DSC_0798

Hari ini, Hari Jururawat Sedunia. Itupun saya tahu dari saluran radio Sinar FM.

Tapi entah kenapa, jururawat yang saya temui hari ini tidak langsung tersenyum tanda bangga dengan kerjaya mereka.

Jadinya, saya tinggalkan klinik panel itu dengan ubat dan slip cuti kecemasan.

Waktu ini saya tidak menangis walaupun berkali-kali berjumpa dengan doktor ini dan jururawat klinik ini yang lokek dengan senyuman.

Semoga demam ini kebah segera.

Penat dengan demam.

KOMA

Badan saya semakin panas. Tekak pula semakin pedih walau dua papan pil hijau seperti gula-gula Polo itu telah saya hisap.

Tidak mengapa. Mungkin badan saya benar-benar letih dan mahukan rehat yang cukup. Dan ‘hapus dosa’ yang telah saya buat.

Saya kira pada hari pertama demam, dengan meninggalkan novel berat saya akan mampu merehatkan minda. Rupanya tidak. Bukan novel berat yang melelahkan lagi demam itu. Tapi saya rasa memang badan saya dan mental saya lemah.

Jadinya semalam dan hari ini, saya ‘layan’ hal-hal yang berat ketika berada di rumah.

KOMA

Semalam saya menonton filem 1200 Degrees. Mungkin ini filem lama sebab ditayangkan di saluran Astro. Tentang dunia perundangan, penyiasatan dan konflik di antara manusia dan undang-undang.

Saya menangis ketika trem yang terkandas di dalam terowong tidak dapat di selamatkan. Dr. Sabine Fink juga membawa wataknya dengan cermat dan comel. Saya suka bila ada skrip tentang falsafah kemanusiaan dipaparkan. Katanya, kemanusiaan bermakna, manusia tidak akan terkorban untuk satu-satu perkara. Jadi, manusia boleh menentang undang-undang yang kebanyakkannya memenangkan dan melindungi pihak tertentu.

Dan hal ini saya temui juga di dalam novel Panggil Aku Melaju karya Rahmat Haroun Hashim yang saya kira karyanya itu banyak memperkatakan dan menyindir isu semasa yang menyebabkan orang Kuala Lumpur banyak yang berpenyakit mental [jika kamu perasan dan jika kamu tegar mengikut perkembangan terkini dunia politik dan birokrasi di negara kita].

Selepas filem 1200 Degrees, ada filem Bukit Kepong bakal dihidangkan. Oh, saya tidak sanggup melihat filem itu yang saya rasa akan menjadi trauma yang panjang buat saya seperti zaman-zaman sekolah dahulu.

Tangis saya seka, cuba mengemas rumah dan cuba melawan rasa lelah.

KOMA

Hari ini, saya menangis lagi. Bukan hal doktor yang tidak mesra pesakit tadi dan err…saya kira ubat batuk saya mungkin tersilap kerana ia berwarna merah dan seperti ubat batuk kanak-kanak sahaja. Tidak mengapalah, doktor kan lagi bijak daripada pesakit. Telan sahaja.

Menonton Oprah, dan membaca Kacip rupanya boleh merangsang mental yang sedang sakit.

Oprah dengan topik yang agak menarik iaitu, “bagaimana anda menangani usia 40, 50 dan 60 tahun”. Pengurusan mental di Barat saya lihat sangat baik dengan adanya siri Oprah yang banyak memberi input yang baik dalam pelbagai hal.

Pelbagai kisah yang membawa tangis bukan sahaja kepada mereka yang di dalam televisyen itu, malah saya yang menonton juga turut menangis merasai keperitan dan kemanisan dalam menangani hidup yang hanya sekali ini. Adakah kerana saya perempuan?

Bayangkan, seorang pensyarah yang mempunyai 7 orang anak akhirnya menemui ‘hidup’nya semasa usia 47 tahun iaitu bermain muzik. Tidak terlupakan seorang akauntan yang berjaya akhirnya beralih arah dengan perniagaan coklatnya pada usia 54 tahun.

Saya kira Pipiyapong juga begitu. Berkenaan hal pencarian hidup, bertukar-tukar kerja dan pengalaman-pengalaman yang jika dilihat sekali imbas sangat ringan, tetapi sebenarnya tidak.

Membaca halaman-halaman awal Kacip saya kira buku blognya itu bukanlah cebisan perasaan dan luahan yang ringan. Saya menangis membaca beberapa kisah yang saya kira kita selalu lupa dan buat-buat lupa tentang kesusahan masa lalu yang banyak mematangkan kita pada hari ini. Tentang kisah Bob, tentang Kuala Lumpur dan diri penulis serta pengalaman-pegalaman kerjanya.

Saya kira, saya tarik balik kata-kata yang menyebut harga RM20 tidak berbaloi dengan buku yang nipis itu dan penulisnya yang terkedu ketika diminta menurunkan tandatangan. Saya kira terkedu dan terkial-kial itu adalah kesan pengalaman hidupnya yang lampau.

Baru baca sehingga mukasurat 63. Jadinya tidak boleh ulas lebih-lebih.


Advertisements

klabNovel Ketika Cinta Bertasbih dibeli di Mihas 2009, manakala Di Bawah Lindungan Kaabah di beli di KLIB 2009


“Sudah makan ubat?” tanyanya, agak menyejukkan hati.

“Sudah.” Jawab saya.

“Sekarang sedang buat apa? tanyanya lagi.

“Baca novel Panggil Aku Melaju,” jawab saya lagi.

“Apa? Novel yang berat itu? Berehatlah.” Dia agak terkejut.

Memang benar, ketika suhu badan meningkat tiba-tiba yang saya syak akibat cuaca yang sangat panas, sebaiknya saya berehat. Tetapi, mata tidak henti-henti merenung novel Panggil Aku Melaju ini yang sudah dibaca sehingga mukasurat 42. Sangat menarik.

Novel berat ini, akhirnya saya abaikan dan mula mencari buku-buku yang saya beli di Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2009 semalam.

Mungkin boleh pilih yang agak ringan sikit.

KOMA

Semalam, saya ke Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2009.

Membelanjakan sejumlah wang untuk buku-buku yang memang saya idamkan sehingga bajet untuk membeli dan menempah dua pasang baju kurung bulan ini telah dihabiskan.

Konon nak lihat-lihat sahaja.

Bahan bacaan berat dan ringan.

  1. Perburuan – Pramoedya Ananta Toer
  2. Subuh – Pramoedya Ananta Toer
  3. Gukat Di Jakarta – Pramoedya Ananta Toer
  4. Aku ini Binatang Jalang – Chairil Anwar
  5. Jatuhnya Sang Imam – Nawal el Saadawi
  6. Kasut Biru Rubina – Sufian Abas
  7. Dua Lauk – Taf Teh dan D’ianadi
  8. Akulah Perempuan Muda Itu – Shaira Amira (puisi pop untuk pari-pari terbuang)
  9. Kacip – Pipiyapong

Jadinya, dalam senarai ini, akan saya pilih yang ringan. Dan ingatan buat mereka yang benar-benar mahu mencari buku, ajaklah kawan yang suka membaca.

KOMA

Selamat Hari Ibu buat semua.

Sakit atau sihat.

“..kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” [Surah An-Nahl, ayat : 69]

Malam tadi saya selesema dan batuk yang agak kuat. Tiba-tiba. Kerana pada siang harinya saya biasa-biasa sahaja. Mungkin juga kerana terlalu banyak minum milo ais yang Ita buat ketika baru pulang dari kerja.

Mungkin juga batuk dan selesema yang dihidapi itu ‘dihantar’ oleh seorang jejaka yang jauh dimata, kerana dia mengalami selesema dan demam yang agak serius, [dan saya mentertawakan jejaka tersebut yang bersuara sengau semasa kami berbual melalui telefon bimbit].

Seperti yang saya beritahu pada jejaka tersebut, saya jarang mengambil ubat-ubatan moden [paracetamol] semata-mata mahu meredakan demam atau selesema [kerana saya pernah dimasukkan ke hospital akibat tertelan panadol terlalu banyak semasa kecil dahulu].

madu.jpg Pesan ibu dan abah, supaya saya menyimpan madu asli di dalam rumah. Abah juga seperti saya – tidak suka bergantung kepada ubat hospital. Makanya, abah mengamalkan meminum sesudu madu setiap hari dan apabila demam atau batuk, madu juga yang dicari.

Sebenarnya, semasa saya menasihati jejaka itu supaya dia minum madu untuk melegakan selesema dan panas badan, saya juga tidak pernah mencuba lagi petua kesihatan itu. Malah madu yang manis itu, hanya menjadi perhiasan di rumah [itupun, abah yang beri].

Malam tadi, sebelum tidur, tekak dan hidung terasa pedih. Saya minum sesudu madu asli dan sesudu air suam. Dan pagi ini, sebelum menyeterika baju, sesudu madu menjadi juadah pagi saya. Alhamdulillah, sepanjang hari ini, tekak dan hidung saya dalam keadaan yang selesa.

Bercerita tentang madu, saya sudah boleh menerima konsep bermadu asalkan cara dan tujuan serta pelaksanaannya mengikut syariat Allah s.w.t.

beemovie.jpg

Bercerita tentang madu juga, saya telah membeli DVD ‘Bee Movie’ arahan Jerry Seinfeld yang dikatakan menarik, namun belum sempat menontonnya sehingga habis. Dan oh ya, patung Bee yang dimiliki semasa membeli hidangan bernilai di Mc Donald juga sangat comel.

Madu juga mengingatkan saya tentang kuih raya tahun lepas iaitu nestle conflakes bermadu, yang tidak begitu menjadi kerana kekurangan madu.

Kepada encik jejaka, percayalah, madu mempunyai pelbagai kegunaan dan khasiat. Keberkesanannya bergantung kepada sama ada madu tersebut asli atau tiruan. Untuk keterangan lanjut, baca :

*Kenapa saya gunakan tajuk di atas? Kerana pada waktu ini saya sedang mendengar lagu Madu dan Racun nyanyian Arie Wibowo