Ia bukan semata-mata tentang dinginnya hujan. Bukan juga tentang titis-titis jernih yang seringkali membersihkan bumi : mengembalikan daun pada warna hijaunya, meranumkan hasil bumi dengan buah-bunga dan akarnya. Bukan juga tentang hujan yang semata-mata menyejukkan bumi yang kepanasan.

Ia lebih daripada itu. Lebih dari sebuah cerita, pengertian dan tanda tanya tentang di mana dia berada.

“Lilian, di mana pun awak, saya ingin bertemu dengan awak. Ingin benar….”

*****

Mata Lilian ditenung dengan tepat. Gadis berbangsa Tionghua itu diam tanpa suara. Sekalipun nafasnya yang cuba dihembus dengan perlahan.

Langkah kaki mereka terhenti. Beberapa helai daun kering yang masih basah diambil.

“Siapa yang menurunkan hujan?” Tanya Lilian. Soalan biasa kanak-kanak berusia 9 tahun.

“Mak saya kata, Allah. Dan mak selalu kata Allah turunkan hujan sebab pokok kering.” Layla menjawab sambil mengunyah asam boi.

“Allah awak ada dalam hujan?” tanya Lilian lagi.

“Layla terdiam. Lama. Kemudian dia kata, “mak kata Allah ada di mana-mana. Jadi kita boleh minta tolong dengan Allah tak kira masa dan di mana sahaja.”

“Saya boleh minta dengan Allah awak jugakah?” tanya Lilian lagi.

“Minta sahaja. Sesiapapun boleh,” jawab Layla lagi.

“Tetapi, mak saya kata Tuhan awak berbeza dengan tuhan saya,” Lilian bersuara dan langkah kaki mereka terhenti.

Nihil.

KOMA

“Saya sudah pandai sebut ini… “Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah’ dalam bahasa Arabnya.” Kata Lilian petang itu, setahun selepas mereka berbincang-bincang tentang hujan dan Allah.

Layla sedikit ternganga.

“Kenapa?” tanya Layla.

Belum sempat Lilian menjawab, guruh berdentum dam serta merta hujan turun dengan lebat.

“Aiyak”..kata Lilian.

Dalam hujan lebat itu mereka berteduh di sebuah gerai.

Layla memandang Lilian yang sibuk mengelap wajahnya dengan sapu tangan lalu bertanya, “kenapa awak sebut syahadah. Sebab mak saya kata, tak boleh main-main sebut itu.”

Lilian tersenyum. Dan tiba-tiba dia menanggalkan begnya. Berlari ke tengah hujan sambil menyebut kalimah syahadah dengan kuat dan berkata, “saya mahu tahu mengapa saya berada di sini. Di bumi ini. Dengan awak yang baik hati.”

Sayup suara itu dijeritkan dalam hujan yang lebat menggila sebelum sebuah lori datang dan melenyapkan segala cerita.

KOMA

“Bagaimana mak?” tanya saya.

“Hanya tuhan yang tahu di mana tempat terbaik untuknya,” jawab emak.

Layla meninggalkan Lilian dan tangisan keluarganya di tanah perkuburan yang nisannya tidak sama dengan nisan adik Layla yang telah meninggalkan keluarga mereka dua tahun lalu.

“Lilian, hujan kita masih tetap setia menemani kita. Saya di sini, dan awak di ‘sana’.”

HUJAN RIZAL GUNX

HUJAN SUHAIMI

HUJAN SHARUL

HUJAN CHEGU IZWAN

HUJAN HAFIS

Advertisements