hamba

“Saya Mustafa bin Mansor, Ketua Eksekutif Syarikat bla…bla…bla…”

“Saya Latif bin Ismail, Pengarah Pertubuhan bla…bla..bla…”

“Saya Abu Bakar bin Osman, CEO bla….bla…bla…”

“Saya Lutfi bin Ali, individu Islam.”

Ini dialog [sesi ta’aruf] yang benar-benar berlaku semasa mesyuarat yang baharu diadakan semalam.

*nama adalah rekaan semata-mata.

KOMA

Saya agak tersentap dengan ayat ‘individu Islam’ yang disebut oleh wakil dari sebuah pertubuhan yang terkenal tersebut.

Tiba-tiba terasa, apa sangatlah kerja dakwah yang bakal dilaksanakan jika kita masih mengaku kita adalah seorang Ketua Eksekutif atau Yang Dipertua mahupun apa-apa sahaja jawatan yang menunjukkan status.

‘Individu Islam’ yang disebut oleh wakil tersebut juga tiba-tiba membawa kita kepada suatu hal yang disebut ‘kesederhanaan’ atau ‘kehambaan’.

Namun, dari satu sudut yang lain, mungkin juga wajar kita memperkenalkan diri dan jawatan yang kita sandang.

Kerana itu adalah suatu kedudukan yang kita pernah usaha untuk mendapatkannya. Ia juga mungkin satu panggilan yang membuatkan kita lebih mudah menyampaikan idea dan pandangan.

Bukankah masyarakat memandang tinggi mereka yang berkuasa, berjawatan dan punya panggilan yang tertentu seperti Datuk, Yang Berhormat, Tan Sri dan sebagainya.

Usah lupa gelaran yang bermakna seperti Sasterawan Negara (SN) dan Profesor Emeritus, Budayawan Negara, Mufti,  dan pelbagai gelaran diperingkat akademik.

Apabila menyatakan sesuatu usul atau hukum malah pandangan, segera mereka yang punya kedudukan, kuasa atau gelaran akan dijadikan rujukan atau pegangan.

Kuasa. Panggilan. Jawatan tinggi.

Ketiga-tiga item tersebut akan lebih bermakna jika benar-benar digunakan dengan penuh hikmah, kesederhanaan dan kehambaan.

kuntum1

“Awak harus panggil saya kakak, kerana umur saya lebih banyak dari awak,” jelas saya padanya.

“Awak tidak nampak tua bagi saya. Beza berapa tahun sahaja,” jawabnya.

Sebenarnya sahabat saya itu tidak mahu memanggil saya kakak bukan kerana saya nampak muda dari segi fizikal tetapi apa sangat beza umur jika mahu dibandingkan dengan peri pentingnya perkara yang boleh dikongsi. Oleh semua manusia. Tanpa mengira apa latar belakang dan umur seseorang.

KOMA

I

“Puan,”

Saya belum kahwin,”

II

“Kakak,”

Siapa kakak kamu?”

III

“Makcik”

Aik, saya nampak tua kah?”

*Ini dialog yang biasa kita dengar.

KOMA

“Tapi, kaum wanita sangat pentingkan gelaran yang dipanggil. Gelar ‘kakak’ jika lebih tua dan belum lagi masuk hal ‘cik’, ‘puan’, ‘makcik’ dan segalanya. Tanda hormat dan budaya adab sopan,” sambung saya lagi.

“Ala, wanita, jika kita panggil dia kakak sedangkan dia perasan dirinya muda, dia akan marah. Cuba panggil dengan panggilan yang lebih muda dari usianya, pasti wanita itu akan tersenyum manis,” jawab teman yang lain.

Apa kata kamu?