bb

Seorang kawan beriya-iya bercakap hal teori. Karma.

Ya, sesuatu hal ada sebab mengapa ia berlaku. Dan sebab-musabab itu boleh jadi apa sahaja. Teori akan wujud di situ. Mungkin juga spekulasi. Paling bahaya syak-wasangka yang terhasil akibat terlalu berteori-teori dan memikirkan sebab akibat sesuatu hal.

Karma pula kamu jelaskan dengan ‘siapa buat jahat akan dapat balasan jahat. Buat baik pula di balas baik’. Iya itu betul.

Satu hal yang kamu terlupakan akibat permainan ‘angin barat’ itu.

Allah s.w.t.

Ya, saya katakan teori dan karma adalah permainan sang penjajah. Sehingga kita lupa setiap perkara itu adalah percaturan dan hal yang diuruskan oleh Allah s.w.t.

Ikhlas kawan. Ikhlas.

Iya, saya bukan baik benar. Usah pandang saya yang menyampaikan ini. Pandanglah dengan ikhlas apa yang mahu saya sampaikan.

KOMA

Teori dan karma banyak menghantui masyarakat kita sehingga mereka terikat dengan andaian-andaian yang akhirnya tidak benar. Memanglah, dah namanya andaian. Jadinya siapa yang berteori memang memandai-mandai sahaja. Jika benar? Oh, itu kebetulan, Tuhan mahu menguji sejauhmana kepercayaan kamu dengan teori dan karma atau kepada-Nya.

Kononnya mahu mengikat masayarakat agar lebih disiplin dan berbudaya dengan menekankan hukum karma.

Hey, siapa kamu mahu mempastikan ‘buat baik di balas baik, manakala yang jahat akan dibalas dengan jahat?’

Memanglah Tuhan sebutkan sesiapa yang mengingkari perintahnya, maka akan disumbat ke dalam neraka yang jahanam. Manakala siapa yang mengikuti segala perintahnya akan ditempatkan di syurga idaman. Itu hukum Allah s.w.t. Bukan karma.Bukan juga teori.

Jadinya?

Prinsip hidup terbaik [bukanlah terbaik, tetapi sebaiknya] – lakukan sesuatu dengan ikhlas hanya kerana Allah. Makanya dengan cara ini kita tidak akan kecewa apabila apa yang kita harapkan tidak menjadi.

Contohnya : Kamu buat baik, dan berharap orang akan membalas kebaikan kamu. Tetapi orang itu buat tidak tahu malah mengkhianati kamu. Kamu jadi marah kerana kamu penganut fahaman ‘karma’ yang katanya, buat baik akan di balas baik. Kamu mula marah, dan mengungkit. Mula berteori bukan-bukan mengapa orang itu tidak membalas kebaikan kamu.

Parah.

Ikhlas, memang hal yang subjektif kawan. Tetapi jika kita ikhlas kerana Allah, sanggupkah kita marahkan Allah? Sudah tentu sebagai hamba yang sedar diri, kita akan redha dan tahu, Tuhan takdirkan sesuatu bukan suka-suka. Ada sesuatu yang lain yang mahu ditunjukkan.

Istiqamah dalam ikhlas bukan mudah, tetapi cubalah yang terbaik. Paling penting usah perlekeh mereka yang ikhlas demi Allah.

Hal ini pernah dibincangkan semasa Perhimpunan Penulis Muda NAsional di Ayer Keroh, Melaka tempoh hari.

Ikhlas dalam menulis. Benar-benarkah kerana perjuangan dakwah atau kerana nama semata-mata? Hanya mereka yang menulis yang tahu apa tujuan sesuatu penulisan itu dihasilkan. Usah pertikai niat orang lain.

KOMA

DSC_1601

DSC_1598

Saya, menerima hadiah yang berharga dari rakan-rakan. Mereka ikhlas walaupun punya tujuan. Tujuan yang baik menjadikan pemberian itu sangat berharga. Ya, hari ini sangat manis buat saya.

Terima kasih Kak Nisah yang menghadiahkan buku kepada saya yang saya tahu tujuannya untuk saya bersemangat dalam penulisan. Saya amat hargai.

Terima kasih kawan menghadiahkan’buffalo’ buat saya dengan harapan kerja-kerja penyimpanan gambar saya lebih kemas dan efisien. Sangat berterima kasih.

Juga tempat menggantung kunci yang comel daripada kawan tidak bernama. Comel.

Kad ucapan yang dipenuhi tandatangan juga amat mengharukan.

Serta ucapan-ucapan selamat ulangtahun yang memenuhi ‘facebook’ saya. Terima kasih kawan.

Kek. Saya harap kamu yang memberinya ikhlas demi Allah. Jadinya bukan apa-apa jika saya tidak merasa kek itu. Usah tersinggung dengan hal remeh.

Siapa kata hari istimewa akan berlalu dengan baik? Bukankah Tuhan lebih mengetahui tentang gembira-duka-sedih-pilu hambaNya?

Maka, terima sahaja dengan BAIK.

Selalunya hari bahagia tidak akan ada duka. Ini kerana hari bahagia bagi sesetengah orang akan berlalu dengan baik dan indah kerana kuasa sedikit bahagia boleh memusnahkan segunung duka. Jika ada duka pun, tidak akan terasa, atau pura-pura lupa untuk seketika agar hari yang istimewa, pada hari itu, harus dinikmati sebaiknya.

Hari ini mungkin hari istimewa. Istimewanya kerana saya lahir ke dunia pada tarikh ini. Tapi ia bukanlah istimewa bagi saya. Hari ini tetap seperti hari-hari lain. Ada sedih. Ada gembira. Itu rempah ratus kehidupan kan?

Saya ada cara mengingati hari istimewa sendiri. Bukan bermakna saya abaikan ucapan-ucapan dan doa-doa dari kamu, kawan-kawan saya yang telah mengirimkan ucapan dan doa tersebut sejak pukul 12.01 tengah malam tadi. Saya menghargainya.

Apatah lagi terima kasih buat kamu, yang telah menghadiahkan novel ‘Pudarnya Pesona Cleopatra’ karya Habiburrahman El Shirazy buat saya. saya tahu kamu hadiahkan bukan kerana isi kandungan novel tersebut, tetapi kerana kamu tahu saya suka novel karya Kang abik itu. Terima kasih kawan.

Juga buat kamu [yang lain] yang telah memberi secebis manisnya menjadi wanita di dunia ini. Ya, saya terasa manisnya menjadi wanita di sisi kamu. Terima kasih memaniskan hari istimewa saya.

Tetapi buat kamu [yang lain], juga ucapan terima kasih kerana telah mengulang sejarah tahun-tahun lepas. Terima kasih kerana menjadikan hari istimewa saya hari ini begitu pahit.

Tetapi tidak mengapa. Manis dan pahitnya hari ini menjadikan saya seorang manusia yang lebih baik dari semalam. Bukankah itu lebih baik?

Kepada kamu yang saya kenal atau tidak, saya bukanlah seorang yang suka meminta-minta. Tapi kali ini, saya minta kamu semua doakan saya.

Agar saya menjadi apa yang ingin saya jadi.

Semoga saya menjadi lebih baik dari yang saya jangkakan.

Semoga saya tidak lupa peranan dan tujuan hidup di dunia yang hanya sekali sahaja ini.

AMIN.

Sabtu yang lepas saya menghadiri Perhimpunan Halal Geng Jurnal 2007. Jangan tanya saya apakah itu. Saya pun belum mengenali apakah itu Geju dan ahli-ahlinya. Saya dipelawa hadir oleh Lanrasso [yang tidak hadir].

Oleh kerana jadual saya agak lapang pada hari itu, maka saya hadirkan diri. Tiada gambar yang boleh dikongsi. Mungkin boleh sahaja ke Blog UngkuNor untuk mengetahui serba sedikit tentang perhimpunan ini.

Saya tidak pernah menghadiri pertemuan sebegini. Mungkin dari aspek kemeriahannya, seperti kata kak Ungku, memang kurang memandangkan ramai yang tidak hadir. Tetapi masih menarik dan best bagi saya yang baru mengenali Geju.

Mengenali rakan-rakan blog secara empat mata rupanya lebih menarik daripada memberi komen dalam blog-blog mereka. Secara jujur, saya tidak pernah membuka blog mereka kecuali blog sinaganaga.

Perhimpunan kecil ini memberi kesan dalam jiwa. Mereka, dan saya, siapapun kita saling memberi antara satu sama lain. Apa yang diberi? SEMANGAT untuk menulis.

Terima kasih juga atas doorgift yang menarik dan hadiah cabutan bertuah [semua orang dapat]. Nama saya disebut dua kali untuk dua cabutan bertuah. Alangkah bertuahnya, pertama kali datang dilimpahi hadiah yang menarik.

dsc00233.jpg

Ketika menamatkan sessi perhimpunan, saya beli tiga buah buku, sekaligus menamatkan prinsip saya untuk membeli dua buah buku dalam masa sebulan. Saya perlu cari masa untuk menghayati buku yang telah dimiliki ini.

dsc00242.jpg

dsc00238.jpg dsc00239.jpg dsc00241.jpg

Saya harap selepas ini geng jurnal buat banyak aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada blogger lain. Lupakan kelemahan yang ada dan cuba lakukan yang terbaik. InsyaAllah, saya akan sertai.

*Jejaka yang tidak tidur sekatil dengan saya telah membaca ketiga-tiga buah buku ini dalam masa sehari sahaja. Saya, bila nak mula baca ni?