keladi

“Gadis mana boleh menjadi sahabat jejaka tanpa rasa cinta,” jelas wanita itu, yang merupakan isteri kepada teman saya.

“Kadangkala, tidak semua benda boleh dijelaskan dengan kata-kata,” jawab saya untuk menjelaskan bahawa antara saya dengan suaminya memang kawan dan sahabat sejak sebelum mereka diijabkabulkan lagi.

Salahkah bersahabat dengan jejaka?

Mengapa erti persahabatan berlainan gender sering di salaherti? Apatah lagi jika si gadis sudah berpunya dan si jejaka juga begitu.

Benarkah persahabatan hanya wujud sesama gender?

Benarkah wujud larangan dalam bersahabat?

Adakah istilah sahabat punya konsep dan disiplin tersendiri?

Entri kali ini terlalu banyak soalan. Mungkin agak sedikit menjengkelkan terutama bagi kamu yang baru berjinak mengenali bicara rasa blog ini.

KOMA

Dia jejaka.

Katanya dalam bersahabat…;

  1. Umur bukan apa-apa. Tiada beza umur dan persoalan umur tidak bermakna.
  2. Pangkat dan panggilan juga apa ertinya jika hanya untuk membezakan dan membataskan bual-bicara-kongsi-rasa.
  3. Jika salah seorang sahabatnya ingin bercerita, jadilah pendengar atau pemikir yang waras. Biarkan sahabat itu bercerita sepanjang mana pun, kerana tugas sahabat itu banyak. Salah satunya, menjadi pendengar dan peneman yang setia.
  4. Seharusnya sahabat dapat membaca situasi sahabatnya yang lain. Jika bertentang wajah, mungkin boleh dianalisis melalui bahasa badan, mimik wajah ataupun nada perbualan. Jika secara maya (mungkin), boleh sahaja mengaitkan dengan segala peristiwa yang diketahui mengenai sahabat itu.
  5. Hey, saya suka dialog ini; “sama ada internet yang lembab atau awak tiba-tiba diam?”, apabila pertanyaannya tidak saya jawab. Prihatin. Pengingat yang baik, pemaham yang telus. Mungkin juga sama dengan situasi dalam nombor 4 di atas.
  6. Saya tidak guna bahasa Melayu tinggi. Cuma saya benci menaip tak cukup sifat,”. Terus terang. Itu lebih baik daripada berpura-pura.
  7. Setidaknya saya rasa sehingga kini saya berjaya mempengaruhi beberapa kawan yang kerap chat atau sms dengan saya sehingga mereka mengurangkan tabiat bahasa sms. Tak paksa, mereka yang terpengaruh.” Mempengaruhi sahabatnya dengan hal-hal yang baik.
  8. Setiap insan punya Tuhan sebagai teman dan sebagai pembimbing. Isteri itu perhiasan cuma. Suami juga begitu. Tapi jodoh itu urusan Allah. Datangnya ia seperti maut, tak dapat dielak.“. Hmm..sahabat seharusnya menjadi pembimbing.
  9. Apa sangat gender jika apa yang dikongsikan adalah tentang hidup dan mati yang tidak kenal siapa kamu.
  10. Tiada tempoh waktu untuk menjadi sahabat. Mungkin dalam beberapa saat, beberapa minit, atau beberapa jam. Mungkin juga lama, sedari awal kelahiran sehingga ke hujung nyawa.

Sebenarnya terlalu banyak konsep sahabat yang boleh dicatat di sini. Hanya kamu yang tahu. Kamu, yang bersahabat dan memahami apa erti sahabat.

Bersahabat selagi boleh.

Mungkin ia satu konsep yang kekal dan wajib bagi setiap umat manusia. Kerana ‘sahabat’ ada dalam isteri, suami, anak-anak, bapa, ibu, kakak, abang dan juga adik.

‘Sahabat’¬† juga ada dalam diri setiap manusia. Tidak kira siapa kamu, bangsa atau pangkat kekayaan. Tanpa sahabat bagaimana mahu berkawan dan berkasih sayang dengan alam dan manusia di dalamnya.

KOMA

“Ingat, sahabat tidak semestinya cinta. Jadi jangan tergugat dengan saya yang berkawan dengan suami kamu sejak betahun-tahun lama sebelum dia mengenali kamu,” jelas saya pada wanita itu, yang merupakan isteri kepada teman saya.

Air matanya sekali lagi merobohkan nurani saya.

Ahhh…perempuan, mengapa kamu obses dengan prejudis?

Lalu dia putus harap, tapi kemudian dia mampu untuk lupakan. Demi masa depannya.
Dan demi harapannya pada janji Tuhan (saya harap).
Kerana yang berlalu ada pengajaran, dan secebis iktibar.
Selebihnya, boleh soal diri sendiri. ke mana mahu pergi, dan untuk apa manusia bernafas di atas bumi.
Jawapan cuma satu, kepada Tuhan, dan untuk Tuhan
.

(Kata-kata seorang teman yang tidak mahu digelar jejaka. Katanya cukuplah dia hadir sebagai sahabat)

Saya suka dan rela. Tidak perlu bicara soal upah atau harta benda. Itu bukan agenda saya melakukan ini. Jangan pula sebut tentang berbaloi atau tidak. Saya suka dan rela melakukan apa sahaja demi…

Ini bukan entri atau hal suka-suka tentang asmara dan imaginasi liar seorang gadis kepada jejakanya. BUKAN!

SUKA dan RELA 1

Sedikit letih. Mungkin. Namun apa sangat keletihan itu jika dibandingkan dengan kepuasan melakukan sesuatu yang kita suka dan rela. Suka dan rela bukan milik mereka yang kaya sahaja yang mampu mengeluarkan wang sendiri demi memenuhi kepuasan dalam hidup. Mereka yang tidak berduit atau kurang mampu juga berhak mencapai kepuasan yang maksima dengan melakukan apa yang mereka suka dan rela.

Mereka kata,” belajar bahasa isyarat untuk apa?”

Saya tak salahkan mereka. Mungkin pandangan dan pengalaman mereka cetek tentang keperluan mempelajari sesuatu yang baru.

Saya jawab, “oh, banyak keperluannya. Suatu hari nanti saya boleh jadi sukarelawan yang mengajar bahasa isyarat kepada mereka yang memerlukan.”

“Juga untuk lebih mengingatkan diri bahawa saya yang sempurna tidak harus melupakan mereka yang kurang sempurna. Tuhan sengaja mencipta manusia dengan pelbagai kelebihan dan kelemahan. Saya rasa nak berkongsi kelebihan yang Tuhan beri ini kepada mereka yang kekurangan, dan saya mula sedar mengapa Tuhan bertindak sedemikian,” saya jawab dengan ringkas.

SUKA dan RELA 2

“eh, hari ahad pun kerja? Mesti banyak komisyen ni kan?” tanya akak yang menjual pisang goreng yang sedap itu. Nama akak itu, Rabiatul Adawiyah.

“Ya, semalam pun kerja. Tapi bukan soal komisyen kak. Saya suka dan rela,” Jawab saya.

“Bagusnya,” puji akak Rabiatul Adawiyah sambil tersenyum melihatkan lesung pipitnya yang sangat comel.

“Biasa sahaja kak, lagipun saya minat ambil gambar. Apa salahnya buat kerja sukarela untuk pejabat. Skil ambil gambar saya pun boleh ditingkatkan,” saya menjawab dengan ikhlas.

Pisang goreng bertukar tangan. Sambil membayangkan pisang goreng yang enak, saya melangkah menjuju ke rumah dengan sedikit letih tetapi puas.

Ya, saya suka dan rela diminta bertugas pada hujung minggu. Manfaatnya bukan sahaja pada majikan, tetapi juga pada hati saya dan keupayaan saya. Hati menjadi jinak jika kita banyak melakukan kerja-kerja dengan suka dan rela yang disulami dengan keikhlasan. Dan keupayaan kita juga boleh meningkat dengan kerja-kerja yang kita lakukan bukan kerana terpaksa tetapi SUKA dan RELA.

Aktiviti sukarelawan

Penglibatan masyarakat dari semua peringkat umur

Sebenarnya aktiviti sukarelawan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. memperkasa sektor sukarelawan tidak semestinya dalam bentuk berkumpulan. Apa yang penting keinginan, kesedaran dan keikhlasan dalam membantu orang lain. Dan bantuan tersebut bukanlah berbentuk harta benda semata-mata.

Selepas menghadiri sambutan ulangtahun ke-8 Sukarelawan Al-FAlah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), banyak perkara yang saya belajar. Melihat konsep perjuangan dan kasih sayang dalam membantu masyarakat Islam lain, membuatkan saya sedar bahawa dunia ini bukan milik saya seorang. Saya harus berkongsi dengan orang lain walaupun cuma keringat. Membantu mereka dengan kudrat yang ada, menenangkan hati mereka dengan kasih sayang serta berkongsi ilmu kepada mereka yang kurang mengerti. Jika ketiga-tiga aspek ini sukar kita kongsikan dengan orang lain, apa maknanya hidup jika bertemankan kemewahan tetapi jiwa kosong dan sepi?