Babak ini merupakan antara babak yang tak mungkin dilupakan oleh peminat filem-filem P.Ramlee.

Mana mungkin lupa, P.Ramlee membawa kebijaksanaannya dalam merungkai persoalan jiwa manusia yang sangat baik.

Saya kira, saya tidak akan bertindak seperti Cik Salmah jika saya marah.

Paling jahat, saya akan gunakan kata-kata berunsur sinisme dan sarkastik.

Paling baik saya diam sahaja.

Dan diam bukan beerti setuju kawan!

KOMA

Saya terfikir, mengapa Sarip Dol suka mengganggu Cik Salmah walaupun jelas, Cik Salmah tidak suka kepadanya. Saya kira Sarip Dol tahu akan hal itu.

Mungkinkah Sarip Dol terlalu ‘bengap’ membaca perilaku Cik Salmah yang jelas-jelas membenci beliau?

Atau Cik Salmah terlalu sopan dan beradab dalam usaha mengelak gangguan Sarip Dol?

Marah Cik Salmah tidak cukup marah. Jelingan Cik Salmah belum cukup tajam. Kata-kata Cik Salmah tidak membahang berapi.

Perlukah Cik Salmah menolak didikan ibunya bahawa orang Melayu terutama wanita, harus menjaga adab tutur, supaya Sarip Dol faham yang Cik Samah betul-betul tidak suka kepadanya?

Dan Sarip Dol pula, harus faham jati diri wanita Melayu yang menolak sesuatu dengan hemah dan adab.

Mungkin juga Sarip Dol bukan berketurunan Melayu.

KOMA

Tidak ‘faham bahasa’ bukan dari segi harfiahnya atau literalnya.

Faham bahasa bukan sahaja memahami bahasa yang dituturkan tetapi juga memahami budaya penutur, perangai dan tingkahlaku penutur yang menuturkannya.

Saya kira babak antara Cik Salmah dan Sarip Dol adalah satu kritikan yang ringkas terhadap manusia Melayu seperti Cik Salmah yang tidak mengekspresikan kemarahannya dan kebenciannya secara jelas akibat didikan ‘kesopanan dan kesusilaan’ yang telah ditanam di dalam jiwa halus Melayunya.

Saya kira  Sarip Dol merupakan wakil golongan manusia yang tidak faham bahasa.

Jika ada selain itu, sila maklumkan saya.

KOMA

Saya fikir, kamu tentu faham mengapa kadang kita harus menidakkan adab dan sopan terutama berhadapan dengan orang yang tidak faham bahasa.

Saya bukan Cik Salmah.

Dan saya harap kamu jangan seperti Sarip Dol.

Mual.

Advertisements

k

“Hari ini kamu baik?” tanya cik M.

“Agak baik, ” jelas saya sambil menentang matanya. Bersinar dan cantik seperti biasa.

“Semalam bagaimana? Kamu tidak bercakap dengan saya. Kamu hanya memandu dan memandang ke hadapan dengan kosong. Saya juga lihat ada titis air mata yang tidak kamu seka. Paling saya kesalkan, kamu tidak memandang-mandang saya di sini. Padahal banyak cerita yang ingin saya sampaikan. Banyak bahagia yang ingin saya sebarkan kepada kamu.” Leternya membuat saya terpana.

Lalu pagi ini, saya jelaskan kepadanya mengapa saya berperi sedemikian semalam. Tentang luka kecil pada kereta. Tentang bahagia-derita, tentang apa sahaja. Seperti selalu-selalu.

Dan dia mendengar dengan terbuka, sambil menyebar cahayanya. Begitulah selalu-selalu. Ada cerita, ada puisi, ada lagu mengiringi perjalanan saya dan dia. Ada sesuatu di situ. Untuk seni bercakap-cakap saya.

Terima kasih Cik Matahari.

KOMA

“Kamu makan tongkeng ayam?” tanya saya apabila melihat dia memesan nasi lemak dua bungkus dengan sepinggan tongkeng ayam yang digoreng rangup.

“Ya, untuk seni bercakap-cakap saya,” katanya sambil meratah tongkeng ayam goreng yang kedengaran agak rangup.

“Seni bercakap-cakap? Untuk apa?” tanya saya benar-benar kurang mengerti tingkahnya.

“Aku kan bakal peguam. Makan ‘benda alah’ ini boleh membuatkan aku berhujah dan bertingkah dengan sesiapa sahaja dengan lancar dan baik,” jelasnya lagi sambil menyuakan tongkeng ayam yang digoreng rangup itu ke arah mulut saya.

‘Makan tongkeng ayam nanti mulut tak reti diam’.

Kata-kata arwah nenek mula menyinggah dalam benak saya. Saya diam sambil memandang dia menyudahkan nasi lemak dan tongkeng ayam rangup itu.

Kini, dia seorang peguam. Dahulu dia seorang pendebat universiti yang hebat. Cakaplah apa sahaja. Memang dia percaya seni bercakap-cakapnya itu adalah kerana dia makan tongkeng ayam rangup.

KOMA


“Kenapa suka sangat menonton siri ini?” tanya Ita.

“Sebab seni bercakap-cakapnya hebat.” Balas saya ringkas dengan harapan Ita berhenti bercakap kerana saya tidak mahu ketinggalan satupun dialog dalam drama bersiri ini.

“Iyakah?” tanya Ita mahu menduga lagi.

“Cuba beritahu kakak, ada tidak siri drama begini di Malaysia? Yang kekuatan ceritanya bukan makhluk yang cantik-cantik tetapi kekuatannya terletak pada skrip yang bagus,” tanya saya tanpa mengharap jawapan daripadanya.

Saya suka menonton siri Gilmore Girls kerana ceritanya ‘banyak cakap’. Ia membuatkan cerita bergerak pantas dan bermakna. Buat saya. Berapa tebal agaknya skrip drama ini?

Mungkin hasil dialog begini yang Pn. Ainon mahukan. Seperti dalam Teknik Surah Yusof. Aksi digerakkan oleh dialog.

Dan pernahkah kamu menonton drama seperti ini di Malaysia, maksud saya dari aspek kekuatan skripnya dan seni bercakap-cakapnya?

Pesan guru, jika kamu tidak mahu jadi baik, jangan buat orang jadi jahat.

Pagi tadi, melalui telefon seorang ibu bertanya, mahu kepastian adakah filem Kami The Movie sesuai untuk anaknya yang masih belajar di tingkatan satu. Dan saya tidak mendengar jawapan yang diberi oleh Liyana Jasmay dan kawan-kawannya yang bertandang ke konti Hot Fm untuk mempromosi filem itu.

Saya tidak tahu apa jawapan yang Liyana Jasmay beri.

Sampai di meja kerja, saya membuka komputer dan mencari maklumat tentang filem ini.

Ibu yang menelefon, saya rasakan raya pertama ini biarlah anak ibu yang masih belajar di tingkatan satu itu dibawa menziarahi saudara mara.

Hari raya bukan untuk menonton filem. Hari raya untuk menyambung silaturrahim dan mengukuhkan persaudaraan.

Dan jika bukan hari raya pun, filem ini tidak sesuai untuk menjadi inspirasi kepada pelajar sekolah walaupun subjeknya mengenai peralihan usia dari zaman sekolah ke alam dewasa.

Maafkan saya jika prejudis. Malangnya filem remaja di Malaysia terlalu klise. Pemberontakan emosi, krisis gender, persoalan cinta yang kecundang dan kematian jiwa.

Jika memang persoalan itu yang melingkari usia remaja, mengapa perlu dipaparkan dengan babak yang serupa? Tanggungjawab sosial untuk membaiki masyarakat tidak diambil kira.

KOMA

Saya sedang menyelongkar persoalan perpaduan. Juga sedang menggali punca kematian jiwa generasi muda terutama remaja yang baru menamatkan alam persekolahan.

Setiap hari saya menerawang ke alam maya. Meneliti setiap maklumat yang diperolehi. Terjumpa satu blog yang bermakna.

Menyelongkar blog cikgu jimi, saya merasakan satu kelainan. Kisah proses pendidikan dan pengajaran yang dilaksanakan guru ini sungguh membuatkan saya berkata;

“Jika kita punya ramai guru sebegini, maka kerajaan akan goyang kaki. Tidak perlu memikirkan masalah keciciran pelajar dan masalah sosial yang melanda generasi muda.”

Namun, tidak semua guru bertindak sebagai guru.

KOMA

Mengunjungi blog cikgu jimi tidak pernah menghampakan. Juga pagi ini.

Beliau bercerita tentang kemunculan filem Laskar Pelangi. Filem hasil adaptasi novel Andrea Hirata dari Indonesia ini menampilkan kisah kanak-kanak gelandangan yang hidup dalam ruang yang sempit namun mampu membina dunia yang besar. Inilah kisah ‘kekitaan’ dan ke ‘kami’ an yang baik dalam menjelaskan konsep perjalanan meniti usia dewasa.

Membaca novelnya sahaja sudah cukup mengagumkan, apatah lagi jika menonton filemnya yang dikatakan sudah ditayangkan di Indonesia.

KOMA

Ibu yang menelefon Hot Fm pagi tadi, saya tarik balik kenyataan saya bahawa raya bukan hari untuk menonton filem.

Ibu, Hari Raya memang bukan untuk menonton filem di panggung wayang jika filemnya adalah kisah remaja yang sangat klise dengan porakperanda jiwa.

Ibu, Hari Raya adalah hari menonton filem jika filem yang ditayangkan penuh dengan nilai dan kebangkitan jiwa seperti filem Laskar Pelangi.

Saya lulus ujian berkomputer undang-undang untuk mendapatkan sijil JPJL 2A. Ha ha [gaya sinaganaga]…saya lulus dengan cukup makan. Lebih satu atau dua sahaja. Agak tertekan. Kasihan Melissa, kali kedua juga gagal. Jangan murung ditepi tangga. Sebaiknya balik atau….

Saya, menuju ke komuter setelah menerima transkrip ujian itu. Beli tiket tapi bukan ke syurga. Hanya Mid Valley. Tengok wayang.

Antara filem Cuci dan Kala Malam Bulan Mengambang [KMBM], Saya pilih KMBM kerana saya tidak suka melihat lakonan AC Mizal dan Erra Fazira. Maaf juga filem Cloverfield, Meet The Spartan dan John Rambo. Saya perlukan hiburan jiwa yang santai.

kala_malam.jpg

Tak ramai dalam panggung. Sekitar 10 orang. Mungkin sudah di penghujung waktu tayangan.

Saya bukan pakar dalam menilai. Bagi saya filem ini memang bagus. Kisah seram, komedi, sedih. Ada penyiasat, gangster, misteri dan… ehem…lucah. Lucah kerana penari nampak pusat kah? Atau tukang urut yang gemuk yang memperkosa Salleh? Atau Cik Rogayah yang menggoda? atau…Dr Rushdie yang menunjukkan isyarat tangan yang lucah? Entahlah…

Filem ini disampaikan dalam bentuk ‘Neo-Noir’(hitam putih). Kronologi penceritaan filem ini yang berlatarkan tahun 1950-an.

Sebagai wartawan [walaupun hanya wartawan laman web], cerita ini memang seronok untuk dilihat dari aspek pengalaman seorang wartawan. Betapa sukarnya mencari berita yang baik untuk masyarakat sehingga berdepan dengan situasi hidup atau mati.

Ramai yang berkata watak Salleh lebih kena dengan allahyarham Hani Mohsin. Tapi, Rosyam Nor apa kurangnya.

‘Kala Malam Bulan Mengambang’ adalah sebuah filem hitam putih yang merungkai misteri kehilangan pemuda di pekan Senduduk Rimbun pada setiap kali purnama menjelang. Misteri bermula apabila tayar kereta Saleh, seorang wartawan [yang baru kehilangan kerja, berpenyakit angin pasang] ditusuk sesuatu yang menyerupai rangka tangan sedang memegang ukiran lama berbentuk keris. Tayar kereta yang pancit menyebabkan Saleh terpaksa menghantar keretanya ke bengkel Jongkidin dan bermalam di pekan itu. Sepanjang berada di pekan Senduduk Rimbun, Saleh menyedari penduduk pekan itu seakan-akan menghalaunya pergi dari situ. Semakin lama Saleh tinggal di pekan itu, semakin banyak perkara misteri berlaku. Ada orang tangan merah! Ada jembalang! Ada keris! Walaupun telah diberhentikan tugas sebagai wartawan tetapi naluri kewartawanan yang sangat kuat dalam dirinya menyebabkan Saleh bertekad merungkai setiap kejadian misteri yang berlaku di pekan Senduduk Rimbun.

Pelakon : Rosyam Nor, Umie Aida, Farid Kamil, Avaa Vanja, Corinne Adrienne, Bront Palarae, Kuswadinata, David Teo, Mohd Hitler Zami, Sofi Jikan dan Corrie Lee.

Saya suka filem ini. Hampir tergelincir tulang rahang kerana terlalu banyak gelak. Sekali ingat komedi dalam filem ini sama seperti filem Lang Buana. Bukan komedi bodoh.

Hari ini merupakan hari yang indah. Dan beginilah hari-hari kita, jika kita bijak mencoraknya.

Ayat-Ayat Cinta. HAbiburrahman El-Shirazy.

Saya temui entri ini di sini. Dan saya senyum.

Saya agak lambat dalam mengenali novel ini. Pertama kali melihatnya di kedai buku, saya mencebik dan tanpa memandang dua kali mahupun sekurang-kurangnya membaca sinopsisnya, saya berlalu meninggalkan rak jualan novel berbahasa Melayu itu dengan kecewa. Kecewa kerana hati gagal tertarik kepada mana-mana novel masa kini yang berlambak di pasaran.

Pada penghujung bulan oktober 2007, saya berpeluang mendekatkan diri dengan program yang dianjurkan oleh DBP. Keterujaan itu berbaloi kerana saya bukan sahaja dapat berdampingan dengan ramai penulis karya kreatif, malahan dapat ilmu yang pelbagai.

Semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, saya berbual dan berjumpa kali pertama dengan encik Jimadie dan encik Azlan [yang bakal menjadi guru memandu saya]. Apabila beliau bertanya tentang novel yang saya sedang baca. Saya katakan, tiada.

ayat-ayatcintaw300h455.jpg Ayat-Ayat Cinta merupakan novel yang dicadangkan oleh encik Azlan. Beliau juga bercerita itu ini dengan saya tentang isi kandungan buku tersebut. Saya hanya senyum dan senyum tanpa keazaman mahu memiliki novel tersebut.

Ayat-Ayat Cinta saya miliki pada 11.12.2007. Tarikh yang sangat terlewat. Di kala novel ini sudah lunyai bukan sahaja di kalangan pelajar-pelajar tahfiz atau sekolah pondok malahan mana-mana pembaca di seluruh negara. Malahan di kala novel ini sudah jauh dari bicara para pengulas buku, saya baru mula membacanya.

Dan benar seperti kata mereka. Novel ini boleh diangkat sebagai karya sastera Islam yang berjaya.

Watak Fahri yang kelihatan terlalu sempurna dan tak masuk akal [pendapat seorang teman], memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan saya dan jutaan pembaca yang lain. Sebenarnya, Fahri masih punya kelemahan. Dan gambaran demi gambaran yang dipaparkan melalui wataknya benar-benar mengagumkan. Saya percaya masih ramai lelaki sepertinya di dunia ini. Begitu juga dengan watak-watak mulia yang lain seperti Aisha, Maria, Nurul dan lain-lain.

ayat_ayat_cinta_posterpreview.jpg

Jika novel ini berjaya menambat hati pelbagai golongan pembaca, tidak mustahil filemnya juga akan mendapat pujian. InsyaAllah.