“Kau tahu macam mana debarnya saat diri mahu dilamar?” tanya Layla.

Rizal geleng kepala. Dia mengerutkan wajahnya. Kemudian dia bertanya, “sama seperti kita nak bersunat ke?”

Sepantas kilat Layla menoleh ke arah Rizal yang sedang enak meratah jagung bakar. “Aku mana ingat saat aku disunatkan. Tak tahu macam mana debarnya,” jawab Layla sedikit merengus.

“Jangan risaulah Layla. Okey punya. Kau cantik, ada bakat. Bak kata orang Jawa, ‘hidup ini umpama err…jagung bakar…sekali kita dibakar, err…”

“Merepek lagi….” Sambut Layla yang sudah faham benar telatah Rizal yang suka berfalsafah tak kena gaya.

Rizal tersengih menampakkan cebisan dan sisa jagung yang hangus kehitaman di celah giginya yang tidak sekata.

“Kau yakin ke Rizal?” tanya Layla.

“Rizal angguk sambil mengelap sisa jagung yang bersepah di tepi bibirnya.

“Dah, kumpulkan semua barang yang kita nak bawa tu,” kata Layla.

KOMA

Layla memejamkan mata memaksa diri untuk lena. Sebelum itu, dia sudah menggosok beberapa pakaian untuk esok. Sengaja dia menggosok beberapa pasang baju agar esok dia tidak bad mood hanya kerana baju yang dikenakan tidak sesuai dengan tudung atau kasut atau moodnya. Sebelum lelap juga, Layla terbayang-bayang suasana uji bakat yang pernah dihadirinya sebelum ini.

“Kamu kurang menghayati lagu yang kamu bawakan,” kata Simon Cowell, juri yang paling bengkeng.

“Nyanyian kamu macam nyanyi karaoke, bla…bla…bla…” suara juri yang lain.

“Wajah kamu tidak komersial,” suara juri yang lain bergema.

“Ah, itu bukan penghalang untuk aku. Aku pasti berjaya walaupun tiada suara yang sedap dan wajah yang menawan,” bisik Layla.

Sejam. Dua jam. Tiga jam. Layla menggelisah. Debaran dadanya semakin kencang. Bunyi degupan jantungnya kuat seperti bunyi detik jam yang bergerak setiap saat. Tepat jam 3 pagi, Layla bangun dari katilnya. Mundar-mandir dalam suasana bilik seperti panggung wayang : babak demi babak yang mendebarkan dalam sesi uji bakat rancangan realiti saling ulang tayang di kaca matanya. Dan babak-babak peristiwa yang berlaku sebelum ini : setiap kali dia datang ke sesi uji bakat, bergentayangan lagi di rona matanya.

Emak menjengah di sebalik pintu bilik yang tidak bertutup. “Masih belum lena?”

Layla tersentak. Hampir melompat ketakutan sebenarnya.

“Tak payah pergi kalau tidak yakin. Emak takut jadi macam tahun lepas.” kata emak lagi. Layla hanya merenung bening mata emak dengan seribu tanya dan seribu kata-kata yang tidak terungkapkan.

“Emak pun tahu kan? Layla dah rancang benda ni lama. Ini bukan soal uji bakat itu sahaja. Malah, lebih dari itu. Kehidupan Layla, emak dan adik-adik akan berubah. Layla akan lebih berhati-hati.”

Sambung Layla lagi, “Layla janji mak, kalau kali ini tidak berjaya juga, Layla akan berhenti. Berhenti untuk mencuba. Dan kita akan teruskan kehidupan kita sebegini.” Layla berjanji.

Emak hanya tunduk.

KOMA

Suasana begitu sesak. Beginilah keadaannya jika acara hiburan dijalankan. Semuanya mahu ikut serta walaupun mereka tahu, bakat menyanyi dan menghiburkan orang tidak terletak pada orang yang sebarangan.

“Boleh ke Layla?” tanya Rizal.

Layla mengangguk. “Jangan risau, kali ini aku lebih bersedia. Engkau pun, jangan buat lawak sumbang macam tahun lepas. Ingat niat kita datang sini untuk apa.”

“Ye, tahun lepas salah aku. Engkau tak salah. Aku sahaja. Harap tahun ni kita berjaya.” Sambut Rizal.

Mata Layla dan Rizal menerawang. Memerhati setiap wajah yang datang mahu mencuba nasib. Debarannya semakin kencang. Rizal tergelak-gelak melihat gelagat peserta yang hadir.

“Jangan gelakkan orang, Rizal. Nanti tiba part kau jatuh tergolek macam tahun lepas, aku tak mahu kaver,” kat Layla.

“ye la…ye la…tahun lepas baju aku ketat sangat,” kata Rizal sambil melangkah seiringan dengan Layla.

Dari jauh kelihatan peserta mula memasuki ruang menunggu. Ada yang mengipas diri. Ada yang memetik gitar. Ada yang menyanyi. Ada yang sekadar termenung. Ada yang dating bersendiri dan ada yang datang dengan keluarga. Dari jauh juga, Layla memerhatikan Rizal yang sudah bersedia dengan penampilan khasnya. Rizal tunjuk ‘thumbs up’ kepada Layla. Layla membalasnya dengan senyuman penuh yakin. Langkah Layla ke satu sudut itu semakin berkobar.

Dan dari jauh kelihatan Rizal dengan peserta-peserta yang sedang menunggu dengan sabar giliran mereka untuk mempersembah bakat.

Layla melangkah perlahan menuju ke arah juri utama, Simon Cowell yang sedang bercakap-cakap dengan dua orang pemuzik. Layla hulurkan kertas yang sudah berisi beberapa maklumat lengkap. Simon Cowell memandang ke arahnya. Layla senyum. Simon Cowell pun senyum dan mengangguk faham. Inilah rancangan Layla. Bukannya dia mahu menakut-nakutkan peserta lain. Layla tidak akan menunjukkan kehebatannya di situ, hari ini. Dari jauh, Layla, dengan penuh senyuman, menanti beberapa peserta yang mula menghampiri dirinya.

Di belakang peserta itu ada beberapa peserta lagi yang berjaya dipengaruhi Rizal.

Apabila mereka tiba berdekatan, Layla dengan yakin tanpa debar terus bersuara, “ ya, mari cik kak, cik abang, beli jagung cawan kami. Harga menarik dengan kepuasan maksimum. Jangan risau, air minuman pun ada. Kuih muih juga ada. Karipap kentang, pisang goreng, nugget ‘love’ dan macam-macam lagi. Isi perut dahulu. Barisan masih panjang tu. Nanti pengsan, tak dapat masuk uji bakat…” Demikian Layla membebel sambil jemarinya pantas membungkus dan melayani permintaan peserta yang mula berkerumun di sekelilingnya memesan itu ini.

Teringat semasa pertama kali kawannya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ beritahu, ada tapak gerai boleh disewa untuk jual makanan ringan, Layla terus setuju. Namun, hatinya panas tatkala tiba hari uji bakat. Kuih-kuih dan makanan yang dijual berterabur akibat bergaduh dengan beberapa peserta. Layla memang pantang budak yang tak habis belajar terkinja-kinja mahu jadi penyanyi. Lalu, Layla ceramahkan beberapa remaja yang gila glemer itu. Apa lagi, jadi gaduh di situ.

Panas telinga Layla kena bebel dengan kawannya sebab tak ambil peluang yang ada untuk raih keuntungan.

“Aku punya la simpankan tapak gerai tu untuk kau kumpul duit. Kata nak beli gitar, Macbook, Nikon D3s…bla..bla…nafsu besar, kena jentik sikit dah naik angin…” bebel Sarul, pengawal keselamatan yang sudah bertugas di bangunan itu selama 3 tahun.

Kali ini Layla tekad. Bukannya dia mahu menyetujui program tersebut. Tetapi, Layla berazam mahu kumpul duit dan buka satu akademi latihan kesenian. Di situ nanti, Layla akan latih mereka yang betul-betul berbakat untuk menjadi penghibur. Bukannya jadi artis celup yang hanya mahu glemer.

Dengan itu, tahun ini, Layla berazam untuk senyum dan hanya meraih keuntungan dengan menjual sesuatu yang boleh memberi duit kepadanya. Layla tersengih. Kali ini dia berjaya menarik perhatian peserta yang sememangnya ramai.

Tidak mahu gaduh-gaduh tetapi ada azam yang bakal dilaksanakan.

Di hujung sana, Rizal meloncat girang di dalam kostum jagung. Hari semakin senja. Jualannya habis. Keuntungan akan dikira di rumah nanti. Layla tersengih gembira. KL’s Got Talent untuk tahun depan akan dihadirinya tanpa debar lagi. Dan difikirannya sudah terbayang-bayang apa rancangan untuk tahun hadapan.

DEBAR GAYA SARUL PETAI

DEBAR GAYA RIZAL GUNX