kereta

Gambar sekadar hiasan. Ini kereta mainan di atas pc

“Kan senang kalau bawa kereta. Tak payah susah-susah naik bas. Bergesel dengan warga asing, bau busuk, pengsan, bau rokok,” kata jejaka itu.

“Tak mahu bawa kereta tu. Kereta tu tak cool,” jawab saya sambil memuncungkan bibir.

“Oooo masalahnya kereta tu la? Bukan sebab lain?

Sebenarnya bukan masalah kereta ‘bukan idaman’ saya itu. Tetapi masalah lain juga. Apa ye?

  1. Bila bawa kereta tak boleh baca buku
  2. Bila bawa kereta tak boleh bersenang-lenang tidur
  3. Bila bawa kereta kena isi minyak dan bayar tol. Naik bas cuma RM2 pergi balik.
  4. Bila bawa kereta kena cari parking, lepas tu pulas stering sampai sakit tangan kalau dapat parking yang sempit.

Dan ke 5, 6, 7, 8, 9, 10, 11…..alasan lagi.

Hehehhe…kalau dah tak suka, mampu cipta seribu alasan.


Pagi ini, suara khairil Rasyid yang biasanya hadir bersama suara Puan KE dan Encik SY, didengari secara solo di Sinar Fm. Dan itu lebih baik kan?

Khairil tanya pendengar Sinar fm, sama ada sempat atau tidak mengisi minyak dengan harga lama semalam? Ramai yang kata sempat. Dan ada juga yang tidak sempat.

Apa bezanya sempat atau tidak? Minyak merupakan satu keperluan kepada mereka yang mempunyai kenderaan persendirian. Hendak atau tidak, akan berhadapan juga dengan situasi harga minyak yang baru kan?

KOMA.

Malam tadi berita di televisyen memaparkan tajuk kecil yang jika dibaca dengan kuat akan berbunyi begini “Berkuatkuasa tengah malam ini”.

Dan huraiannya, harga petrol naik RM 0.78 dan diesel RM 1 seliter. Menjadikan harga baru petrol menjadi RM 2.70 dan diesel RM 2.58 seliter.

Berita itu tidak menyentuh hati saya kerana pakaian Norazlina A’ala, maksud saya tudungnya, sangat cantik. Warna hijau.

Selepas itu ada Pak Lah kat televisyen. Cakap pasal subsidi, bantuan kerajaan, bla…bla…bla…

Saya jenguk ke luar tingkap. Melihat keadaan stesen minyak yang berada lebih kurang satu kilometer dari tingkap rumah saya.

Sesak!

Saya tidak terkesan juga. Mungkin kerana saya tidak akan membeli petrol kerana saya tidak punya kereta pada masa ini.

KOMA.

Pagi ini, tiba-tiba otak saya menerawang kembali tentang berita malam tadi. Ini semua gara-gara saya harus membayar RM2 kepada encik bas untuk perjalanan ke pejabat yang sebelum ini hanya bernilai RM1.50.

Dan saya memikirkan kemungkinan barang-barang atau perkhidmatan yang bakal naik berikutan kenaikan harga minyak ini.

Aduhai!

Ini bukan kisah asamaradana dan imaginasi yang maha liar seorang gadis kepada jejakanya. s-m-s erotik itu tidak mengubah apa-apa pun. Percayalah!

Semua orang mengimpikan kedudukan yang teratas. Kononnya punya kuasa. Hendak buat apa pun boleh. Terutama untuk tujuan “merehatkan” diri atau “tidur-tidur” ayam.

Kedudukan teratas dikaitkan dengan kuasa. Tahu kan apa yang boleh kamu lakukan dengan kuasa?

kedudukan teratas juga memberi kelebihan yang pelbagai kepada kamu. Yang terutamanya sudah tentu kamu akan rasa lebih tinggi dari orang lain. Apabila kamu berada ditingkat yang lebih tinggi dari orang lain, maka dari situ kamu akan menyaksikan segala perkara;

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Percayalah, dengan berada di atas sahajalah kamu akan kenal semua perkara itu. Lantas apa tindakan kamu sebagai orang yang berada di atas? membiarkan sahaja atau berbuat sesuatu?

Zaman sekarang jangan tidak percaya jika melihat orang yang di atas selalunya hanya tidur-tidur-tidur.

Jika terlihat sesuatu kepincangan nilai kemanusiaan pun, mata mereka yang di atas seolah-olah kabur-buta-katarak.

Kadang juga mereka sengaja menulikan telinga dengan menyumbat earphone dan menikmati lagu-lagu pelbagai rentak, menghangguk-hanggukkan atau sekadar menggoyang-goyangkan kepala tanda menikmati kehidupan di atas itu. Satu escapisme yang baik untuk memutuskan silaturrahim dengan kelompok yang berada di bawah juga rakan-rakan yang berada di barisan atas.

Ahhh…itu semua tidak penting. Yang pastinya kamu sudah termasuk di dalam golongan di atas. Memang itu impian kamu kan? Juga impian mereka yang sentiasa mahukan acara yang lebih dari orang lain.

Dan kamu-kamu-kamu yang berada di bawah, menjalari hidup dengan berselisih dengan mereka yang berada di atas, masih perlu berhati-hati.

Kerana tidak semestinya yang berada di atas itu tidur-tidur belaka. Masih ada yang berjaga, memerhatikan dan mencatat segala yang kamu lakukan seperti…

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Dan teknologi terkini yang mereka ada akan digunakan untuk merakam segala perbuatan kamu yang tidak bermoral itu. Hati-hati dengan kuasa orang yang berada di atas yang tidak tidur dan memainkan peranannya sebagai manusia di muka bumi ini. Percayalah, kamu yang berada di bawah akan sentiasa diperhatikan.

*Entri ini ditujukan khas buat kenderaan-kenderaan kecil seperti kereta, van dan motorsikal yang berselisih atau berhenti di sebelah bas. Kami yang berada di dalam bas lebih tinggi kedudukan dari kamu. Kami dapat perhatikan dan merakam apa yang kamu lakukan di dalam kenderaan kamu.

Berhati-hatilah kepada kamu yang asyik meraba-raba peha gadis kamu yang berada di sebelah. Juga berwaspada kepada gadis yang memakai baju yang seksi yang boleh mempamerkan sebahagian buah susu kamu kepada kami yang berada di atas.

Dan terlebih penting, ketika kamu berseronok-seronok melakukan sesuatu yang tidak bermoral di dalam kenderaan kamu tidak kira kamu di kedudukan atas atau bawah, Percayalah, ada lagi yang di ATAS yang sedang memerhati kamu, mencatat segala perlakuanmu dan tidak terelakkan juga, segala yang kamu lakukan dimuka bumi ini akan dihitung kelak. Berhati-hati!


1.jpg

Bas. Menjadi pengangkutan utama saya. Banyak manusia saya temui di situ. Banyak nilai dipelajari di situ. Banyak perkara saya hadapi di situ.

Semalam, saya biarkan bas Metro 100 berlalu. Juga bas SJ. Juga bas Selangor [yang merupakan pilihan terakhir saya]. Saya tunggu Rapid KL. Kerana tiket Rapid KL pagi tadi masih boleh digunakan sepanjang hari. Jimat. Konon.

Semalam. Rapid KL penuh. Saya naik juga. Ada pelbagai bangsa, warna kulit, agama.

Semalam, orang tua di sebelah saya memegang tiang dengan erat. Dia takut jatuh apabila bas membrek.

Semalam, wanita mengandung itu memasang kuda-kuda [kaki], dengan kejap di lantai bas. Takut terdorong ke hadapan atau belakang.

Semalam, wanita yang menggendong anak, memegang kerusi bas dengan kukuh, sambil tangan kanannya memeluk si cilik, dan kakinya kejap juga di lantai.

Semalam. Mereka duduk di kerusi tanpa memandang-mandang pada si tua, pada si ibu dan pada si cilik. Jika mereka memandang pun, hati sudah tiada. Di campak ke luar bas walaupun di dinding bas ada tertera. ..

DILARANG MEMBUANG SAMPAH KELUAR DARI KENDERAAN INI

Hati mereka bagai sampah. Tiada nilai. Dan Saya tidak punya keberanian meminta mereka memberi tempat duduk kepada yang memerlukan.

Dan saya setuju “iman tak dapat diwarisi dari seorang ibu atau ayah yang bertaqwa”. Begitu juga dengan budi pekerti yang baik. Ia bukan diwarisi tetapi harus dicari dan ditanam dalam jiwa sejak kecil hingga dewasa.

Takkanlah berbudi kepada orang yang tidak berdaya harus diajar? Harus masuk sekolah untuk belajar tentang adab dan budi? Bukankah budi dan adab itu sifat semula jadi manusia?

Nilai kejam. Jika boleh jangan benarkan ia hadir. Kejam pada diri sendiri, kawan-kawan, anak, suami, isteri, jiran, dan sesiapa sahaja. Bukankah buat baik akan dibalas dengan baik? Percayalah!

Jumaat. Memang penuh rahmat. Matahari belum bangun. Masih berselimut [tapi bukan selimut kulit khinzir].  Begitulah kebiasaannya hari Jumaat. Redup dan tenang.

Saya tidak lewat. Bermakna matahari tidak berjaya mencium pipi saya dan memanaskan tubuh saya. Bas yang hadir depan mata terus saya naiki.

Sepanjang perjalanan hati berdebar. Seperti debarnya tatkala  si gadis menanti lamaran jejaka.

Akhirnya.

psittacula3.jpg

Terima kasih encik kerana sudi meluangkan masa membuat ‘imej kepala’ [header] untuk blog saya. Saya sangat suka dan hari ini menjadi lebih baik untuk saya.

soljahgumyv2.jpg

Shimamura menunggang. Aku membonceng. Kami pakai topi keledar. Seorang satu. Kemudian.

Ada kereta. Sudah himpit. Motosikal Kami. Shimamura sudah ‘angin’. Dia gumal air liur. Puuuuui! Dia ludah itu kereta.

Tiba-tiba motosikal membrek.

Aku tanya, apa hal? shimamura jawab, watashi lupa nak buka cermin penutup muka.

Ha ha.

Minggu lepas saya membeli gam Cap Naga. Kata orang gam tu sangat kuat, bahaya dan psikologi akan jadi tunggang terbalik. Kata-kata mereka mengingatkan saya kepada mamat yang noneng (pening-pening lalat) dalam semak di tepi Sungai BatangKali, Selangor.

Saya tenung semula gam yang berada di tangan. Sanggupkah saya hadapi risiko seperti yang dikatakan oleh mereka?

Semalam, semasa menunggu bas Rapid KL U8, saya buka penutup gam Cap Naga itu. Dengan lafaz Bismillah…saya menikmati isi gam dengan moral yang tinggi, pemikiran yang matang serta menutup segala pintu untuk sang syaitan bertenggek.

Ya, gam itu sangat kuat. Gam yang digunakan oleh budak sekolah, gam kanji zaman dulu-dulu, cow gum, beriyani gam, dan bermacam jenis gam lain, tak mampu menandingi gam ini kalaupun fungsinya sama.

Mata, hati, jiwa, fikiran telah terkena gam. Punggung melekat. kepala menunduk merenung gam.

Alahai, Rapid KL U8 meluncur laju. 30 minit seterusnya Metro 100 berhenti. Saya naik. Nasib baik sempat menutup gam Cap Naga tadi, kalau tak pasti Metro 100 juga meninggalkan saya.

dsc00236.jpg

YOU WANT A GUM, SOL-JAH? – Blook Sinaganaga, Ini bukan mana-mana catatan veteran perang atau catatan veteran perang mana-mana!

Saya akui, penulisan sebegini sukar ditemui. Kecuali dalam bentuk lisan pakcik-pakcik atau makcik-makcik yang hidupnya sekitar tahun 40-an atau 50-an. Mungkin juga sekitar tahun 60-an sehingga kini. Kisahnya bukan riwayat klasik tetapi pengalaman veteran yang lain dari yang lain.

Pengalaman setiap manusia berbeza. Perbezaan itu tidak merenggang atau memutuskan hubungan sesama manusia. Saling bersangkutan sebenarnya. Saling melekat antara satu peristiwa dengan satu peristiwa. Saling melekat antara individu dengan alam. Gam apakah yang melekatkan hal itu?

Pengalaman hidup di kenang dengan pelbagai cara. Dan buku ini adalah pengalaman dan kenangan hidup penulis [veterankah dia?] yang kreatif dan baik. Mungkin buku ini akan di masukkan dalam senarai harta yang tidak boleh dijual-beli. Bukan sahaja untuk generasi beliau, tetapi juga generasi orang lain. Siapa tahu kan?

 no-name.jpg

Kisah ini adalah kisah berkenaan sesiapa sahaja yang berada di sebelah kiri dan kanan saya semasa saya berada dalam bas.

Dah hampir sebulan saya menjadikan bas sebagai pengangkutan utama ke tempat kerja. Rapid Kl, Metro bus, SJ bus. Macam-macam perkara juga yang saya temui. Tak kalah dengan komuter.

Pagi tadi, seorang pelajar berbangsa Cina duduk di sebelah saya. Dia dalam keadaan tergopoh-gapah membuka fail, mengeluarkan kalkulator dan sebatang pen.

Lembaran kertas yang terpampang mengandungi angka-angka dan simbol-simbol seperti ÷ ⁄  × − √ ∞ ½ dan sebagainya..dan sekaligus mengingatkan saya kepada keputusan subjek matematik saya yang separuh nafas dahulu.

Pelajar tersebut terus menulis-nulis jawapan dengan agak laju. Mengetik-ngetik kalkulator dan sesekali tangan kirinya menggayakan sesuatu yang saya tak duga. Tangan kirinya digenggam dan mulutnya mengucapkan “yes”…”yes”…tanda dia berjaya menyelesaikan masalah pengiraan tersebut.

Agak pelik kan? kelakar pun ada. Tapi saya sikit terganggu apabila semasa dia mengira, suaranya kedengaran menghafal formula-formula pengiraan dan semasa dia menulis, juga dia membaca apa yang ditulis.

Dia memang genius dan bijak. Dia juga pelajar harapan bangsanya. Cuma saya pening.

Mungkin keadaan ini lebih baik dari kejadian yang sebelumnya, yang berlaku hari-hari sebelum hari ini.

Seorang  pemuda sebangsa dengan saya, membuka mp3 di telefon bimbit dengan volume yang agak kuat. Sedangkan bas juga memutarkan lagu-lagu dengan kuat. Bayangkan lah.

Saya tidak kisah siapa pun kamu yang duduk bersebelahan dengan saya sama ada sebelah kiri atau kanan. Saya berharap agar kamu berkelakuan baik dan harmoni. Kerana kesejahteraan di dalam bas bakal melahirkan perasaan yang baik untuk kita sepanjang hari.

Dan kamu..kamu yang berkelakuan seperti beruk, jangan cuba-cuba nak membuat gangguan seksual kepada saya!

 daisies2.jpg

Hampir seminggu saya tidak bersama blog ini dan dunia pelayaran maya tanpa sempadan ini. Ini semua akibat proses perpindahan pejabat yang sudah pasti melibatkan aspek pemunggahan barang, mengemas atur barang di pejabat baru, menunggu talian internet yang kadang mengambil masa agak lama dan sebagainya.

Alhamdulillah, sebenarnya proses perpindahan itu tidak mendatangkan masalah. Cuma bantuan dari teman sepejabat dari tingkat yang berlainan sangat diharapkan. Bukan untuk menolong mengangkat barang, cukup sekadar memberi perhatian dan ucap selamat kepada bahagian atau jabatan kami yang akan berpindah. Namun itu tidak berlaku. Sedikit rasa tersingggung di hati jabatan kami sehingga melabel rakan pejabat dari jabatan lain sebagai tidak prihatin.

Alhamdulillah, talian internet dapat di sambung semalam, dan hari ini, saya mula menyusun atur jadual kerja semula. Mungkin ada rasa cemburu di hati seorang rakan yang juga baru berpindah pejabat tetapi masih tiada talian internet. Saya ucapkan takziah.

Namun, percaya atau tidak, hidup saya tidak terganggu dengan ketiadaan internet. Mungkin sedikit rasa janggal kerana rutin harian yang membaca akhbar secara online dan mencari maklumat secara tanpa sempadan dan kesahihan.

Sebenarnya aktiviti mengemaskini dan memasukkan artikel ke dalam laman web rasmi kami agak terganggu. Namun itu bukan bidang tugas saya. Saya hanya perlu menyediakan berita tempatan dan juga artikel untuk dimuatkan dalam web kami.

Tidak bersama dunia siber membuatkan ruang waktu saya agak lapang. Saya telah mula menulis cerpen dan menyiapkan artikel dengan tenang. Membaca beberapa buah buku ilmiah tentang sejarah dan kebudayaan bangsa Malaysia serta menghabiskan bacaan novel “Ayat-Ayat Cinta” karya Habiburrahman El Shirazy yang telah lama dicadangkan oleh seorang teman untuk di baca. Ulasan tentang novel itu akan saya luahkan jika ada kelapangan.

Hari ini, dunia saya kembali seperti sediakala. Datang ke pejabat lebih mudah dari sebelumnya. Hanya menggunakan bas di hadapan rumah sehingga ke depan pejabat. Tidak perlu bersesak menggunakan perkhidmatan komuter dan tidak perlu berjalan sekitar 10 minit dari KTM KL ke pejabat induk yang terletak di sebelah Masjid Negara. Itu semua tinggal sejarah.

Kehidupan yang baik seperti sekarang harus saya manfaatkan. Walaupun persekitaran pejabat baru tidak begitu tenang seperti di tempat lama, sekurang-kurangnya saya tidak perlu berasa tertekan dengan perjalanan pergi balik ke pejabat.

Pernah seorang teman bertanya, “bagaimana kehidupan di tempat baru? Pasti membosankan dan kelam kabut kan?”

Saya hanya tersenyum dan ingatan kepada kata-kata ibu menerpa dengan tenang.

“Tidak kira di mana pun kamu dicampakkan, pastikan hati kamu tidak mati. Hati yang bersih membawa kepada akal yang sihat. Jangan biar diri ditelan keadaan. Biar kita yang menguasai keadaan itu.”

Dan saya hanya diam seperti biasa. Menelan kata-kata ibu dengan hati yang hidup dan bersemangat. Diam-diam juga saya memuji kejadian ikan di laut yang masin. Walaupun hidup di air yang masin, ikan tetap tawar. Maknanya keadaan sekeliling langsung tidak mempengaruhi ikan tersebut. Kecuali jika ikan itu mati dan manusia menjadikannya ikan masin.

Ayat-ayat cinta dari ibu meniupkan hati yang baik buat saya. semoga hati ini kekal hidup dan akan berusaha menghidupkan hati-hati lain yang semakin layu dan rebah menyembah bumi.

*Saya kagum dengan penghasilan novel Ayat-Ayat Cinta Itu.

opis1.jpgSeperti Encik Nickmenza, saya juga akan memasuki fasa kegelapan. Sebenarnya bukanlah gelap sangat pun, tetapi agak suram, mungkin. Kegelapan dan kesuraman itu hanyalah berkaitan dengan kemudahan saya untuk berblog dan mencari bahan melalui internet.

Ini semua berlaku gara-gara bahagian saya akan berpindah pejabat minggu hadapan. Dengar khabar pejabat baru kami lebih selesa dan cantik. Walaupun terletak lebih tinggi tingkatnya dari sekarang, kami difahamkan ruang pejabat lebih tersusun dan luas. Alhamdulillah.

opis-2.jpgTapi, biasalah. Pejabat baru [yang baru dibaikpulih], masih tidak sempurna talian mayanya. Apa boleh buat. Terpaksalah saya bercuti [blog] seperti kawan saya di Sabah nun yang juga baru berpindah ke pejabat baru.

Sebenarnya perasaan berpindah ke pejabat baru atau rumah baru atau apa-apa sahaja yang berlabel baru, bukanlah satu perasaan yang menyelesakan. Seolah kita tiba ke satu tempat yang asing. Padahal sama sahaja.

opis-3.jpg

Hal ini boleh juga dikaitkan dengan cara kita berfikir selama ini. Sebab itulah ada kata-kata yang menyebut ‘berfikir dari luar kotak’. Kita harus sentiasa mengubah persepsi dan daya fikir. Statik atau disiplin yang terlalu keras, akan menyebabkan otak kita malas untuk bekerja dan hanya mengikut acuan yang telah ditentukan dari dulu hingga kini.

Apa salahnya sesekali memecah tembok berfikir…gunakan sudut lain untuk menilai, dan gunakan ruang akal yang berbeza untuk mentafsir. Tapi harus diingat, berfikir lain dari yang sebelumnya harus berlandaskan sesuatu yang waras. Bukan gila atau membabi buta.

opis-4.jpg Banyak perbezaan akan berlaku dalam rutin harian saya. Tambang bas semakin murah kerana tak perlu menaiki komuter yang gila itu. Hanya gunakan bas rapid KL dengan tiket yang sama pergi-balik. Dan saya juga tak perlu keluar senyap-senyap ke Sogo atau Jalan TAR kerana pejabat baru tu berdekatan dengan tempat-tempat kegemaran wanita [dan saya], Jadi, saya boleh mengunjunginya bila-bila masa [tanpa mengganggu waktu bekerja].

opis-5.jpg

 

Dan yang paling penting kaki saya semakin terpelihara kerana tak perlu berdiri lama dalam komuter] dan menjimatkan penggunaan kasut [tak perlu menapak dan mendaki bukit seperti sekarang] Alhamdulillah. Dari aspek daya kerja, harapan saya agar budaya kerja yang baik dapat saya teruskan kerana kerja itu kan satu ibadah.

Oleh kerana minggu ini adalah minggu terakhir saya berblog [mungkin] dan minggu terakhir menggunakan komuter, Mungkin saya akan membuat satu atau dua penggulungan mengenai perkhidmatan komuter yang mendominasi salah satu kategori dalam blog saya ini. InsyaAllah.

*proses mengemas dan mengotakkan barang-barang amat merimaskan.

Belum pun reda resolusi -ketetapan-undang-undang dan peraturan untuk pemandu bas, pengusaha syarikat bas dan sebagainya, sebuah bas terbabas lagi.

Pemandu : Mengantuk kerana sempat tidur dua jam sahaja selepas perjalanan Kuala Lumpur -Kota Bharu. Tiada pemandu ganti untuk perjalanan ke Kuala Lumpur. Telah memberitahu penumpang yang dia mengantuk. Berhenti sebentar di sebuah gerai untuk hilangkan ngantuk. Telah melarikan diri setelah bas yang dipandunya (TRITON) terbabas dan terbalik ke dalam parit. Mempunyai satu saman tertunggak berjumlah RM100.

Penumpang : Benyamin Ali, 28, guru agama warga Kemboja, mati di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan akibat tersepit, 4 parah dan selebihnya cedera ringan.

Bas : Semakan mendapati bas ekspres Triton bernombor pendaftaran WFQ381 yang terbabit dalam kemalangan itu, mempunyai sembilan saman trafik tertunggak dengan nilai kompaun berjumlah RM1,920.

hmmm…..kepada pihak yang berkenaan, segeralah bertindak. Laksanakan ketetapan yang telah dibuat. Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang segera dijalankan. Musim cuti sekolah telah bermula. Jangan ada yang menjadi mangsa lagi kerana kelalaian ini.

Ini ada sambungan dari entri sebelumnya (cerita tak habis lagi)…

Pejalanan amat meletihkan dengan keadaan lalulintas yang jem dan hujan yang turun tak menentu. Keadaan penumpang juga boleh saya simpulkan sama seperti saya –keletihan dan kebosanan. Lamunan saya terhenti seketika, nyonya di sebelah saya telah lena dan mula terlentok-lentok manja seperti anak kucing yang baru seminggu lahir. Mata saya menerawang di setiap genap ruang dalam bas. Sesekali kepala saya menari-nari dengan rentak lagu yang berkumandang.

 

 

Perjalanan dengan pemandangan ‘letih’ melihat pekedai yang masih membersihkan lumpur itu terhenti lagi apabila ada seorang penumpang menaiki bas – Penumpang OKU (cacat penglihatan).

Saya tahu lelaki oku itu akan berhenti sama tempat dengan saya. Dia hanya berdiri kerana tiada tempat duduk. Sesekali badannya melayang-layang mengikut pergerakan bas yang agak ‘gila’ kadangkala.

Ingin sahaja saya bangun dan menawarkan tempat duduk saya, tetapi keadaan kaki saya yang tidak begitu baik dan juga kedudukan saya yang agak jauh, saya hanya diam, sambil terus bertimbangkira sama ada mahu memberi tempat duduk saya atau tidak.

Mujurlah ada seorang lelaki budiman yang bangun dan memimpin lelaki oku itu untuk duduk. (Mujur? – ermm saya memang kurang sivik agaknya). Sebenarnya saya memang berdoa agar ada org yang akan memberi tempat duduk kepada lelaki oku itu kerana saya memang tidak mahu mengulang sejarah lama saya yang pernah jatuh dalam bas kerana kaki yang kurang sihat dipaksa juga untuk berdiri. Saya tak tahu di mana nilai dan sikap saya waktu ini dengan membiarkan oku sebegitu.

Perjalanan diteruskan lagi. Melalui beberapa tempat dan kawasan. bas berhenti dan berjalan seperti biasa sehinggalah sampai ke tempat yang ingin saya tuju. Bas tidak melalui jalan yang biasa. Saya perhatikan lelaki oku tadi. beberapa persoalan wujud dalam hati saya ;

  • Bagaimana caranya untuk oku ini turun ditempat yang dia ingin turun?
  • Siapa yang akan memberitahunya
  • Siapa yang akan membantunya melintas jalan?

Saya tunggu lagi. Jika saya turun dari bas dan dia masih di situ, saya akan datang padanya dan bertanya tempat yang ingin ditujuinya (kerana saya tahu dia turun di kawasan perumahan yang sama dengan saya).

Bas berhenti. Saya bangun dan lelaki oku itu juga bangun. Saya pelik – macam mana dia tahu itu tempat yang ingin ditujui olehnya. Dan Alhamdulillah, ramai yang membantunya melintas jalan.

Saya masih tertanya hingga sekarang – teknik hafalan? deria keenam? Inilah perkara yang harus saya belajar dengan banyak lagi, dan saya menerima hakikat mereka juga mempunyai banyak kelebihan lain – yang kita sendiri tak tahu apakah ia?

Semalam yang membosankan telah berlalu. Sebenarnya rasa bosan yang melanda semalam cuma sebentar, tapi terbawa-bawa oleh perasaan yang tidak mahu menerima apa yang berlaku. Menyesal!

Tidak menyesal juga kerana rasa bosan yang melanda semalam membawa kepada penemuan pelbagai perkara. Inilah yang dikatakan “setiap apa yang berlaku ada hikmahnya”.

Perjalanan bersama seorang teman (jalan kaki sahaja) ke tempat yang “kononnya’ boleh menghilangkan rasa bosan (memang hilang sikit rasa mual dan bosan) membawa kepada pelbagai perkara yang agak baik kesannya pada nilai hidup saya.

Bas – semalam menggunakan perkhidmatan bas yang agak baru (dan sejuk), pasti perjalanan agak selesa. Tambang bas dah turun – biasanya rm2, kini rm1.50 sahaja. Perjalanan dari Pasar Seni – melalui beberapa jalan di sekitar Medan Pasar,Lebuh Ampang, Jalan Silang, Pasar Besar, Jalan Raja Laut, Sogo, Jalan Ipoh dan sekitarnya, menyaksikan kesan banjir yang berlaku di KL baru-baru ini.

Operasi membersihkan kedai dan peralatan/barang-barang yang rosak masih dijalankan. Lumpur di jalan raya dan dalam kedai juga masih jelas kelihatan. Pedih kan? Sangat pedih bagi pekedai yang menerima kesan banjir. Tetapi itu semua hanya dugaan yang kecil. Terima sahaja dalam diam!

Hari ini cuaca agak baik. Menggunakan pengangkutan awam seperti bas memang menyelesakan pada waktu sebegini – cuaca yang baik, jalan yang tak sesak (cuti sekolah, jadi jalan tak jem), bas yang tidak sesak, dan hiburan dalam bas yang menyenangkan halwa pendengaran.

Tidak seperti biasa, pagi ini pemandu bas telah berdakwah kepada penumpangnya dengan membuka siaran radio RTM, yang memuatkan tazkirah dan muhasabah diri. Secara langsung, pemandu bas telah menyempurnakan tanggungjawabnya pada hari ini sebagai khalifah dan pendakwah dengan cara yang tidak langsung disedarinya (mungkin).

Semoga kita semua dapat melakukan sesuatu yang menyumbang kepada orang lain walaupun sebesar zarah. Pahalanya tetap ada! InsyaAllah…

Hari ini saya membeli surat khabar KOSMO yang berharga RM1. banyak juga artikel dan isu menarik untuk hari ini. Saya nak link kan entri ini dengan artikel kat kosmo tu tapi tak berjaya, oleh itu, saya cerita serba ringkas tentang artikel tersebut yang bertajuk : Tingkahlaku pelik semut.

“Satu kajian saintifik oleh saintis dari Universiti Bristol mendedahkan kebijaksanaan yang dipaparkan oleh semut iaitu membenarkan dirinya menjadi penutup lubang dan dipijak oleh semut lain yang menyeberang melalui jalan yang berlubang tersebut. Malah, mereka memilih semut-semut tertentu mengikut saiz lubang yang menghalang kelancaran perjalanan mereka. Semut dari jenis Eciton burchelli dalam habitat semulajadi di hutan rimba Panama, Amerika Syarikat ini dikatakan akan mengangkangkan kaki selebar-lebarnya sehingga menutupi lubang.”

Kesimpulannya : Penyelidikan ini menunjukkan satu demonstrasi ringkas namun menyedarkan manusia tentang kebijaksanaan dan pengorbanan kumpulan minoriti dalam meningkatkan kualiti hidup kumpulan majoriti dan seterusnya membekalkan faedah kepada kawanan semut secara sama rata.

Bandingkan dengan manusia yang sanggup menyumpah-seranah pihak yang berkenaan apabila kereta mereka melanggar lubang di jalan raya….

Sebenarnya, apabila saya baca perkataan TINGKAHLAKU PELIK, saya nak kaitkan dengan beberapa kawan lelaki yang juga mempunyai tingkahlaku pelik (pada pandangan mata perempuan saya). Bila saya tanyakan apa sebabnya, mereka kata perkara yang mereka lakukan tak pelik. Tapi entahlah…

  • Rajif : Suka pandang wanita mengandung (katanya muka wanita mengandung nampak berseri dan cantik)
  • Saiful : Suka dan selalu buat awek dia menangis (katanya air mata yang terperangkap pada bulu mata lentik awek dia sungguh menawan dan indah)
  • Amy : Order nasi claypot, pastu ambil pinggan dan senduk nasi tu dalam pinggan. Macam senduk nasi dari dalam periuk ke pinggan (katanya, emak berpesan tak elok makan makanan dalam tempat yang dimasak, seolah-olah kita masak nasi dalam periuk dan makan terus dalam periuk nasi tu)
  • Anyss : Baca novel cinta sampai meleleh air mata. Mungkin sebab nama dia dah macam nama perempuan, sebab tu walau muka ganas, hati lembut cam kain satin warna pink.
  • Azrul : Makan guna tangan (maksudnya tanpa sudu dan garfu) – Makan nasi, mee goreng, mehoon goreng…tak pernah pula nampak dia makan mee sup guna jari…tak dapat bayangkan.
  • Izhar : Beli barang-barang pc bagai nak rak sampai duit habis tak sampai setengah bulan. Pastu, makan megi setiap hari. Bagusnya dia ni, tak pernah pinjam duit kat orang (setahu saya).

Semalam saya balik agak lewat. Hujan masih membasahi bumi seperti hari-hari sebelumnya. Ini bermakna payung menjadi item yang wajib disimpan di dalam beg – setiap hari (jangan sesekali meninggalkannya)

Perjalanan menggunakan komuter seperti biasa. Sesak dan berhimpit-himpit. Seperti biasa juga saya akan berhenti di Kepong Sentral dan memulakan perjalanan ke rumah dengan menaiki bas.

bus.jpg

Semalam merupakan hari terbaik saya dalam isu menggunakan perkhidmatan bas selangor (selangor Bus yang berwarna merah putih). Pemandunya seorang apek yang berumur (berdasarkan rambutnya yang putih melepak). Tapi wajah apek tu muda dan tak nampak kedut-kedut yang biasanya sinonim dengan rambut yg putih. Mungkin sebab apek tu seorang yang peramah dan mudah tersenyum.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘hari terbaik’ saya ialah, pemanduan yang berhemah, lancar serta menghiburkan telah saya lalui semalam. Malah, yang membuatkan saya impress, apek pemandu bas tu begitu minat ngan lagu yang dinyanyikan oleh Felix – Pencintamu (maybe). Dalam keadaan sedikit pelat dia cuba follow lagu tu sampai habis.

kelakar dan kagum! Dan kesesakan yang memang sesak tidak saya rasai kerana ‘selesa’ dan ‘impress‘ menghalau segala rasa kepenatan.