Riwayat Jalanan


bukubm

Apabila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, inilah yang terjadi. Penulis tidak tahu apa yang ditulis, editor tidak menjalankan kerja penyuntingan dengan baik serta pemimpin yang tidak menjalankan fungsinya dengan baik.

Wacana Intelektual, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 17 November 2008, 8.30 malam. Ini maklumat yang saya hadam untuk menghadirkan diri ke DBP.

Tajuk wacana ialah Penerbitan Buku : Tuntutan Intelektual atau tarikan Komersial oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad, seorang tokoh pendidik dan budayawan (Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia).

dato

Pelbagai isu penerbitan buku diungkap. Sedari proses awal penulisan yang dikatakan bahawa penulis yang baik memikirkan dua perkara yang penting iaitu bahasa yang digunakan dan isi kandungan yang bermanfaat. Selain itu, bagi penulis buku, peranan editor sebagai pengemas hasil tulisan dan juga peranan penerbit yang menerbit dan memasarkan hasil tulisan yang baik dan bermutu.

Sesi soal jawab seterusnya mengungkap persoalan bahasa Melayu sebagai bahasa yang paling mudah berbanding bahasa lain. Apa yang dieja itulah yang disebut. Beberapa perkataan bahasa Inggeris yang sebutannya tidak sama dengan ejaan menjadi contoh panel. Ya, Bahasa Melayu itu mudah dan indah. Juga sarat dengan makna dan nilai walaupun tidak menurut tatabahasa yang formal.

Dasar Buku Negara 1985, penerbitan DBP, dan hala tuju penerbitan DBP sekali lagi menjadi perdebatan yang panas.

Seorang tetamu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘hantu’ melambangkan keadaan DBP kini, seumpama perlakuan Sang Nila Utama yang sanggup membuang harta benda dan mahkota dek kerana takutnya tenggelam kapal yang dinakhodainya. Mungkin juga perumpamaan ini membayangkan pucuk pimpinan DBP yang dikatakan kurang kena pada tempatnya.

Terdapat juga pendapat yang menyarankan agar DBP berpijak pada buminya sendiri dan tidak perlu bersaing dengan mana-mana institusi penerbitan di negara ini. DBP di saran bergerak dalam gelombang ‘blue ocean‘ nya sendiri sebagai satu-satunya badan yang memperjuang sastera, bahasa dan budaya. Ketepikan soal komersial, dan pertahankan nilai intelektualnya di mata umum.

Apa-apapun, pendapat saya agar DBP tidak lelah dalam memelihara khazanah persuratan Melayu. Jangan putus asa. Dan letakkan ‘manusia’ yang benar-benar mahu berjuang atas nama budaya bangsanya dan elakkan memilih ‘manusia’ yang memikirkan nilai komersial semata-mata.

Kata kunci dalam perjuangan ini ialah ‘passion‘ iaitu ‘keghairahan’ dan semangat jiwa yang besar dalam menghasilkan buku dan karya yang baik – bahasa Melayu tinggi dan isi kandungan yang bernas serta karyanya sampai kepada masyarakat.

Ini soalan yang tidak tertanyakan malam tadi:

Apa pula istilah untuk penulis blog yang punya khalayak pembaca yang ramai, isi kandungan penulisan yang bernas tetapi bahasa yang digunakan cacamerba?

Dengan ‘perasaan’ yang masih lembab, kesal mengambil cuti raya terlalu lama.

Internet di kampung sangat perlahan. Mengundang rasa bosan. Blog tidak dikemaskini. Dan otak masih berpuasa.

Tak beringat. Padahal tahun lepas pun dah rasa bagaimana cuti yang lama melemahkan otak saya.

Selamat bekerja buat kawan-kawan. Nantikan saya Isnin minggu depan.

Pokok herba : Sesudah subuh, ditimpa embun pagi

Serangga : Berehat di atas daun tebu yang ditimpa embun pagi.

Bunga emak : Embun menjadi takungan air.

Daun pandan : Comel ditimpa embun pagi.

Bukan kali pertama saya diganggu. Tetapi kali pertama rasa terganggu.

Hampir seminggu tidak menjenguk blog. Berada jauh dari bumi Kuala Lumpur, saya sangkakan satu escapisme yang berbaloi apabila diri berada di sebuah tempat yang seharusnya menenangkan. Aduhai, terlupa bahawa ketenangan ada di dalam jiwa yang bersih.

Matahari amat terik. Memanaskan hati, memanggang rasa, membakar jiwa. Aduhai, Sudah lama rasanya tubuh saya tidak dipanggang begini. Kali terakhir 3 tahun yang lepas semasa berkhidmat sebagai pembantu penyelidik yang melangsaikan projek Teknologi Melayu di Universiti Malaya.

Seminggu yang lalu, saya berada di perut Pulau Besar, Melaka. Sebuah pulau yang indah dan cantik. Pulau ini dikatakan menjadi tapak pertama Islam tiba ke Alam Melayu.

Pulau ini lain. Sangat lain.

Pembangunan di sini tidak banyak malah yang ada juga tergendala dan terbiar. Hal ini dikaitkan dengan keramat dan kesucian kerana pulau ini dikatakan tempat bersemadinya wali-wali Allah. Masih ingatkah peristiwa kemarau yang melanda Melaka pada tahun 90-an dahulu? Dikatakan kemarau itu berkaitan dengan hasrat kerajaan Melaka memajukan pulau ini.

Pulau yang dikatakan menjadi tempat penyebaran Islam ini sudah menampakkan banyak kesongsangan. Semua tempat yang dikatakan keramat dan suci telah bertukar menjadi tempat berniat, nazar, hajat dan paling menyedihkan wujud unsur-unsur kurafat apabila kesemua tempat yang menjadi sejarah Islam ini, telah bertukar menjadi tempat penyembahan. Setanggi dan bunga-bunga berwarna kuning membanjiri sekitar pulau. (gambar : Makam 7 beradik)

Antara tempat yang dikatakan penuh dengan legenda dan mitos ialah Makam Tujuh Beradik, Makan Sultanul Aarifeen, perigi yang pelbagai rupa, Batu Belayar, Batu Tengkorak, istana dan perkampungan bunian, Tasik Biawak, Gua Yunus, Batu Belah, Makam Syarifah Rodziah dan banyak lagi.

Kesemua tempat-tempat tersebut telah dicemari dengan unsur syirik, kurafat dan perbuatan penyembahan yang melampau. (gambar : Makam Nenek Kebayan)

Hal ini sesungguhnya membuatkan matahari yang bersinar sepanjang penggambaran yang kami buat bertambah terik dan perit membakar otak. Sepanjang jalan saya dan teman penggambaran merasa sebak dan tidak puas hati dengan apa yang kami tonton.

Penyembahan di Batu Belah

Gua Yunos

Hal ini perlu diperbetulkan agar sejarah Islam dipelihara. Juga memelihara kesucian Islam yang tidak akan bertolak ansur dengan perkara syirik dan kurafat.

Tiada penduduk tetap di sini. Menjadi ketetapan oleh kerajaan Negeri Melaka bahawa tidak ada sesiapa yang boleh membina rumah dan bermastautin di sini. Maknanya pengunjung datang dan pergi sesuka hati. Melakukan itu dan ini sesuka hati. Siapa yang harus bertanggungjawab memelihara semula pulau ini?

Rumah rehat yang terbiar

Pusat Peranginan Marina yang juga terbiar

Keindahan pantai yang menutup aktiviti dan kepercayaan karut pengunjung di Pulau Besar

Maklumat lanjut mengenai pulau ini boleh di dapati di :

- wikipedia

- Seni Lama Melayu

_ Syed Hussien Al-Attas

- Wali Songo di Pulau Besar

Jangan ganggu saya. Saya perlukan sedikit ruang untuk sepi.

Kursus Nilai Bersama yang berlangsung di Institut Latihan dan Dakwah Islam Selangor (ILDAS) minggu lepas masih berbekas. Bukan kerana kesan kursus itu. Tidak. Kursus itu tidak berkesan apabila terdapat beberapa kakitangan yang tidak menunjukkan minat mengamalkan nilai-nilai bersama yang diunjurkan dalam yayasan ini.

Ilmu -Prihatin -Integriti – Disiplin – Kerjasama.

Lima nilai yang telah sebulat suara diterima pakai. Namun, tidak sejauh mana dipraktikkan. Hal ini betul-betul menggangu jiwa saya.

KOMA

“Kenapa mata awak,” tanya urus setia pagi subuh itu ketika tazkirah subuh dijalankan.

“Tak dapat tidur kak. Saya diganggu sepanjang malam,” seru saya sejujur mungkin.

Kakak urus setia agak ternganga dan berpandangan sesama mereka.

“Ganggu macam mana?” Soalnya lagi dengan minat.

“Diganggu novel,” jawab saya sambil tersengih-sengih menahan mata yang pedih.

KOMA

“Malam itu, saya nampak ada lembaga di penjuru katil saya. Budak katil sebelah juga melihatnya. Bukan saya sahaja yang diganggu, malahan sejak kumpulan pertama berkampung di sini, sudah timbul cerita yang berasas. Bezanya, mereka siap dengar suara mengilai-ngilai lagi,” cerita seorang teman melalui sistem pesanan ringkas [sms].

“Aaaa…biar betul,” jawab saya agak keseram-seraman. Teringat lawak ‘gangguan novel’ yang saya lakukan subuh tadi.

Patutlah kakak urus setia agak serius. Saya syak ketika saya melayan novel malam itu yang membawa ke pagi, dan berjalan sendirian ke tandas lebih kurang pukul 4 pagi, ketika itulah ‘gangguan’ di asrama lelaki berlaku.

Aduhai seramnya.

“Mendokumentasikan sebuah pemikiran melalui tulisan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar kerana ia tidak boleh dipadam dan di baca oleh semua orang, sepanjang zaman” – Nisah Haron

Dan hanya dengan kalimat pembukaan itu saya sedar ‘hubungan kimia’ antara saya dan dia bermula.

Mungkin agak terlewat untuk saya membuat catatan tentang Umbara Sastera 2 dan Bengkel Asas Penulisan Cerpen anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Dan jadual hujung minggu yang lepas terisi.

Sesuai dengan namanya, Umbara Sastera, maka telahan saya tepat tentang pengisiannya yang cukup bermakna dalam santai. Membawa saya mengembara dan menjelajah minda dengan pelbagai cara memperkatakan hal-hal seputar sastera dan persuratan Melayu. Juga menggugah peserta dengan idea dan pendapat tentang dunia sastera.

Sangat bermakna bagi saya dan juga adik-adik atau rakan seperjuangan yang baru mula bertatih dan takut-takut mahu mendokumentasikan pemikiran melalui bentuk penulisan karya kreatif.

Sebenarnya, halangan dan alasan yang saya ciptakan bukan apa-apa. Bukan apa-apa. Itu hanya sekadar pemusnah semangat yang baru tumbuh.

Berhadapan dengan Puan Nisah Haron hari itu memang berlainan benar dengan situasi bertemu beliau di mana-mana (pesta buku dan DBP). Saya tidak pernah membaca karya beliau dan kebanyakan penulis wanita yang lain dengan alasan, saya seorang wanita yang ‘tiada kimia’ dengan penulis wanita. Maka, kebanyakan buku dan novel yang saya baca melingkungi kehidupan dan penulisan seorang penulis lelaki.

Aduh, malangnya mengikut kata hati dan menurut peraturan ‘kimia’ yang akhirnya membataskan saya kepada perkara yang saya nampak sahaja.

Bacalah, baca dan baca. Itu hakikat yang menjadi makanan kepada penulis dan membuka tirai perbincangan. Hatta, sasterawan negara A. Samad Said sendiri mempunyai tabiat membaca yang mengagumkan selain menjadikan kediamannya sebagai perpustakaan. Hal ini akan saya ulas pada entri yang lain.

Hari itu (19 Julai 2008), berhadapan dengan sebaris generasi muda yang giat berkarya membuat saya cemburu dengan kesempatan yang mereka gunakan sedari awal. Namun, bagai mengetahui kekesalan hati, Nisah Haron sendiri mengatakan bahawa tidak semua penulis menulis di usia yang awal.

Berkongsi pengalaman dan semangat dengan barisan panel merupakan sesuatu yang berharga terutama bagi adik-adik seawal usia 11 tahun yang turut menghadiri bengkel ini. Panel terdiri daripada Fahd Razy (penyair muda), Raihani Mohd Said (penyair tegar), Amiza Khusryi Yusof (penulis karya kreatif), Salina Ibrahim (novelis prolifik) dan Adibah Abdullah (penulis karya kreatif).

Turut serta memberi motivasi adalah Puan Mahaya selaku Ketua Satu PEN dan Syarifah Salha yang merupakan penulis muda angkatan baharu Negeri Sembilan.

Banyak perkara yang ingin saya kongsikan tetapi bukan di dalam entri ini. Hakikatnya, menulis sesuatu terapi pemikiran yang indah dan memberi banyak manfaat. Berdampingan dengan orang yang benar (penulis berdamping dengan penulis) akan memberi kelebihan berlipat ganda.

Saya perlukan semangat seperti ini. Perbincangan dan perkongsian rasa dengan kawan-kawan penulis. Mencerna idea melalui peristiwa yang sentiasa berlaku di sekeliling kita memberi ganjaran yang bergunung- ganang. Antara hendak dengan tidak melakukannya, menembusi tembok alasan, itu yang setiap individu harus putuskan sendiri.

Tahniah Umbara Sastera 2. Maklumat lengkap dan berkesan sila ke blog Nisah Haron dan Amiza Khusyri.

Amin itu maknanya AMANAH. Iman pula bermakna KEPERCAYAAN. Kedua-duanya saling berkaitan kan?

Malam tadi saya menghadiri Anugerah Media Islam Negara (AMIN), yang baru memasuki tahun kedua penganjurannya. Bertempat di Dewan Planeri, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Sebuah Dewan yang besar, dengan kemudahan sistem bunyi dan lampu yang memukau. Memang sesuai dengan anugerah sebesar itu.

“Sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat” – sabda Rasulullah s.a.w.

Oleh itu, media sebagai satu medium yang sangat berkesan pada waktu ini diharap dapat memainkan peranan yang besar terutama dalam menyebar dakwah Islamiah kepada masyarakat.

Kepercayaan masyarakat dan kuasa yang ada pada media serta pengamalnya, harus digunakan sebaiknya dalam mempertahan keISLAMan di Malaysia mahupun di dunia.

Media Islam juga mampu menjadi penangkis yang baik dalam menangani serangan media dari barat yang kebanyakannya menyiarkan propaganda anti-islam.

Namun, yang menjadi persoalan, mampukah Malaysia sebagai sebuah negara Islam mengimarahkan dunia media dengan dakwah Islamiah yang sebenar-benarnya?

Malam itu, saya kagum. 4 anugerah disediakan bagi mereka yang benar-benar dedikasi dalam ‘menyeru kebaikan dan memaling kemungkaran’ dalam masyarakat, serta 2 anugerah khas.

Anugerah Penerbitan Radio, Televisyen, Media Cetak dan Penerbitan Drama berunsur Islam diberi kepada pengamal media dan pemilik media di negara ini. Usaha mereka harus diberi ganjaran dan AMIN adalah hadiah terbaik buat mereka yang berusaha.

Manakala dua anugerah lagi iaitu anugerah Laman Web berunsur Islam terbaik dan Anugerah Perdana Media Islam turut mengisi ruang pemilikan media Islam.

Malangnya, malam itu terdapat beberapa insan seni yang tidak memahami konsep media Islam yang sebenarnya.

Fahrin dan Shamsul (ghau-ghau) mengacarakan majlis dengan baik. Namun, mereka atau pihak penganjur yang menyediakan skrip harus lebih peka dengan majlis tersebut. Jenaka yang menyulami skrip pengacaraan mereka yang kadangkala boleh menyinggung sensitiviti agama boleh digantikan dengan unsur-unsur lain yang boleh membangkitkan rasa semangat dan memandang tinggi peranan media Islam.

Saya berpendapat jenaka sebegitu tidak perlu diselitkan. Ia seperti tidak mengambil kira nilai bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran sekaligus bahasa syurga. Mungkin jenaka seperti ini dianggap penyeri majlis. Tetapi tidak bagi saya dan segelintir penonton terutama adik-adik dari sekolah agama yang sekali sekala mengerutkan dahi dan memandang sesama sendiri mencari di mana lawaknya sebutan arab yang mereka cuba ‘jenaka’kan.

Siti Nurhaliza sebagai penyampai anugerah dan membuat persembahan, mungkin boleh memikirkan cara menutup sedikit rambut dan lehernya yang terdedah malam tadi. Islam itu Indah. Menyuruh kita, kaum hawa menutup aurat sebaiknya untuk kebaikan diri kita sendiri dan masyarakat sekeliling.

Siti sebagai idola masyarakat tidak mengira bangsa dan peringkat umur, boleh memainkan peranan yang lebih baik dalam mem’baikkan’ pandangan masyarakat terhadap golongan artis yang sejak akhir-akhir ini dilihat sebagai salah satu perosak budaya dan agama.

Begitu juga dengan Eja yang saya anggap tidak boleh diangkat sebagai pemenang pelakon drama TV wanita berunsur Islam kerana latarbelakangnya yang tidak bertudung. Mengapa saya menekankan aspek ini? Kerana untuk memberi anugerah kepada seseorang, biarlah benar-benar bertepatan dengan konsep yang dipegang. Jika konsepnya Islam, harus dipegang selayaknya sebagai pengamal Islam yang sebenar-sebenarnya. Islam bukan sekadar pada nama atau perkataan yang tertancap di dalam kad pengenalan.

Siti sangat cantik malam itu. Begitu juga Eja (Siti Sharizah) yang berselendang kepala malam itu yang memenangi anugerah pelakon drama berunsur Islam TV wanita terbaik mengalahkan Wardina dan Datuk Sarimah.

Malangnya kamera saya kehabisan bateri [suatu ketidakwajaran bagi seorang jurugambar kerana tidak memeriksa kondisi kameranya].

Selain itu, saya kira penganjuran media Islam ini harus dipromosi sebaiknya terutama untuk mengelak ketiadaan pencalonan bagi sesetengah kategori anugerah seperti yang berlaku malam tadi.

Dan seakhirnya, tahniah atas persembahan yang menarik malam tadi terutama nyanyian nasyid dari kumpulan Rabbani, Nasir Wahab, MOHRAM, Aris Ariwatan, Siti Fairuz dan ramai lagi.

Selepas ini, diharap pelaksanaan majlis ini mahupun majlis berunsur Islam yang lain dilaksanakan sebaiknya. Jika menyebut Islam, pastilah segala-galanya harus berlandaskan Islam. Memang kita sebagai manusia biasa sering membuat silap. Namun, haruskan alasan itu kita ambil untuk melakukan kesilapan yang sama berulang kali?

Aku hanya manusia sepi yang kadangkala ingin menjerit mahukan kebisingan kemerdekaan yang sebenar. Ahhhh….dunia, adakah kau dengar ini? Ini suara hatiku!

KL Fringe Festival 2008 sempena KL Festival sepanjang bulan Julai 2008 (1-31 Julai), masih berlangsung.

Terlalu banyak aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur. Pilih sahaja yang mana. Ini bukan zaman harus diberitahu dan diuar-uarkan setiap apa yang berlaku di sekeliling kita. Ini zaman kita mencari maklumat sendiri. Zaman kita keluar dari kepompong dan mencari pengalaman sendiri.

Ya, terlalu banyak aktiviti menarik yang dijalankan. Kamu yang berminat, berusahalah mencari maklumat itu dan seakhirnya jika kamu ketinggalan jangan salahkan pihak itu atau ini yang kononnya tidak mempromosi dengan baik.

Berbalik kepada Festival KL yang menyediakan pelbagai aktiviti yang merangkumi aspek seni persembahan, seni tampak, bahasa dan persuratan, warisan dan kebudayaan serta acara-acara lain yang sememangnya perlu diterokai terutama bagi generasi muda yang kononnya penuh dengan energi dan semangat, namun sering tersilap laluan sehingga dilihat sebagai generasi yang kecundang. Tapi, tidak semua kecundang.

Menonton KL Fringe pada 16 Julai 2008 yang lepas yang mengumpulkan beberapa filem pendek untuk tontonan umum

1. TUNGGU AKU DALAM SEMINIT LAGI
dir:Abror Rivai duration: 15mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
2. ANAK-ANAK BUMI TERCINTA
dir:Amirul ‘Ariff A. Wahab duration: 25mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
3. 10 TAHUN SEBELUM MERDEKA
dir:Fahmi Fadzil duration: 35mins genre:documentary
language: English & Bahasa Melayu with English subtitles
4. KAPAL KERTAS
dir:Fazlina Hishamuddin duration: 26mins
language: Bahasa Melayu with English subtitles
5. KOPITIAM KURANG MANIS
dir: Azri Abu Hassan duration:15mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
6. BILA PUNGGOK RINDUKAN BULAN?
dir:Bennylita Nasuty Ramlee duration: 15mins genre:fiction- fantasy
language: Bahasa Melayu with English subtitles

Tetapi saya hanya sempat menonton 3 filem pendek iaitu Kapal Kertas, Tunggu Aku Dalam Seminit Lagi dan 10 Tahun Sebelum Merdeka. Ketiga-tiga filem pendek ini memang membuat saya teruja. Dengan tema yang berbeza saya rasa pengarah ketiga-tiga filem ini berjaya memperkenalkan saya dengan tiga dunia yang berbeza.

Kekosongan jiwa dan pengisian kehidupan yang bagaimana yang harus dipilih oleh seseorang, terkandung dalam filem pendek berjudul Tunggu Aku Dalam Seminit Lagi karya Abror Rivai. Permainan emosi melalui lagu dan paparan pergerakan watak tanpa dialog dan dengan dialog yang penuh, sungguh mencabar saya untuk memahaminya.

Lebih menarik bagi saya ialah pemaparan sejarah melalui bahan-bahan dari arkib dan temubual dengan orang-orang lama yang terlibat dalam peristiwa mogok Hartal seluruh Malaya yang dijalankan sebagai membantah Perlembagaan Federation ciptaan rejim kolonial British dan UMNO, serta kebangkitan sebuah gerakan kemerdekaan rakyat di Malaya, sepuluh tahun sebelum merdeka.

Ya, saya sebagai generasi muda agak ‘ternganga’ dengan pemaparan filem pendek/dokumentari bertajuk Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza ini. Sungguh, tidak seperti bosannya mempelajari sejarah melalui buku-buku teks yang saya pelajari dahulu. Saya semakin mencintai sejarah bangsa dan negara saya apabila menonton filem ini.

Oh ya, filem doku ini boleh ditonton melalui you tube. Bagaimanapun, saya tidak akan meletak URL nya di sini kerana bimbang filem ini, yang dalam simpanan youtube itu bukan dengan keizinan pengarahnya, Fahmi Reza.

Filem ketiga yang saya tonton ialah Kapal Kertas karya Fazlina Hishamudin yang pernah dicadangkan oleh Tok Rimau suatu ketika dahulu. Ini kisah gadis sepi katanya. Falsafah tentang pertemuan, perkongsian dan perpisahan dipaparkan dengan agak menarik. Mungkin juga saya terpesona dengan falsafah fotografi yang digunapakai oleh watak Ilham Hakimi. Mengambil gambar kesedihan. Apa yang lebih penting ialah garapan kehidupan yang pelbagai. Bagaimana manusia menanganinya, apatah lagi seorang gadis.

Saya bukanlah orang yang tepat untuk mengulas filem-filem pendek yang saya tontoni itu. Dan itu bukan tujuan saya menerbitkan entri ini. Membuka jiwa menonton filem pendek ini membuatkan saya terfikir beberapa perkara yang agak positif.

Saya mengagumi mereka yang menghasilkan filem-filem pendek seperti ini. Filem pendek bukan satu kerja main-main atau ‘syok sendiri’. Ia hadir sebagai pengisian rohani di tengah kemelut politik dan isu-isu semasa negara yang sebahagian besar dari kita tak mampu buat apa-apa pun. Sekadar bercakap, meluah rasa hati melalui blog dan paling teruk mungkin menyumpah seranah pihak tertentu.

Pada mulanya saya menganggap mereka yang berkarya sebegini lebih kepada ‘mencari sesuatu sebagai hujah bela diri atau escapisme’ terhadap kemelut negara yang tersangkut dengan pelbagai isu.

Seakhirnya, saya melihat ia sebagai satu disiplin yang mantap dalam memberi ruang kepada individu terutama remaja, yang kreatif dan luar biasa untuk berkarya sebebas-bebasnya.

Bak kata seorang teman yang giat dan aktif dalam bidang seni persembahan ini, yang mengatakan;

Filem pendek merupakan satu ruang untuk mereka mencabar peraturan dipelajari dan seterusnya menempatkan diri dalam kelompok blue ocean.

Blue Ocean Strategy dihasilkan oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborqne. Kedua-duanya dari INSEAD Blue Ocean Strategy Institute. Buku ini telah terjual lebih daripada 1 juta naskhah pada tahun pertama diterbitkan dan telah diterjemahkan kepada 41 bahasa

Blue Ocean lebih kepada mencipta sesuatu yang lain dari yang ada sekarang ini.

Walaupun saya bukan orang yang tepat untuk memberi komen atau pendapat, sebagai penonton saya melihat pembikinan filem pendek sebagai suatu ruang yang kreatif dalam menyampaikan emosi, rasa hati, pendapat, pandangan dan sebagainya.

Kehebatan filem pendek yang dihasilkan bukan terletak pada kos menghasilkannya atau props (peralatan yang digunakan) dan latar belakang tempat yang diambil. Ia lebih kepada pandangan mata dan hati seseorang dalam menyampaikan sesuatu maksud.

Tahniah Dr. Zulkifli yang saya lihat malam itu agak keletihan. Saya tahu anda banyak berusaha untuk seni persembahan ini. Saya setuju dengan pendapat anda iaitu;

Some people even call us “SYOK SENDIRI” with that little festival, but I think it is important to have a little dream and make it big, especially to give the idea to the young people that it is possible to do things even in difficult times.


Dia terkejut apabila sebuah kereta mencuri laluannya tanpa memberi isyarat lampu. Dan sedikit kata-kata ‘jahat’ meluncur laju…

Seorang teman. Yang agak rapat dan baik. Baru bertukar semula ke Semenanjung dari Sabah setelah lima tahun bekerja dan menetap di sana.

Setibanya di Kuala Lumpur.

Perkara pertama yang dirungutkan ialah jalan raya yang bersimpang siur dan sesak menyebabkan beberapa kali dia tersilap jalan serta ketidaksopanan pengguna jalan raya di sini.

Saya hanya senyum padanya ketika dia sibuk membuat ‘liputan selari’ tentang tabiat pemandu di sini dan sesekali membandingkan ‘keselesaan’ di Sabah.

Saya tidak berkata apa. Cuma berharap selepas ini dia tidak pengsan melihat dompetnya akan nipis tiba-tiba akibat terpaksa ‘menderma’ tanpa pahala untuk sejumlah tol yang menghiasi jalan raya di Kuala Lumpur ini.

Berulang dari Klang ke Bukit Jalil bukanlah sesuatu yang boleh menjimatkan wang. Tetapi saya tidak akan menasihatkan dia untuk berkhemah di tepi pejabat.

Buatlah yang terbaik. Kerana kamu (rujuk pada teman), telah memilih untuk berada di sini. Bersama jiwa-jiwa di sini yang separuh daripadanya saya percaya adalah jiwa israiliyat…

Kisah ini memang berkaitan dengan sekatan jalan raya yang dikenali sebagai ‘Ops Padam’ yang sedang dilaksanakan oleh pihak polis di sekitar Kuala Lumpur sejak semalam. Dan ia menyusahkan saya!

Dahulu semasa di sekolah, tugas memadam papan hitam merupakan tugas yang paling memualkan bagi seorang murid perempuan yang tidak mempunyai ketinggian yang cukup a.k.a gadis kecil yang comel [seperti saya...hehehehhe].

Saya tidak suka tugas itu yang harus dilaksanakan sepanjang hari walaupun sekali dalam sebulan. Alasannya, kerana tapak tangan yang comel ini tidak dapat memegang pemadam papan hitam sepenuhnya. Juga kesan kapur tulis yang boleh membuatkan tangan jadi kasar. Manakala ketinggian yang tidak seberapa memaksa saya untuk berdiri atas kerusi bagi memadamkan ‘hasil contengan’ guru terutamanya guru lelaki yang menulis sehingga penuh ruangan atas papan hitam.

Suatu hari, tugas itu kembali mengejar saya. Ya, hari itu saya harus memadam papan hitam. Oleh kerana saya memang mempunyai kepakaran menulis dengan laju [ya, tuhan memang takdirkan saya menjadi wartawan sejak kecil], maka sehabis sahaja salam kepada guru yang telah habis waktu mengajarnya, saya yang juga sudah siap menyalin nota, bergegas ke papan hitam dan memadam semua nota dengan segera sebelum guru seterusnya memulakan pengajaran.

Dan waktu itu saya terlupa, masih ada kawan-kawan yang ‘bukan ditakdirkan menjadi wartawan’ a.k.a lembab menulis, tidak dapat meneruskan catitan kerana sebahagian nota di papan hitam telah dipadam oleh saya.

Opppss….maaf terpadam. Itu sahaja yang mampu saya lakukan disamping membacakan semula nota saya kepada mereka.

Ya, saya harus meminta maaf kerana menyusahkan mereka, kawan-kawan sekolah saya dahulu.

Jadi untuk semalam dan pagi ini, pihak polis harus mengeluarkan kenyataan meminta maaf kepada pengguna jalan raya kerana mengadakan Ops Padam yang kebanyakannya menyusahkan orang yang tidak terlibat dengan perhimpunan haram itu.

Sebelum ini juga, pihak polis mengadakan sekatan jalan raya, tetapi, perhimpunan tetap di jalankan.

Dan kepada mereka yang bakal menyertai perhimpunan, saya bukan marahkan anda, tidak pula menyokong. Tetapi bukankah lebih baik perhimpunan itu diadakan bukan waktu bekerja? dan itu lebih baik kerana ia tidak menyebabkan ramai pekerja yang dedikasi dan penuh semangat seperti saya mendapat ‘dakwat merah’ di kad kehadiran kami.

Sepatutnya berita ini ditulis begini:

Polis Tampal Notis Perintah Mahkamah Larang Sertai Perhimpunan

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) — Polis mendapat perintah mahkamah untuk melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen, Isnin pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sofian Md Yassin berkata perhimpunan esok adalah perhimpunan haram dan mengingatkan orang ramai yang menyertai, mengambil bahagian atau menganjur perhimpunan tanpa permit itu, akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Polis 1967…..

Ahmad Sofian berkata beberapa sekatan jalan yang dikenali sebagai ‘Ops Padam’ di sekitar Kuala Lumpur turut dilakukan bermula petang ini sehingga tengah malam esok.

Oleh itu, pihak polis dan kerajaan MEMINTA MAAF BANYAK-BANYAK kerana terpaksa menyusahkan rakyat yang tidak berdosa….

*Perhimpunan haram yang bakal diadakan menyebabkan polis buat sekatan dan sebabkan jem yang teruk – alasan yang akan saya tulis di dalam kad kedatangan saya!

Semalam, mati-mati saya kata memang salah kereta ketika sebatang tiang di tempat meletak kereta jatuh dan hampir menyebabkan saya gagal ujian memandu!

Semalam, saya menangis.

Ujian QTI yang dijalankan oleh guru bertauliah Sekolah Memandu Metro hampir gagal disebabkan oleh kereta yang diberi pada saya untuk menjalani ujian itu sangat buruk dan enjinnya cepat mati.

Sepanjang menjalani latihan memandu saya tidak pernah melanggar atau ‘mencium’ mana-mana tiang yang dijadikan sempadan dan had untuk meletak kereta (ujian parking).

Tapi semalam, sebatang tiang jatuh.

Semalam, semasa ujipandu di atas jalan raya [yang baru bermula kira-kira dua minit), saya berkata kepada penguji QTI tersebut bahawa saya lupa jalan yang harus diikuti, jadi, bolehkah dia tunjukkan jalannya.

Dia tanya, saya dari mana, dan saya jawab saya dari KL datang ke Lenggeng semata-mata mahu ujian QTI dan cikgu saya kata ujian QTI di Lenggeng lebih selesa kerana jalan raya yang lancar.

Sehabis saya berkata demikian, dia menyuruh saya memberi isyarat ke kiri, berhenti di tepi jalan dan buat pusingan balik.

Patah balik ke pusat memandu Lenggeng.

Saya biru, kelabu dan sedikit berasap. Saya syak saya gagal dengan tiang yang jatuh dan permintaan untuk menunjukkan jalan tadi.

Sampai di pusat memandu, penguji QTI tersebut meminta tandatangan saya pada borang, menyuruh saya keluar dari kereta dan meninggalkan saya terpinga-pinga.

Berjalan menuju ke kereta cikgu dengan sedikit hati yang membengkak. saya menangis dan menyumpah penguji QTI tersebut. Cikgu saya hanya senyum.

Dia kata “tarian kamu pincang kerana kamu tidak tahu menari, bukan kerana lantai itu senget”.

Saya cabar cikgu untuk menguji pemanduan saya.

Saya ambil kunci, bawa kereta cikgu (yang baru).

Melalui ujian bukit. Kereta tidak mengundur.

Melalui ujian meletak kereta. Tiang tidak tersentuh.

Melalui ujian tiga penjuru. Lulus.

Cikgu hanya senyum melihat keangkuhan saya. Kemudian dia datang pada saya kata ujian QTI memang akan diberi kereta yang sedikit uzur. Kerana penguji bukan mahu melihat skil kamu, tetapi cara kamu menyelesaikan masalah pemanduan kamu.

“Dan ujian QTI kamu lulus walaupun kamu tidak dipandu uji di atas jalan rasa dalam tempoh yang ditetapkan. Semasa di bukit sebelum ke jalan raya besar tadi, kamu telah menunjukkan kemampuan kamu, jadi buat apa dia membawa kamu lebih jauh. Sebab itulah dia menyuruh kamu berhenti disimpang hadapan walaupun perjalanan kamu sebenarnya masih jauh”.

Saya diam. Senyum masih tiada. Masih marah pada penguji QTI yang bermuka poyo tadi. Masih mencari alasan untuk memuliakan diri sendiri.

Tuhan sengaja mahu memahamkan saya dengan tarian pincang dan lantai saya yang semakin senget. Aduhai hati….Insaflah.

*ujian QTI dilakukan sebelum ujian JPJ.

MIHAS 2008. Saya berada di sana sehingga ahad ini.

 

 

 


Kadangkala aku rimas dengan kebisingan. Kadangkala juga aku terperangkap dalam kesenyapan. Akhirnya aku lemas dalam diammu!

Maskara 8 untuk siapa-siapa sahaja. Tapi yang datang sabtu lepas hanya orang-orang itu dan beberapa kerat orang-orang lain. Tetapi maskara tetap bising dan riuh dalam senyap.

Mungkin juga angkara AIM yang menjadi pilihan ramai pada malam itu. Mungkin juga ada yang balik ke kampung. Bercuti sejak hari khamis [hari pekerja] membawa ke ahad. Cuti panjang [sesuai untuk mengecat rumah, hahaha....]

Tapi tidak mengapa. Maskara tetap meriah.

Saya sampai tepat 8.30 malam. Menjangkakan majlis telah bermula, tapi sebenarnya belum. Saya suka sampai tepat. Agar tak punya waktu berbual-bual panjang dengan mereka yang saya ingin elakkan.

Saya temui waterlily dengan lelakinya. Sempat berbual sedikit. Terima kasih anda berdua kerana sentiasa ramah dan murah dengan senyum. Teruskan dengan Qusnan Munazarif yang di cari-cari itu. Saya syak memang jejaka berbaju belang biru itu adalah encik Qusnan Munazarif. Memang pemalu.

Maskara 8 di pengerusikan oleh dua orang jejaka yang saya sendiri tidak pasti namanya [maaf, saya sibuk dengan iso, S dan A bersama Salina)

Marsli N.O - Seorang penyair, penulis, pemikir dan bloga yang tersendiri. Saya katakan karyanya sangat tajam. Seperti tajamnya kata-kata beliau sewaktu pertama kali saya melihatnya ketika beliau memberi komen di Kongres Serumpun Sebudaya, DBP tahun lalu. Malam itu, beliau masih begitu. Dengan karyanya yang tajam.

Nazri M.Anuar, masih dengan gayanya. Ada sedikit kelukaan di situ. Ya, saya percaya dia memang sedang patah hati. Tafteh, Azwan Ismail, Salhan K. Ahmad, dan beberapa orang lagi turut membuat persembahan. [maaf, saya masih leka dengan jejaka saya yang perlu di betulkan settingnya]

Basri D.S yang selalu senyum. Malam itu beliau membuat silap mata. Ya, sebenarnya pertunjukan silap mata menguasai hampair 40% maskara 8. Saya harap Marsli N.O tidak tersilap persepsi. Maskara sebenarnya malam baca puisi yang lain dari yang lain. Persembahan silap mata hanya acara sampingan.

Dan oh ya, Derrick Jaramillo, penyanyi kumpulan rock kapak membuat persembahan dengan diiringi The Junk. Tahniah. Anda buat saya dan Cik Daun gelak dan gelak sampai tulang rahang kami rasa mahu tergelincir. Babak terlentang tu yang tak boleh tahan [nasib baik rambut tak terbakar]. Apa pun persembahan anda sangat sempoi.

Malam itu, banyak benda yang saya lalui. Tapi berakhir dengan kesenyapan. kerana kadangkala diam lebih baik dari berbicara kan?

Sedikit gambar :

Dan banyak lagi di sini...

*Banyak gambar yang hendak saya kongsikan tetapi entah kenapa sangat susah nak masukkan gambar melalui cara yang wordpress baru buat ni. Atau saya sahaja yang mengalami kesukaran ini?

Ini bukan kisah asamaradana dan imaginasi yang maha liar seorang gadis kepada jejakanya. s-m-s erotik itu tidak mengubah apa-apa pun. Percayalah!

Semua orang mengimpikan kedudukan yang teratas. Kononnya punya kuasa. Hendak buat apa pun boleh. Terutama untuk tujuan “merehatkan” diri atau “tidur-tidur” ayam.

Kedudukan teratas dikaitkan dengan kuasa. Tahu kan apa yang boleh kamu lakukan dengan kuasa?

kedudukan teratas juga memberi kelebihan yang pelbagai kepada kamu. Yang terutamanya sudah tentu kamu akan rasa lebih tinggi dari orang lain. Apabila kamu berada ditingkat yang lebih tinggi dari orang lain, maka dari situ kamu akan menyaksikan segala perkara;

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Percayalah, dengan berada di atas sahajalah kamu akan kenal semua perkara itu. Lantas apa tindakan kamu sebagai orang yang berada di atas? membiarkan sahaja atau berbuat sesuatu?

Zaman sekarang jangan tidak percaya jika melihat orang yang di atas selalunya hanya tidur-tidur-tidur.

Jika terlihat sesuatu kepincangan nilai kemanusiaan pun, mata mereka yang di atas seolah-olah kabur-buta-katarak.

Kadang juga mereka sengaja menulikan telinga dengan menyumbat earphone dan menikmati lagu-lagu pelbagai rentak, menghangguk-hanggukkan atau sekadar menggoyang-goyangkan kepala tanda menikmati kehidupan di atas itu. Satu escapisme yang baik untuk memutuskan silaturrahim dengan kelompok yang berada di bawah juga rakan-rakan yang berada di barisan atas.

Ahhh…itu semua tidak penting. Yang pastinya kamu sudah termasuk di dalam golongan di atas. Memang itu impian kamu kan? Juga impian mereka yang sentiasa mahukan acara yang lebih dari orang lain.

Dan kamu-kamu-kamu yang berada di bawah, menjalari hidup dengan berselisih dengan mereka yang berada di atas, masih perlu berhati-hati.

Kerana tidak semestinya yang berada di atas itu tidur-tidur belaka. Masih ada yang berjaga, memerhatikan dan mencatat segala yang kamu lakukan seperti…

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Dan teknologi terkini yang mereka ada akan digunakan untuk merakam segala perbuatan kamu yang tidak bermoral itu. Hati-hati dengan kuasa orang yang berada di atas yang tidak tidur dan memainkan peranannya sebagai manusia di muka bumi ini. Percayalah, kamu yang berada di bawah akan sentiasa diperhatikan.

*Entri ini ditujukan khas buat kenderaan-kenderaan kecil seperti kereta, van dan motorsikal yang berselisih atau berhenti di sebelah bas. Kami yang berada di dalam bas lebih tinggi kedudukan dari kamu. Kami dapat perhatikan dan merakam apa yang kamu lakukan di dalam kenderaan kamu.

Berhati-hatilah kepada kamu yang asyik meraba-raba peha gadis kamu yang berada di sebelah. Juga berwaspada kepada gadis yang memakai baju yang seksi yang boleh mempamerkan sebahagian buah susu kamu kepada kami yang berada di atas.

Dan terlebih penting, ketika kamu berseronok-seronok melakukan sesuatu yang tidak bermoral di dalam kenderaan kamu tidak kira kamu di kedudukan atas atau bawah, Percayalah, ada lagi yang di ATAS yang sedang memerhati kamu, mencatat segala perlakuanmu dan tidak terelakkan juga, segala yang kamu lakukan dimuka bumi ini akan dihitung kelak. Berhati-hati!


Lagi-lagi pasal pilihan. Kenapa setiap kali saya merungut tentang sesuatu, kamu akan bercerita tentang pilihan? Sewenang-wenangnya kamu minta saya pilih itu dan ini sedangkan kamu sendiri tahu sebenarnya saya tiada pilihan.

Sekarang kamu pilih sama ada mahu memilih ini ….

Atau ini….

Yang macam ‘lembu’

“Saya dah cakap, saya tak boleh masuk kelab S, awak tak percaya. Tengok ni, kelakar je. Macam sarung nangka”

Semalam, penat masih berbaki. Sambutan Majlis Maulidur Rasul di Bukit Jalil begitu meriah, warna warni dan semangat perpaduan Islam terpamer dengan baik.

collage3.jpg

Warna warni baju pasukan perarakan masih berbingkai dalam imaginasi optik saya. Sebelum semalam, jika ada sesiapa yang masih pening memikirkan warna tema pakaian hari raya tahun ini, semalam adalah penyelesaiannya. Pilihlah warna yang anda suka.

Selepas berjalan sambil mengambil gambar sekitar 3 km, saya bertemujanji dengan cik madu. Sempat melawat kediaman lebah yang bermadu ini. Rumah dia sangat cantik dan kemas [bukan berbentuk heksagon]. Dan kemudian kami mengembara ke suatu daerah yang dinamakan Jusco. Kasihan dia, melayan karenah saya hampir 4 jam. Terima kasih madu (ku). Ha ha ha..

Sehingga semalam, saya tahu madu tak percaya yang saya tak boleh masuk kelab S. Saya dah masuk kelab M. Madu tak percaya. Disuruhnya juga saya beramah mesra dengan ahli kelab S. Akibatnya semua ahli tak mahu berkompromi dengan saya.

Tidak mengapa, kelab M pun apa salahnya. Setiap orang ada kemampuan masing-masing sesuai dengan empunya diri. Satu pepatah lama yang masih terngiang di telinga tatkala saya keluar dari kelab S;

“Ukur baju dibadan sendiri” [yang dibaca secara selapis (single meaning)]

* Madu, kelab kita berbeza! Kamu S dan saya M. Tapi kita masih boleh berkawan.

*Tahniah YADIM. Menjadi Juara Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 2008 mewakili kategori NGO dan juga tahniah Kementerian Penerangan Malaysia [ada kawan saya di sini, Rajif] yang turut menang kategori badan kerajaan.

*Terima kasih encik Abu Yon kerana meminjamkan bateri untuk flash kamera saya. Keprihatinan anda sangat dihargai.

*Terima kasih juga Edwin kerana memberi satu dua nasihat dan beberapa keping gambar untuk saya.

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,982 other followers