan bertapak?

Susah benarkah memperkasa bahasa Melayu sebagai identiti bangsa Melayu? Kenapa produk dan negara kita tidak semaju negara lain? Kerana apa yang ada di negara kita sama sahaja di negara lain. Kita tak punya identiti. Membuang jatidiri dan budaya bangsa dan mengambil budaya luar sebagai landasan untuk bergerak.

Mengapa kita perlu berbahasa Inggeris untuk ke luar negara? ya, untuk hidup di negara luar, kita perlu tahu budaya dan bahasa mereka.

Mengapa kita perlu berbahasa Inggeris sempena tahun melawat Malaysia? Bukankah Pelancong dan warga luar yang melawat Malaysia yang seharusnya bercakap dalam bahasa Malaysia?

Sebagai warga asing tidak kira dari mana pun, ya, anda hanya mencari rezeki di sini, [walaupun ada yang hidup mewah berbelas tahun di Malaysia sebagai pendatang haram, lebih kaya dari warga tempatan sendiri], mereka seharusnya tahu berbahasa Melayu…bukan berbahasa Malaysia.

Apa jatidiri, ketamadunan, peradaban bangsa dan ‘bangsa angkasa’ kita? bahasa? budaya?

Bahasa Inggeris tidak salah. Malah banyak manfaatnya jika kita tahu banyak bahasa. Tapi tidak perlu sampai berbahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik. Itu bukan permulaan yang baik untuk memandaikan masyarakat Malaysia dengan bahasa Inggeris.

Ingat lagikah peristiwa Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan? Dan ingat lagikah apa yang berlaku pada 28 oktober 1971?

oh ya, sejarah hanya sejarah!

Lagu Rasa Sayang jadi perbalahan? Baca ini juga


 Rasa sayang hey
 Rasa sayang sayang hey
 Hey lihat nona jauh
 Rasa sayang sayang hey
 
 ( di ikuti dengan pantun klasik/tradisional )
 
 Rasa sayang hey
 Rasa sayang sayang hey
 Hey lihat nona jauh
 Rasa sayang sayang hey

Lagu rasa sayang telah sebati dalam setiap jiwa orang Melayu. Mungkin juga kanak-kanak zaman sekarang tidak begitu mengenali lagu ini. Tetapi bila sebut sahaja lagu Rasa Sayang, semua orang tahu.

Alahai….Nak saman Malaysia hanya kerana lagu ini? Apa rasionalnya? Sebelum lagu ini dikomersialkan dan dijadikan salah satu lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2007, tiada pula negara seberang itu mengambil apa-apa tindakan.

Saya tidak faham, mengapa isu picisan begini dijadikan pertikaian oleh mereka. Lagu Rasa Sayang merupakan salah satu lagu klasik yang bertebaran di mana-mana negara kerana sifatnya yang catchy dan juga liriknya yang boleh diubahsuai mengikut keadaan semasa.

Lihat sahaja lagu ‘happy birthday’…Ada sesiapa atau mana-mana negara mahu mengaku bahawa lagu ini adalah lagu negara mereka? Tiada kan? Ada saman menyaman berlaku kerana lagu Happy birthday bertebaran di mana-mana negara?

Konsepnya sama. Lagu Happy birthday mahupun lagu Rasa Sayang merupakan tinggalan nenek moyang yang diwarisi secara lisan sejak turun temurun. Oleh itu, jangan sewenang-wenangnya menghina Malaysia dengan mengatakan bahawa Malaysia menciplak lagu itu dari Indonesia.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata isu itu sepatutnya tidak timbul kerana lagu berkenaan mahupun lagu rakyat yang lain seperti `Jauh Di Mata’, `Burung Pungguk’, `Terang Bulan’ adalah lagu-lagu nusantara yang diwarisi daripada nenek moyang dahulu.

Apa sebenarnya yang mereka inginkan? Hakcipta yang mana yang ingin didebatkan? Usahlah pertikaikan hal-hal sekecil ini dan saman menyaman hal-hal picisan begini yang akhirnya membawa kepada pecah-belah yang memalukan bangsa Melayu. Tidak kira sama ada Melayu Malaysia atau Melayu Indonesia.

Bosan ke ? Tak tahu nak buat apa?

Bulan puasa macam ni malas nak bergerak sangat?

Tak apa, duk bebaik kat kerusi tu dan lawat blog ini ek….

 

ISLAM melalui syariahnya telah menetapkan sesuatu perbuatan bukan berdiri sendiri tetapi mengandungi kesan-kesan atau natijah kepada perkara yang lain. Syariah merupakan undang-undang yang disyariatkan oleh Allah kepada makhluknya melalui al-Quran dan juga as-Sunnah.

Tidak ada pertikaian yang boleh dibuat terhadap syariah dan hukum-hukumnya kerana ia jelas daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala apa yang diciptakan-Nya berbanding dengan hukum dan undang-undang ciptaan manusia. Bagaimanapun, masih ada manusia yang mempertikaikan kerelevanan syariah Islam dalam memelihara kesejahteraan manusia pada zaman ini.

(selanjutnya…)

merdeka.jpg

SEBULAN lagi Malaysia akan menyambut kemerdekaannya yang ke-50 tahun. Ia merupakan satu masa yang agak lama dan panjang. Jika usia itu diletak pada diri seorang manusia, angka 50 tahun merupakan usia yang mantap. Usia di mana seorang manusia telah mengharungi pelbagai liku kehidupan, matang, dan bersedia menghadapi apa jua rintangan yang bakal melanda. Namun, tidak kira berapa lama pun usia tersebut seperti manusia, sesebuah negara juga sentiasa dalam proses belajar dan mengambil iktibar daripada masa lampau dan masa kini, sama ada baik atau buruk.

Mengubah dan membina sebuah negara menjadi ideal tidak semudah mencatatkan pelan pembangunan dan tindakan di atas kertas. Kita mampu mencatat seberapa banyak perkara yang ingin kita lakukan, tapi untuk melaksanakannya harus mengambil kira pelbagai aspek, ditambah lagi dengan halangan-halangan tertentu.

50 tahun menyambut kemerdekaan mengajak kita melihat isi kandungan tempoh kemerdekaan itu. Sudah pasti isi kandungan kemerdekaan yang selalu dilihat oleh mata kasar ialah berkaitan dengan pembangunan infrastruktur serta material yang wujud di Malaysia merangkumi aspek kemajuan, perkembangan dan peningkatan tahap ekonomi, politik, pendidikan, sosial, pemantapan nilai hidup melalui agama serta anjakan paradigma dan daya fikir masyarakat.

Mengimbas kembali zaman sebelum kemerdekaan, memberi banyak pengajaran kepada Malaysia. Era penjajahan dan peperangan memberi kesan yang besar kepada jiwa, semangat dan anjakan pemikiran masyarakat zaman dahulu. Kadangkala perubahan pemikiran itu berlebih-lebih sehingga mewujudkan rasa nasionalisme serta berpuak-puak. Pada masa ini, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam melempar jauh semangat perkauman rakyatnya dengan mewujudkan suasana politik, budaya dan kepercayaan yang menggabungkan semua kaum di bawah satu negara.

Mengimbas kembali sejarah perjuangan Malaysia hari ini, ia bermula dengan pembabitan orang Barat (Raja Putih (1841-1946), penaklukan Jepun pada tahun 1942 dan seterusnya mencetuskan Perang Dunia Kedua serta ancaman komunis. Ia menjadi suatu bab yang amat pedih dalam sejarah Tanah Melayu (suatu ketika dahulu). Penjajahan dan peperangan yang berlaku sekitar tahun 1940-an itu memberi kesan yang pelbagai kepada negara serta rakyat.

Antara peristiwa penting yang tidak mungkin dilupakan ialah pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Parit Sulong (1942), kawat kematian di Sandakan (1945), penubuhan Malayan Union oleh British (1946-1948), peristiwa darurat di Tanah Melayu (1948-1960) dan tidak lupa juga peristiwa tanah berdarah Bukit Kepong (1950) serta beberapa peristiwa yang lain. Kemusnahan berlaku di mana-mana, rakyat mengalami tekanan dan trauma akibat kematian, penyakit dan kemiskinan. Perpaduan semakin renggang. Kepercayaan antara pelbagai kaum semakin menipis dan hilang.

Malaysia merdeka pada tahun 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya dan pada 16 September 1963, nama itu ditukar kepada Malaysia. Walaupun sudah mencapai kemerdekaan secara mutlak daripada penjajah Inggeris, Malaysia masih merangkak mencapai perpaduan dan keharmonian. Dalam usaha untuk mentadbir Negara sendiri, Malaysia diuji dengan beberapa peristiwa yang tragis seperti konfrontasi dengan Indonesia (1962-1966), rusuhan kaum (1964), penyingkiran Singapura dari Malaysia, peristiwa berdarah 13 Mei 1969, krisis perlembagaan Malaysia 1988 dan juga krisis kewangan Malaysia (1997-1998).

Namun, semua itu memberi pengajaran yang amat bermakna kepada Malaysia dalam usaha membangun serta mentadbir negara melalui kepimpinan pribuminya. Malah, berbekal keyakinan dan kesungguhan, Malaysia menjadi sebuah negara yang pesat membangun dan bersama-sama mengharungi era kemodenan dengan segala sumber yang ada.

Kini, kita semakin bangga menjulang nama Malaysia di persada dunia berbekalkan kemajmukan dan keamanan negara serta kestabilan politik dan juga perkembangan ekonomi yang membanggakan. Kita sudah berani mengatur langkah bersama negara-negara lain dalam usaha mengisi ruang dalam negara dengan aspek teknologi terkini, isu semasa dan juga bersama-sama menyusuri arus kemodenan dan globalisasi. Kita juga tidak gentar dalam melaungkan prinsip, pendirian dan juga pandangan kita terhadap apa yang kita perjuangkan di sini. Malahan suara kita menyelar tindak tanduk negara-negara besar dalam isu-isu tertentu seperti kekejaman peperangan, isu keagamaan, hak asasi dan sebagainya, turut kedengaran di mana-mana.

Kita benar-benar menghargai kemerdekaan yang telah kita gapai 50 tahun dahulu. Usaha, perit-pedih, tumpahan darah dan air mata generasi lama dalam mempertahankan negara dan bangsa dari dijajah amat kita hargai. Generasi hari ini amat sedar dan tahu kisah silam negara ini. Generasi hari ini juga sedar bahawa kemewahan dan keamanan pada hari ini bertitik tolak dari perjuangan generasi masa lampau.

Bagaimanapun, amat pedih apabila mendengar kata-kata ‘generasi hari ini tidak menghargai kemerdekaan yang ada’. Mereka juga menyebut, ‘generasi hari ini semakin lupa diri’. Apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘tidak menghargai’ dan ‘lupa diri’?

Memang benar generasi kini tidak begitu menghargai apa yang dikecapi pada hari ini. Mereka juga lupa bahawa suatu waktu dahulu negara dijajah oleh pelbagai pihak, kita ditindas, dibunuh dan diludah serta dicampak ke tepi. Malah setelah merdeka (beberapa tahun selepas merdeka), negara masih mencari-cari hala tuju serta berdepan dengan halangan-halangan tertentu. Ya, itu semua tiada dalam diari generasi hari ini. Mereka hanya tahu tetapi tidak pernah merasai keperitan masa lalu.

Adakah kerana generasi hari ini tidak mengalami atau merasai zaman peperangan dan penjajahan maka mereka boleh dilabel sebagai tidak menghargai kemerdekaan? Dari satu sudut, tuduhan itu amat melulu dan bersifat prejudis. Tetapi, bila dilihat pada situasi masa kini, istilah ‘tidak menghargai’ itu boleh dilihat melalui beberapa keadaan dan peristiwa.

Perbezaan masa lalu dan kini (50 tahun) merupakan suatu jangkamasa yang panjang. Oleh kerana negara kita merupakan sebuah negara yang melalui tempoh kemodenan yang agak pesat dan cepat, tempoh itu memang banyak bezanya terutama dalam aspek ekonomi, politik, sosiobudaya, dan pembangunan infrastruktur.

Oleh itu, amat tidak wajar untuk membandingkan generasi masa lalu dengan masa kini. Cabaran dan halangan yang wujud dalam dua era (sebelum dan selepas merdeka) ini, amat berbeza.

Dahulu, kita dikekang oleh penjajah dari aspek ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Bagaimana dari aspek ekonomi, Barat ‘membahagi-bahagikan’ rakyat Malaysia berdasarkan ekonomi tertentu. Kaum Melayu dengan pertaniannya, Cina pula bergiat dalam bidang perniagaan, manakala kaum India pula ditempatkan di estet-estet. Begitu juga dalam aspek politik, di mana wujud beberapa pertubuhan dan perikatan yang seterusnya membentuk komuniti yang berbeza. Masalah pendidikan seterusnya mewujudkan jurang yang amat besar antara pelbagai kaum.

Cabaran untuk membangunkan negara memang sukar. Kekurangan pengalaman dalam mentadbir negara mengikut acuan semasa (daripada sektor pertanian dan bahan mentah kepada sektor pelbagai), menyebabkan negara mengalami kesan akibat kegagalan sesuatu sektor. Contohnya dalam usaha mengejar kemajuan, Malaysia meneroka bidang baru iaitu teknologi maklumat dan eletronik. Namun, kegawatan ekonomi yang melanda pada tahun 1998 dan juga kemerosotan bidang teknologi maklumat pada tahun 2001 memberi pengajaran bahawa Malaysia harus meneroka bidang itu dengan ilmu yang mantap dan sumber kewangan yang mencukupi.

Sepanjang tempoh tersebut, cabaran bukan sahaja berlaku kepada cara untuk menyamatarafkan kedudukan Malaysia dengan negara-negara maju, malah yang lebih utama ialah cabaran untuk menyiapkan diri rakyat Malaysia ke arah setanding dengan mana-mana negara dari aspek pendidikan, ekonomi, politik, kebudayaan dan sosial.

Kini, Malaysia berbangga kerana berjaya mencipta arena tersendiri di persada antarabangsa. Kita sudah tidak malu untuk mengaku bahawa negara kita merupakan negara yang maju. Kejayaan anak bangsa dalam pelbagai bidang serta kejayaan negara sendiri menguasai bidang-bidang sains, perubatan, teknologi, pertanian, pendidikan dan banyak lagi benar-benar membuka mata negara asing yang dahulu pernah menjajah kita dan memeperlekehkan keupayaan kita.

Bagaimanapun, kita terlalu laju mengejar kemajuan dan menikmati kemerdekaan tanpa ragu-ragu. Kita juga mampu tersenyum lebar apabila mendengar pujian dari negara-negara maju tentang keupayaan kita yang boleh dibanggakan. Kita sibuk menelaah dan menerokai segala yang disogokkan oleh negara maju kepada kita sehingga kita lupa akar budaya kita.

Generasi hari ini juga terlalu ghairah mengejar kemajuan dan kebendaan. Budaya bangsa diabaikan sehingga kita sendiri tidak kenal dengan identiti bangsa kita serta bercampur aduk dengan budaya asing yang kebanyakannya menyongsang arus pemikiran dan akal budi bangsa Malaysia. Inilah situasi yang dikatakan sebagai ‘tidak menghargai kemerdekaan dan juga lupa diri’.

Itulah juga yang diinginkan oleh barat iaitu memisahkan kemajuan dan kemodenan dari agama dan budaya. Kata mereka, budaya dan agama merupakan entiti yang berbeza serta tidak boleh seiring dengan kemodenan. Sudah tentu serangan pemikiran sebegini menyimpang dari prinsip dan budaya di Malaysia.

Mujurlah akhir-akhir ini, pemimpin negara menyedari hal itu dan melakukan pelbagai usaha untuk mengembalikan kemegahan rakyat kepada budaya serta sejarah bangsanya. Melalui pendidikan di sekolah, guru-guru harus menekankan aspek pembudayaan dan sejarah bangsa supaya generasi muda tahu asal usul dan sejarah silam mereka. Aktiviti –aktiviti semasa juga boleh diwujudkan dengan pengisian yang lebih menjurus kepada kebudayaan dan membabitkan penyertaan semua kaum di Malaysia. Selain itu, kurangkan kemasukan hiburan-hiburan dan konsert-konsert yang tidak kena dengan budaya kita. Dalam soal mengembalikan nilai budi rakyat Malaysia, kerajaan harus menolak ke tepi aspek keuntungan ekonomi semata-mata.

Semua pihak bermula dari peringkat kepimpinan sehinggalah kepada anak-anak kecil, harus sedar usaha ini dan bersama –sama berganding bahu mengembalikan semula jati diri bangsa dan seterusnya memelihara keharmonian negara.

Hasutan pemikiran sekular dan krisis identiti yang diwujudkan oleh anasir-anasir luar memang besar dan melalui pelbagai saluran terutama melalui teknologi maklumat yang amat pantas bergerak. Cabaran dan ancaman bukan sahaja mensasar kepada budaya bangsa Malaysia tetapi juga melibatkan aspek agama Islam. Bangsa Melayu dan agama Islam sudah sinonim dengan perlembagaan negara. Walau bagaimanapun, keistimewaan juga diberi kepada kaum-kaum lain.

Pertelagahan yang diwujudkan oleh bangsa asing sejak dahulu sehingga kini memang tiada penamatnya. Kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira kaum, harus menyedari hakikat sejarah dan peruntukan perlembagaan yang memelihara keharmonian semua kaum di bawah satu bumbung. Hakikat itu yang semakin tidak difahami oleh generasi hari ini. Keterbukaan memebincangkan hak asasi dan isu semasa yang dicanang oleh barat benar-benar menjadi hasutan paling berbahaya kepada rakyat Malaysia.

Berbanggalah dengan negara kita. Kembalikan semula identiti bangsa serta maruah agama yang sedang diperlekehkan oleh barat. Kita terlalu cepat menerima dan ragu-ragu untuk menolak limpahan hedonistik dan materialistik yang dicipta oleh Barat. Betapa barat telah memukau pandangan kita dengan kemajuan dan kemodenan sehingga kita lupa kepada al-Quran dan sunnah yang benar-benar sempurna sifatnya.

Negara kita unik. Ada pelbagai kaum. Anutan agama berbeza namun mampu berlindung di bawah satu bumbung yang dinamakan Malaysia. Tidak perlulah mengulang sejarah pada masa lalu ketika zaman penjajahan dan peperangan di mana pada waktu itu kita ditindas dan tertipu dengan janji manis serta sogokan daripada mereka.

Memang benar, generasi masa kini tidak menghargai kemerdekaan. Mereka lalai dan sengaja membiarkan budaya bangsa hanyut ditelan arus kemodenan. Mereka juga lupa bahawa ikon yang harus dipuja dan disanjung bukanlah barat tetapi bangsa sendiri. Namun itu bukan alasan untuk kita menyerah kalah. Usaha pelbagai pihak harus bertitik tolak melalui budaya. Bangkitkan semula budaya bangsa Malaysia.

Dengan budaya yang tersendiri, kita mampu mengekalkan kemerdekaan sampai bila-bila. Hargai kemerdekaan dengan memperkaya negara melalui kejayaan dalam pelbagai bidang, keikhlasan dalam berbakti serta ketulusan dalam mempertahankan agama dan budaya. Berpada-pada dalam mengaplikasi budaya luar ke dalam budaya kita. Dengan itu, kemerdekaan akan sentiasa manis dan penuh kebanggaan untuk dikenang.