Beza antara kita : Saya melihat dedaun kering itu sungguh indah dan menimbulkan satu fragmen yang dramatik dan melankolik. Kamu jawab, “sampah pun cantik?” –> betapa bezanya kita. Namun, kita masih boleh berkawan. Kerana dalam proses berkawan, perbezaan melengkapi persamaan.

Itu status yang saya buat di ruang Facebook saya hari ini. Memikirkan kawan.

Ya…semua tentang kawan. Kerana hidup ini dipenuhi dengan kawan. Penuh.

Jika tidak berkawan, tidak pula saya anggap kamu sebagai lawan.

KOMA

Status itu untuk seorang kawan yang benar-benar berbeza pemikirannya dengan saya. Saya mencongak-congak, adakah persamaan antara kami?

Bahasa, ya. Namun, dia tidak pandai bersastera dan berbahasa yang manis dan elok. Itu katanya. Maka saya jawab begini, ‘asal kamu tahu berbahasa dengan waras dan wajar’.

Budaya, ya. Kerana dia Melayu dan saya juga Melayu dengan kedaerahan yang berbeza. Timur dengan Selatan tetaplah boleh berkawan selagimana budaya itu tidak merencatkan hubungan.

Kegemaran. Oh, kami punya kegemaran yang berbeza.

Dan pelbagai perkara lagi yang membuatkan kami ‘bagai bumi dengan langit’.

Namun, apalah perbezaan itu bagi saya.

Dia tetap kawan yang baik. Kerana dia punya adab yang tinggi.

KOMA

Ada status lain yang ingin saya tulis. Tentang seorang kawan yang lain yang saya sendiri tidak faham budaya, bahasa dan dirinya sendiri. Jika dipanjangkan ia akan jadi gaduh dan saling tidak puas hati.

Saya ingin sahaja mendiamkan segalanya. Saya ingin mewajarkan keadaan. Ingin berkata apa yang saya buat bukan kerana ego atau saya bertindak mengikut rasa sendiri. Malah apa yang saya lakukan hari itu tidak berkaitan dengan kisah-kisah kami yang lalu.  Dia dengan bangga mengatakan saya bodoh sombong, selalu buat silap dan tidak meminta maaf.

Saya, mahu dia senaraikan perbuatan saya yang manakah yang salah dan perlu memohon maaf darinya.

Mari saya ceritakan satu kisah :

Keluarga saya selalu mengunjungi sanak saudara. Semasa berkunjung, kadang abah bawa jiran atau kawannya untuk memandu. Semasa tiba di rumah sanak saudara, perkara pertama yang kami lalui ialah budaya bersalam-salaman. Saya kagum dengan itu. Salam adalah permulaan silaturrahim.

Malahan, ‘orang luar’ yang kami bawa, akan disalami. Alasannya, “adab kita orang Melayu menyalami sesiapa sahaja yang berada dekat dengan diri.”

Biarpun orang yang disalami tidak dikenali atau tidak disukai, jabatan tangan tetap ada.

Kisah yang berlaku antara kita :

Saya datang bersama keluarga untuk bertemu dengan kamu. Saya datang kepada kamu dan menyerahkan barang yang mahu dipinjamkan.

Yang saya kesalkan di sini (yang menjadi suatu hal yang tidak kamu fahami dan apatah lagi saya), kamu tidak bertemu dengan keluarga saya yang menghantar saya bertemu dengan kamu. Kamu tidak menyalami ataupun memberi senyum mesra. Sekurang-kurangnya angkatlah tangan tanda sapaan.

Kamu fikirlah, berbeza bagaimanapun kita, saya tidak boleh terima jika kawan saya tidak beradab.

Oh ya, yang mengatakan kamu tidak beradab bukan saya. Tetapi orang yang tersinggung dengan ‘adab tinggi’ yang kamu tunjukkan. Katanya, ‘semacam benar kawan awak itu.” dan alasan saya, awak sibuk dan tergesa sehingga tidak sempat bertemu dengan keluarga saya. Jawab keluarga saya, “untuk tunjukkan adab, tidak perlu masa yang lama.”

Kamu ada buat salahkah kepadanya?

Atau apa?

Saya tidak nampak alasan apapun di situ.

Maaf. Ini penjelasan buat kamu yang nampaknya tidak faham apa yang berlaku. Dan dengan bongkak (bukan bodoh sombong), masih menyalahkan saya.

Sekarang, kamu tentu sudah faham. Ia bukan hal kecil.

Dan sudah-sudahlah. Jangan seperti tidak faham dan buat-buat tidak tahu.

1.jpg

Bas. Menjadi pengangkutan utama saya. Banyak manusia saya temui di situ. Banyak nilai dipelajari di situ. Banyak perkara saya hadapi di situ.

Semalam, saya biarkan bas Metro 100 berlalu. Juga bas SJ. Juga bas Selangor [yang merupakan pilihan terakhir saya]. Saya tunggu Rapid KL. Kerana tiket Rapid KL pagi tadi masih boleh digunakan sepanjang hari. Jimat. Konon.

Semalam. Rapid KL penuh. Saya naik juga. Ada pelbagai bangsa, warna kulit, agama.

Semalam, orang tua di sebelah saya memegang tiang dengan erat. Dia takut jatuh apabila bas membrek.

Semalam, wanita mengandung itu memasang kuda-kuda [kaki], dengan kejap di lantai bas. Takut terdorong ke hadapan atau belakang.

Semalam, wanita yang menggendong anak, memegang kerusi bas dengan kukuh, sambil tangan kanannya memeluk si cilik, dan kakinya kejap juga di lantai.

Semalam. Mereka duduk di kerusi tanpa memandang-mandang pada si tua, pada si ibu dan pada si cilik. Jika mereka memandang pun, hati sudah tiada. Di campak ke luar bas walaupun di dinding bas ada tertera. ..

DILARANG MEMBUANG SAMPAH KELUAR DARI KENDERAAN INI

Hati mereka bagai sampah. Tiada nilai. Dan Saya tidak punya keberanian meminta mereka memberi tempat duduk kepada yang memerlukan.

Dan saya setuju “iman tak dapat diwarisi dari seorang ibu atau ayah yang bertaqwa”. Begitu juga dengan budi pekerti yang baik. Ia bukan diwarisi tetapi harus dicari dan ditanam dalam jiwa sejak kecil hingga dewasa.

Takkanlah berbudi kepada orang yang tidak berdaya harus diajar? Harus masuk sekolah untuk belajar tentang adab dan budi? Bukankah budi dan adab itu sifat semula jadi manusia?

Nilai kejam. Jika boleh jangan benarkan ia hadir. Kejam pada diri sendiri, kawan-kawan, anak, suami, isteri, jiran, dan sesiapa sahaja. Bukankah buat baik akan dibalas dengan baik? Percayalah!

Hari ini merupakan hari terakhir saya menggunakan perkhidmatan komuter (KTMB). Hmmm…

Rupanya dah setahun saya menggunakan tren komuter sejak mula bekerja di sini. Dahulu, semasa di UM kenderaan utama saya ialah kereta. Menggunakan tren dan kadangkala bas merupakan suatu perkara yang menyusahkan saya ketika mula-mula bekerja di sini.

img_ktm4.jpg

Minggu depan saya akan berpindah pejabat ke Jalan Ipoh. Pengangkutan utama saya ialah bas. Tapi itu tidak bermakna saya tidak menjejak kaki langsung dalam perut tren komuter. Mungkin naik juga untuk tujuan rasmi atau peribadi sekali dua.

Sepanjang menggunakan komuter banyak betul perkara -manis-pahit-payau-masam-kelat-sendat-ketat yang saya alami. Oleh kerana ini sesi penggulungan 1 tentang ktm, maka saya akan ceritakan peristiwa itu sejauhmana yang saya ingat.

  1. Saya pernah terlajak stesen sebanyak dua kali. Pertama kali kerana saya ditimpa ilham (intuisi) untuk artikel terbaru dan yang kedua semasa saya tertidur.
  2. Saya pernah pitam a.k.a pengsan juga sebanyak dua kali dalam tren. Pertama sekali kerana saya keletihan dan tidak sihat dan kali kedua kerana keadaan dalam tren yang sesak dan panas sangat.
  3. Masyarakat Malaysia kurang beradab, tidak peka dan pentingkan diri sendiri. Hal ini boleh di lihat apabila pasangan muda mudi sewenangnya melampias keghairahan masing-masing dalam tren. Juga individu yang tidak memberi tempat duduk kepada wanita mengandung, warga tua dan warga kurang upaya. Masyarakat Malaysia juga suka menjerit jika tersepit dalam kesesakan, tidak suka berbual sesama mereka dan suka mengasingkan diri dengan mendengar muzik melalui telefon bimbit atau mp3.
  4. Sebahagian dari kesesakan yang dialami oleh tren disumbangkan oleh warga asing dari pelbagai negara.
  5. Remaja Malaysia paling tegar membuat kesalahan sosial di dalam tren termasuk bertemu janji, berpeluk, bercium, tidak peka terhadap warga tua dan ibu mengandung, membuat bising dan sebagainya.
  6. Beberapa kejadian melibatkan gangguan seksual juga pernah saya alami dan lihat.
  7. Beberapa kejadian ragut dan mencuri telefon bimbit berlaku di hadapan mata.
  8. Tren yang saya naiki juga pernah terhenti di tengah landasan kerana rosak. Kami terpaksa turun dari tren (tanpa tangga) dan menapak di atas batu yang besar sehingga kaki kejang.
  9. Tren mengumpulkan pelbagai jenis manusia, pelbagai agama, pelbagai warna kulit dan bangsa, pelbagai negara, pelbagai umur, taraf pendidikan, status, kekayaan dan sebagainya. Jadi, kita boleh lihat pelbagai pemikiran dan persepsi melalui perangai masing-masing.
  10. Tren selesa di naiki ketika bukan waktu pejabat (8 pagi dan 5 petang).

img_ktm8.jpg

 

Sebenarnya banyak lagi yang telah saya alami sepanjang menggunakan tren ini. Sebenarnya semua jenis pengangkutan mempunyai cerita [negatif dan positif] yang tersendiri. Pandai-pandai lah sesuaikan dengan diri empunya badan. Sekian, penggulungan 1 saya kali ini. Penggulungan II akan menyimpulkan perkhidmatan komuter kepada pengguna secara menyeluruh.

Saya tahu mereka sedang berseronok. Mereka keluar beramai-ramai. Nak ke mana? eh, kan cuti sekolah ni kak, kami nak lepak-lepak la kat Mid Valley. Owhhhh…..

BEKU

Mereka pakai baju yang pelik.

Sang lelaki pakai baju kemeja lengan panjang berbelang. Butang sengaja dibuka dibahagian atas. Ada baju t-shirt kecil di bahagian dalamnya. Owhhh…ada tali leher sekali. Seluar jeans dan selipar RM9.90. Kononnya bertambah smart dengan topi cowboy yang bercorak geometri..hmmmm

Sang perempuannya pula, memakai t-shirt pendek ketat, seluar jeans senteng, selipar RM 9.90 dan alahai….pakai tudung!

Mereka ketawa kuat-kuat. Cakap kuat-kuat. Usik kawan-kawan dan cuba jadi romeo. Memasang lagu dari telefon bimbit dengan sekuat-kuatnya. Yang datang berpasangan pula duk gesel-gesel dan genggam-genggam tangan.

Makcik dan kakak-kakak menjeling. Ini bukan budaya yang biasanya mereka lalui dalam Komuter. Biasanya waktu sebegini, suasana senyap dan tenang kerana semua orang baru balik dari pejabat dan tidak mahu memeningkan kepala.

Mereka adalah pelajar sekolah yang hanya ingin ketawa-gembira-tanpa-rasa-malu.

Semalam menyaksikan iklan terbaru roti hi5. Budak comel itu melakukan banyak perkara yang tidak beradab. Babak terakhir dia memotong barisan dikaunter membayar dan perlakuan itu dimaafkan kerana dia membeli sebungkus roti hi5. Mungkin dengan pembelian itu, anda boleh menderma (kempen menderma dengan pembelian roti hi5). Dan dengan pembelian itu juga kanak-kanak mungkin akan mengajar kita supaya lebih ‘open-minded’ tentang tidak beradab!

Pagi tadi komuter agak sesak. Selalu pun sesak juga tapi tak sesesak pagi ini. Yang menyesakkan mungkin disebabkan oleh dua tiga orang warga Indonesia mahu pulang ke kampung (berdasarkan barang-barang dan kotak-kotak yang menghalang laluan keluar masuk ke dalam komuter). Mewah betul mereka berada di Malaysia.

Di suatu ruang terpandang gelagat pasangan muda, maybe kekasih atau pasangan pengantin baru (walaupun tak nampak inai dan cincin perkahwinannya) sedang lena tidur (kepala si gadis di bahu si lelaki). Sebenarnya tak lena pun, sebab sekejap-sekejap kepala si gadis diangkat melihat keadaan sekeliling walaupun matanya masih ‘stim’ nak tidur.

Di hadapan pasangan tadi pula berdirinya seorang tua yang memegang tiang dan payung sebagai tongkat. Manakala di sebelah orang tua itu pula seorang wanita sedang hamil 7 atau 8 bulan, berdiri dalam keadaan yang amat payah…

Di manakah Psittacula, si bayan yang pandai berbicara waktu itu? di tepi pintu masuk, berdiri dengan mata sibuk menerawang, fikiran kusut menafsir dan jiwa bergelora melihat insiden ‘warga tua, warga hamil dan warga yang sihat walafiat’ di dalam komuter.

Pening memikirkan sivik segelintir manusia…….

Seperti biasa perjalanan ini (pegi dan balik dari kerja) sering ditemani oleh insan-insan pelbagai bangsa, agama, budaya, umur…

Semalam, gerabak komuter yang membawa saya, dimuatkan dengan remaja-remaja yang berpakaian very trendy. Mungkin nak keluar seronok-seronok dengan kawan-kawan. Itu semua sudah biasa di mata saya yang memang suka memerhati. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah topik perbualan remaja masa kini. Apa yang lebih menarik perhatian mereka?

1. Tempat menarik untuk melepak

2. Fesyen terkini

3. Gosip di sekolah

4. Pasal gf [girlfriend] atau bf [boyfriend]

5. Dunia hiburan

*satu lagi habit remaja (mostly Melayu) yang paling saya tak suka dan jijik ialah berbual dengan nada suara yang kuat dan tergelak kuat-kuat macam orang hilang akal. Anak siapalah ni….

Bahasa dapat memperlihatkan sikap dan peribadi penuturnya. Bahasa, melalui ungkapan-ungkapan yang dilafazkan juga dapat mempamerkan secara jelas atau tersirat bagaimana penuturnya menilai sesuatu persoalan. Bahasa juga merupakan salah satu cara yang penting untuk sesuatu masyarakat menyalurkan serta mewariskan nilai-nilainya daripada suatu kumpulan kepada kumpulan yang lain dan juga daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Bahasa adalah jiwa bangsa.Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis dialek, loghat, slanga, telor, dan gaya bahasa yang digunakan oleh pelbagai kaum yang mempunyai latar belakang budaya yang berbeza. Oleh itu, tidak mustahil jika sesuatu perkataan mempunyai pelbagai makna dan konotasi, bergantung pada pemikiran dan budaya masyarakat penuturnya. Bagaimanapun, segala perbezaan luaran yang melingkungi dunia bahasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk manusia sentiasa menggunakan perkataan yang baik dan mempunyai kesan yang positif pada perlakuan, minda, dan rohani.Apabila anda menaiki kenderaan awam untuk ke mana-mana, anda pasti akan bertemu dengan pelbagai jenis manusia yang menggunakan pelbagai jenis gaya bahasa. Dengan mudah juga anda dapat menilai bagaimanakah peribadi penuturnya. Sebagai contoh, seorang wanita yang lengkap berpakaian sebagai seorang Muslimah sedang duduk di sebuah kerusi panjang sambil melayan anaknya yang leka menikmati aiskrim. Pemandangan ini sudah tentu menyejukkan mata anda yang memandangnya. Sudah pasti si ibu merupakan ibu yang mithali dan penuh dengan kasih sayang.Bagaimanapun, persepsi anda akan berubah apabila anda dihidangkan dengan peristiwa selanjutnya. Aiskrim di tangan anak mula mencair dan menitis ke bajunya. Si anak mula tidak selesa dan cuba memberitahu ibunya. Tiba-tiba si ibu melenting dan berkata, ”isy, apa kena dengan kamu ni, makanlah elok-elok, kan dah kotor baju tu, penat la ibu nak membasuhnya. Lain kali kalau tak reti makan, jangan makan aiskrim ni, tahu tak?” sambil membebel, tangan si ibu pantas mencubit paha dan lengan anaknya. Si anak menjerit dan menangis dengan kuat. Tangan ibu bertambah pantas ‘berjalan’ pada lengan anaknya.Peristiwa di atas memberi contoh bahawa bahasa yang kasar sering digunakan oleh sesiapa sahaja kerana ia melibatkan perasaan dan fikiran yang seringkali juga dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu. Kadangkala fizikal luaran seseorang individu tidak semestinya melambangkan peribadinya. Untuk mengubah penampilan luaran memang mudah, namun untuk membentuk peribadi dan perlakuan individu memerlukan kesungguhan dan kesedaran dari hati yang bersih dan akal yang waras. Bayangkan peristiwa tersebut dengan situasi yang berlainan pula. Si anak menumpahkan aiskrim pada bajunya, maka si ibu yang mempunyai peribadi yang mulia dan penuh kasih sayang sudah pasti akan menegur anak dengan perkataan yang baik. Sebagai contoh, “ala…aiskrim dah cair, jadi kamu kena habiskan aiskrim ni cepat supaya tak meleleh dengan banyak di atas baju kamu. Kasihan ibu, penat basuh baju kamu nanti,” dan situasi berikutnya, si anak dengan senang hati akan menerima nasihat ibunya serta belajar sifat yang mulia daripada ibunya yang penuh kasih sayang. Fikiran anak yang masih kecil juga akan cepat menyerap perkataan-perkataan baik dan halus yang dituturkan oleh ibunya berbanding perkataan-perkataan yang kasar.

Jika kita meneliti keadaan sekeling dalam masyarakat hari ini, jarang kita temui individu yang menuturkan perkataan yang baik. Ini tidak bermakna bahawa masyarakat hari ini kebanyakannya tidak baik, namun harus direnungi bahawa peribadi yang baik tidak mungkin menggunakan perkataan yang tidak baik, kerana perkataan yang dituturkan adalah ‘cermin’ diri penuturnya yang sebenar. Semua ini berkaitan dengan budaya dan pegangan agama seseorang. Inilah ‘teori’ bahasa dan rohani yang perlu anda renungi.

Cuba anda mengambil beberapa waktu untuk mencuba teori di atas. Praktikkan dari pagi hingga ke tengah hari menggunakan perkataan dan bahasa yang kesat dan kasar. Mungkin juga anda boleh memarahi rakan sekerja yang membuka komputer anda tanpa keizinan anda. Gunakanlah kata-kata seperti; “boleh tak jangan sesuka hati buka komputer orang lain?” atau, “aku pantang betul la kalau orang sibuk selongkar komputer aku ni.” Apa agaknya akan berlaku selepas itu dan sepanjang pagi itu? Selain daripada bergaduh dengan rakan sekerja tersebut, anda juga akan mengalami situasi kemurungan dan kemarahan yang berpanjangan. Segala apa yang dilakukan juga serba tak kena kerana perkataan yang anda keluarkan bukan sahaja menyakiti hati orang lain, malah ‘memanaskan’ hati anda sendiri. Sudah tentu juga anda akan dilabel sebagai rakan yang tidak boleh bertolak ansur, pemarah, dan sombong.

Anda cuba pula teori di atas pada sebelah petang dengan penggunaan perkataan yang baik. Mungkin juga anda boleh meminta maaf dengan rakan anda tadi. Apakah reaksinya? Sudah pastilah label-label yang diberikan kepada anda pagi tadi ditarik balik dan persepsi rakan anda kepada anda bertambah baik. Hati anda juga akan cepat ‘sejuk’ serta keadaan bertukar menjadi lebih baik dan selesa untuk anda meneruskan kerja dan rutin harian.

Banyak lagi peristiwa atau situasi yang berlaku di sekitar anda yang boleh berubah kesan dan hasilnya, akibat daripada penggunaan bahasa dan perkataan yang dituturkan. Seringkali juga perkataan yang dituturkan memberi impak kepada orang lain yang mungkin mempunyai hubungkait dengan diri penuturnya. Sebagai contoh, jika anda menuturkan perkataan dan bahasa yang kesat dan kasar sehingga meminggirkan kesopanan dan budaya masyarakat yang sepatutnya, sudah pastilah orang yang mendengar akan mempersoalkan beberapa perkara yang tak perlu dijawab. Seperti, “anak siapa tu?” (menyalahkan ibu bapa anda kerana gagal menerapkan nilai sosial yang baik kepada anda), “budak mana tu?” (menyalahkan negeri asal anda atau tempat tinggal anda yang mungkin mempengaruhi perlakuan anda) atau, “di mana agaknya dia belajar?” (menyalahkan guru dan sekolah anda dahulu kerana gagal mendidik anda) ataupun, “dia kerja kat mana?” (menyalahkan syarikat atau tempat anda bekerja).

Oleh itu, sanggupkah anda mendengar ibu bapa, tempat tinggal (atau negeri anda dilahirkan) dan tempat anda menimba ilmu diperlekehkan oleh orang lain hanya kerana perkataan yang anda tuturkan? Ingatlah, ke mana sahaja anda pergi dan di mana sahaja anda berada, anda bukan sahaja membawa diri anda tetapi nama ibu bapa, syarikat, sekolah atau universiti malah lebih penting anda membawa sekali agama dan budaya yang anda anuti. Betapa berdosanya anda jika orang lain dipersalahkan di atas kecuaian dan kelewaan anda berbahasa.

Memang benar pepatah Inggeris mengatakan “don’t judge the book by it’s cover”. Ini bermakna anda tidak boleh menilai seseorang hanya berdasarkan perkataan dan bahasa yang digunakan. Malah tidak semestinya orang yang menggunakan bahasa yang baik, maka baiklah peribadinya. Bagaimanapun, selalunya apa yang ada pada diri anda, itulah anda yang sebenarnya. Seperti pepatah Melayu yang mengatakan “Bagaimana acuan begitulah kuihnya”, “Bagaimana gendang begitulah tarinya”. Sudah tentulah pepatah ini mengatakan bagaimana anda berbicara dan berkelakuan, begitulah peribadi anda.

Alangkah baiknya jika anda mendidik bibir dan minda agar sentiasa mengeluarkan dan menuturkan perkataan-perkataan yang baik. Secara langsung, bahasa yang baik yang sering diterapkan dalam perbualan seharian akan mendidik jiwa dan rohani anda ke arah kebaikan. Malah, memang jelas, bahasa yang kita gunakan memberi pengaruh terhadap apa yang bakal berlaku seterusnya. Jagalah lisan anda agar tidak terlanjur mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakiti hati orang lain dan menjatuhkan maruah anda sebagai seorang manusia yang bertamadun. Pepatah Melayu juga ada mengingatkan bahawa “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Jangan kerana anda yang tidak menitikberatkan soal penggunaan bahasa, orang lain yang menjadi mangsa.

Jika diteliti, bukan bahasa dan tutur kata sahaja yang menggambarkan peribadi sesuatu bangsa. Malah cara kita berpakaian, berfikir, dan juga cara kita berkelakuan dalam masyarakat mempunyai kesan dan impak yang berbeza. Oleh itu, selarikanlah peribadi dan kerohanian anda melalui cara anda berbahasa, berpakaian, berfikir, dan juga bersosial tidak kira siapa pun anda, taraf pendidikan dan kekayaan anda serta agama serta adat budaya yang anda junjung.