Jendela usang itu jatuh lagi. Layla cuba membetul-betulkan kedudukan jendela kayu yang usang itu dan ditemukan dengan engselnya yang sudah tertanggal dari jenang. Ada tiga engsel yang menyatukan jendela kayu itu dengan jenang. Dua sudah tertanggal skrunya, dan tinggal satu yang masih utuh melekap. Sejak dua minggu lepas, ia kerap jatuh.
Layla memerhati lagi bola sepak raga yang tergolek di hujung katil. Jendela itu, harus dibetulkan sebelum malam menjelma. Bimbang diceroboh pula.
Seperti biasa, Layla akan mengikat jendela kayu itu dengan tali guni sebelum menunggu bapa pulang dari pelayaran minggu hadapan. Kata bapa, dia sudah panggil Ramlee untuk menggantikan jendela itu dengan yang baru. Tetapi, Ramlee tidak muncul-muncul.
Tetapi, hari itu, terlalu sukar dia mahu menyambungkan engsel jendela dengan jenangnya.
Senja mula menggamit. Ibu di dapur sudah memanggil untuk menanak nasi dan mengeluarkan ikan perkasam untuk makan malam itu. Adik di halaman sudah berlari ke perigi mencuci badan dan rutin hariannya, ke rumah Aji Dolah untuk mengaji.
Layla meninggalkan jendela itu tergantung.
KOMA
“Dik, lain kali main sepak raga hati-hati ya. Jendela kakak tertanggal lagi dari engselnya,” kata layla kepada Ajiz, adik lelakinya nan tunggal, semasa makan malam itu.
Ajiz buat wajah hairan dan terkejut.
“Ajiz main galah panjang dengan kawan-kawan. Ajiz tidak main sepak raga,” katanya bela diri.
Layla mengerutkan wajah. Ibu diam tidak berkata. Selalunya begitu.
Lauk ikan perkasam, dengan pucuk ubi masak lemak, terasa kelat. Tidak seperti selalu.
“Siapa yang baling bola itu?”
KOMA
Salam Layla,
Kita sengaja baling bola laju-laju. Supaya kena jendela awak. Kita tahu jendela itu sudah jatuh. Kitalah yang rosakkannya. Bapa awak ada sampaikan pesan, minta kita betulkan. Tapi kita tak mahu. Kita nak tengok wajah awak selalu.
Yang Jatuh,
Ramlee.
****
Layla merenung jendela yang terbuka. Ada mentari di sebalik awan. Surat yang dijumpai di dalam bola sepak raga itu disimpan di bawah bantal.
Oktober 7,2011 at 5:05 pm
amboiiii
Oktober 7,2011 at 7:48 pm
ecece….jenis surat wangi letak bedak le tewww
Oktober 10,2011 at 8:57 am
Hahaha..tak…letak bunga taik ayam. Bedak mahal woo