Berlarilah sekuat kudrat.

Berpayunglah dengan setiap teduhan yang ada.

Atau biarkan sahaja titis-titis hujan membasahi diri.

Mendung.

Hujan.

Ia kadang memberhentikan apa yang baru bermula.

KOMA


HUJAN YANG TIBA-TIBA

Hujan yang tiba-tiba menyimbah bumi
tiba-tiba tanpa mendung awan
hati-hati dengan hujan begitu
Yang membunuh rasa tanpa amaran waspada

Tiba-tiba hujan yang menyimbah bumi
Mentari dingin sedari malam bawa ke pagi
Sedari pagi membawa ke senja
Adalah hujan yang membawa erti
Bukan secara tiba-tiba

Jika tiba-tiba hujan mencecah bumi
Mungkin juga hal yang besar
Tentang debukota yang perlu disuciputihkan
dosa pahala yang perlu dilunaskan
rindu yang basah mendesah
pohon yang rinduranum
langit yang bertukar warna
dengan matahari sunyi di sana.

Bumi yang disimbah hujan dengan tiba-tiba
Sekadar acah-mengacah musim menghilang
Sekadar main-mainan mentari dan awan
Sekadar usik-mengusik langit dan bumi

Bumi yang tiba-tiba dicecah hujan
Usah sama mencecah basah
Kelak mencecah pening
Menjadi rutin semakin pusing

[Antara puisi yang termuat di dalam Antologi Penyair Muda Malaysia-Indonesia 2009, sempena Pertemuan Penyair Nusantara ke-3, Kuala Lumpur 2009. Susunan S.M Zakir dan Ahmadun Yossi Herfanda. Terbitan PENA]

Pesan guru, jika kamu tidak mahu jadi baik, jangan buat orang jadi jahat.

Pagi tadi, melalui telefon seorang ibu bertanya, mahu kepastian adakah filem Kami The Movie sesuai untuk anaknya yang masih belajar di tingkatan satu. Dan saya tidak mendengar jawapan yang diberi oleh Liyana Jasmay dan kawan-kawannya yang bertandang ke konti Hot Fm untuk mempromosi filem itu.

Saya tidak tahu apa jawapan yang Liyana Jasmay beri.

Sampai di meja kerja, saya membuka komputer dan mencari maklumat tentang filem ini.

Ibu yang menelefon, saya rasakan raya pertama ini biarlah anak ibu yang masih belajar di tingkatan satu itu dibawa menziarahi saudara mara.

Hari raya bukan untuk menonton filem. Hari raya untuk menyambung silaturrahim dan mengukuhkan persaudaraan.

Dan jika bukan hari raya pun, filem ini tidak sesuai untuk menjadi inspirasi kepada pelajar sekolah walaupun subjeknya mengenai peralihan usia dari zaman sekolah ke alam dewasa.

Maafkan saya jika prejudis. Malangnya filem remaja di Malaysia terlalu klise. Pemberontakan emosi, krisis gender, persoalan cinta yang kecundang dan kematian jiwa.

Jika memang persoalan itu yang melingkari usia remaja, mengapa perlu dipaparkan dengan babak yang serupa? Tanggungjawab sosial untuk membaiki masyarakat tidak diambil kira.

KOMA

Saya sedang menyelongkar persoalan perpaduan. Juga sedang menggali punca kematian jiwa generasi muda terutama remaja yang baru menamatkan alam persekolahan.

Setiap hari saya menerawang ke alam maya. Meneliti setiap maklumat yang diperolehi. Terjumpa satu blog yang bermakna.

Menyelongkar blog cikgu jimi, saya merasakan satu kelainan. Kisah proses pendidikan dan pengajaran yang dilaksanakan guru ini sungguh membuatkan saya berkata;

“Jika kita punya ramai guru sebegini, maka kerajaan akan goyang kaki. Tidak perlu memikirkan masalah keciciran pelajar dan masalah sosial yang melanda generasi muda.”

Namun, tidak semua guru bertindak sebagai guru.

KOMA

Mengunjungi blog cikgu jimi tidak pernah menghampakan. Juga pagi ini.

Beliau bercerita tentang kemunculan filem Laskar Pelangi. Filem hasil adaptasi novel Andrea Hirata dari Indonesia ini menampilkan kisah kanak-kanak gelandangan yang hidup dalam ruang yang sempit namun mampu membina dunia yang besar. Inilah kisah ‘kekitaan’ dan ke ‘kami’ an yang baik dalam menjelaskan konsep perjalanan meniti usia dewasa.

Membaca novelnya sahaja sudah cukup mengagumkan, apatah lagi jika menonton filemnya yang dikatakan sudah ditayangkan di Indonesia.

KOMA

Ibu yang menelefon Hot Fm pagi tadi, saya tarik balik kenyataan saya bahawa raya bukan hari untuk menonton filem.

Ibu, Hari Raya memang bukan untuk menonton filem di panggung wayang jika filemnya adalah kisah remaja yang sangat klise dengan porakperanda jiwa.

Ibu, Hari Raya adalah hari menonton filem jika filem yang ditayangkan penuh dengan nilai dan kebangkitan jiwa seperti filem Laskar Pelangi.

Lelaki Malaysia penyayang! Wanita Indonesia menawan dan menggoda !

Senyum. Gelak. Diam. Beku.

Lelaki Indonesia, kamu harus tahu kenapa lelaki Malaysia menjadi pilihan :

  • lebih bersifat penyayang
  • lebih memahami diri wanita
  • baik hati

Wanita Malaysia, kamu juga harus tahu kenapa wanita Indonesia digilai:

  • Berketerampilan dan lebih menggoda
  • kelembutan tingkah laku wanita seberang
  • Lebih langsing, lebih kecil molek
  • hantaran perkahwinan yang lebih murah
  • status wanita Malaysia yang semakin kukuh dan berpelajaran tinggi turut mewujudkan jurang antara mereka dengan lelaki tempatan
  • wanita Malaysia yang berpelajaran menjadikan soal jodoh sebagai perkara kedua selepas karier

Namun, banyak perkara harus dikaji. Bukan alasan harta dan kerakyatan kah?

Dan saya masih memikirkan kata-kata wanita Indonesia ini,

“Memang orang kata perempuan Indonesia suka rampas suami orang, tetapi saya berasa kita bukan bertepuk sebelah tangan.”

“Ada kalanya lelaki tempatan yang hendak sangat kepada wanita Indonesia,”

“dia tidak kisah jika jodohnya di Malaysia ditakdirkan bersama suami orang.”

Dan cerita di bawah hanya sekadar hiburan!

Untuk beberapa tahun, Ahmad Suffian telah mengadakan hubungan sulit dengan orang gajinya, Sutina. Suatu hari, Sutina memberitahu Ahmad Suffian yang dirinya mengandung.

Ahmad Suffian yang tidak mahu merosakkan perkahwinannya, telah mengambil keputusan untuk menghantar Sutina balik ke Bandung untuk melahirkan anak mereka di sana. Beliau berjanji akan menanggung segala kos untuk anak tersebut sehingga anaknya nanti berusia 18 tahun.Supaya rahsia mereka berdua tidak terbongkar, Ahmad Suffian menyuruh Sutina supaya menghantarkan sekeping poskad dengan menulis perkataan “Mee Bandung” dibelakangnya setelah anak mereka lahir nanti. Ahmad Suffian akan menguruskan segala perbelanjaan untuk anaknya setelah mendapat poskad itu nanti.

Suatu hari, 9 bulan selepas itu, ketika Ahmad Suffian pulang dari kerja, isterinya Norzalina menegur Ahmad Suffian dengan muka yang keliru.

“Bang … abang dapat poskad yang peliklah hari ni,” kata Norzalina.

“Oh, tak pe … bagi poskad tu kat Abang. Nanti abang jelaskan,” kata Ahmad Suffian.

Norzalina pun memberi poskad itu kepada Ahmad Suffian dan melihat Ahmad Suffian membaca poskad tersebut, sebelum muka Ahmad Suffian bertukar menjadi biru, ungu dan terus pengsan!!

Poskad itu berbunyi …

“Mee Bandung, Mee Bandung, Mee Bandung, Mee Bandung – 2 ada telur, 2 tiada telur. Tolong hantarkan kuah lebih ya!”

Lagu Aku Mau yang di beri oleh seorang teman, menemani saya ketika menyiapkan artikel semasa Hari Raya Korban yang lepas. Lagu yang dimainkan sebanyak 14 kali dalam masa sejam itu telah saya ulang dengar selama sepanjang hari.

Seperti yang pernah saya katakan suatu waktu dahulu, lagu dari negara jiran memang puitis, tapi tak semua. sebenarnya memang agak lama saya tak menghayati muzik dari sana. Mungkin ada rasa kecil hati akibat pertelagahan yang berlaku dalam blog sendiri melibatkan rakan dari Malaysia dan negara seberang itu. Kata-kata mereka yang banyak menghina dari memberi teguran baik ternyata memberi pengaruh kepada saya. Saya budayakan diri dengan mendengar xfresh f.m [yang tidak memutarkan lagu dari negara seberang itu, tetapi mempromosikan konsert dewa 19….huh..tak faham saya). Juga klasik f.m yang memutar lagu-lagu irama tradisional, menjadi pendamping ketika saya berada di pejabat.

Berbalik kepada lagu Aku Mau nyanyian once, saya memang menyukai lagu itu. Lirik dan senikatanya baik. Perasaan suka ini juga mungkin pengaruh oleh perasaan yang dibawa oleh orang yang memberi lagu itu kepada saya.

Aku Mau. Tajuknya ringkas kan? Lagu-lagu dari Malaysia juga banyak yang menggunakan tajuk yang ringkas, juga puitis.

Aku Mau. Saya tanya pada diri sendiri apa yang saya mahukan dalam hidup. Dan seperti kebiasaan, mengira detik ke tahun baru menimbulkan pertanyaan yang streotype untuk semua orang.

APA AZAM TAHUN BARU? Apa yang kamu mahu lakukan untuk tahun hadapan. Sudah tercapaikah hasrat dan impian untuk tahun ini?

Saya cuma inginkan bahagia. Wahai jejaka, bahagiakan saya sebaiknya, sedaya dan semampu yang boleh kamu lakukan. Sekian, Terima Kasih.

Semenjak mula diperkenalkan laman web rasmi kerajaan ini saya gunakan untuk membuat rujukan pelbagai perkara, pengumuman penting kerajaan dan juga mencari kerja kosong.

Hari ini, semasa saya sedang menggodek-godek laman web itu, saya terkejut dengan apa yang saya jumpa. Sesiapa boleh komen?

pic-1.jpg

dan yang ini…

pic2.jpg

Lagu Rasa Sayang jadi perbalahan? Baca ini juga


 Rasa sayang hey
 Rasa sayang sayang hey
 Hey lihat nona jauh
 Rasa sayang sayang hey
 
 ( di ikuti dengan pantun klasik/tradisional )
 
 Rasa sayang hey
 Rasa sayang sayang hey
 Hey lihat nona jauh
 Rasa sayang sayang hey

Lagu rasa sayang telah sebati dalam setiap jiwa orang Melayu. Mungkin juga kanak-kanak zaman sekarang tidak begitu mengenali lagu ini. Tetapi bila sebut sahaja lagu Rasa Sayang, semua orang tahu.

Alahai….Nak saman Malaysia hanya kerana lagu ini? Apa rasionalnya? Sebelum lagu ini dikomersialkan dan dijadikan salah satu lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2007, tiada pula negara seberang itu mengambil apa-apa tindakan.

Saya tidak faham, mengapa isu picisan begini dijadikan pertikaian oleh mereka. Lagu Rasa Sayang merupakan salah satu lagu klasik yang bertebaran di mana-mana negara kerana sifatnya yang catchy dan juga liriknya yang boleh diubahsuai mengikut keadaan semasa.

Lihat sahaja lagu ‘happy birthday’…Ada sesiapa atau mana-mana negara mahu mengaku bahawa lagu ini adalah lagu negara mereka? Tiada kan? Ada saman menyaman berlaku kerana lagu Happy birthday bertebaran di mana-mana negara?

Konsepnya sama. Lagu Happy birthday mahupun lagu Rasa Sayang merupakan tinggalan nenek moyang yang diwarisi secara lisan sejak turun temurun. Oleh itu, jangan sewenang-wenangnya menghina Malaysia dengan mengatakan bahawa Malaysia menciplak lagu itu dari Indonesia.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata isu itu sepatutnya tidak timbul kerana lagu berkenaan mahupun lagu rakyat yang lain seperti `Jauh Di Mata’, `Burung Pungguk’, `Terang Bulan’ adalah lagu-lagu nusantara yang diwarisi daripada nenek moyang dahulu.

Apa sebenarnya yang mereka inginkan? Hakcipta yang mana yang ingin didebatkan? Usahlah pertikaikan hal-hal sekecil ini dan saman menyaman hal-hal picisan begini yang akhirnya membawa kepada pecah-belah yang memalukan bangsa Melayu. Tidak kira sama ada Melayu Malaysia atau Melayu Indonesia.