“Pada zaman kesultanan Melaka, ada seorang pahlawan Melayu bernama Hang Tuah yang gagah dan taat setia kepada sultannya. Oleh kerana cintanya kepada Sultan, dia sanggup ke Pahang untuk memperdayakan Tun Teja agar dapat dijadikan permaisuri Sultan. Namun jasanya terhadap Sultan luput begitu sahaja apabila Hang Tuah terjerumus ke dalam perangkap Pateh Karma Wijaya lalu dihukum pancung oleh Sultan kerana melanggar peraturan istana. Keris Taming Sari dirampas oleh Sultan dan diberikan kepada Hang Jebat bagi menggantikan tempat Hang Tuah. Demi menegakkan kebenaran, Hang Jebat menderhaka dan membunuh rakyat-rakyat Melaka. Beliau juga ingin membunuh Sultan untuk membalas dendam atas kematian Hang Tuah. Keadaan di Melaka menjadi padang jarak, padang terkukur sehinggalah Hang Tuah yang disangkakan mati dibebaskan daripada tempat persembunyian Datuk Bendahara. Hang Tuah langsung menjunjung titah pergi membunuh Hang Jebat, si penderhaka.”

Layla memejamkan matanya. Mengantuk. Tidak…tidak, dia tidak pernah menjadikan buku sebagai ‘kambing hitam’ untuk dia melelapkan mata. Tetapi, dia benar-benar mengantuk. Projek Mesin Masa 007’ yang baru siap diselesaikan semalam membuatkan fikirannya betul-betul letih. Lebih letih daripada buruh asing yang membina bangunan KLCC dulu.

Buku ‘Hikayat Hang Tuah’ yang tebal itu ditutupnya. Walaupun acapkali buku itu diulangbaca, masih tidak menjemukan.

“Inilah ciptaan terakhir. Selepas ini aku akan kembali kepada minat aku, sastera dan sejarah yang banyak mendewasakan aku,” kata Layla.

Layla merenung kembali makmal yang bersepah dengan segala bagai peralatan, wayar-wayar dan skru-skru yang digunakan. Matanya tidak lepas dari merenung mesin masa itu yang kononnya boleh mengembalikan dan membawa manusia ke zaman silam dan zaman hadapan.

“Ini ciptaan paling gila pernah aku buat. Tujuh keturunan pun tak habis makan jika kerajaan membelinya dari aku,” bisik Layla.

Layla meneliti setiap sudut mesin bersaiz Samsung Galaxy Tab yang baru dimenanginya dalam pertandingan mengulas buku baru-baru ini.

“Tetapi, mesin ini untuk apa ya? Jika aku boleh kembali ke masa lampau, sejarah manakah yang mahu aku ubah? Perlukah kita ubah sejarah atau membentuk masa hadapan? Bukankah itu kerja Tuhan?” bisik Layla lagi sambil mengerutkan wajahnya yang comel.

Lusa, Mesin Masa 007 akan dipersembahkan kepada Perdana Menteri Malaysia. Layla meneliti setiap binaan mesin itu bagi memastikan ia berfungsi sebaiknya. Sengaja beliau menyapu sedikit losyen di bahagian badan mesin yang kelabu asap. Tiba-tiba, jemarinya tertekan suiz penghidup dan seterusnya, tanpa kawalan, Layla terperangkap ke dalam mesin masa itu.

KOMA

Layla merasakan badannya ringan. Seketika dia membuka mata, dan terkejut dia berada di tengah-tengah antara dua orang lelaki yang gagah dan kacak berbaju Melayu lengkap dengan sampin dan tengkolok.

“Hang Tuah? Hang Jebat?” tanya Layla.

“Ya, kami yang dimaksudkan. Tuan hamba siapa?” tanya Hang Tuah.

“Saya Layla. Tercampak ke sini untuk melihat sejarah yang tuan hamba berdua lakar.” Jawab Layla dengan berani.

Hang Tuah dan Hang Jebat berpandangan.

“Dalam buku sejarah yang saya baca, tuan hamba berdua berkonfrontasi tentang setia derhaka. Tentang kawan dan musuh.” Kata Layla kemudiannya.

Hang Tuah mengerutkan dahi dan kemudian berkata, “Jadi? Apa yang tuan hamba mahu lakukan?”

Layla diam. Kemudian dia berkata dengan perlahan.

“Baiklah. Saya tinggalkan tuan hamba berdua di sini. Saya balik dahulu.”

“Eh, sebelum itu, bolehkah tuan hamba buat seusatu untuk kami?” tanya Jebat.

“Apa dia?” tanya Layla dengan bersungguh.

“Saya mahu tuan hamba berjuang menjadikan sastera sebagai matapelajaran wajib di sekolah-sekolah. Supaya tamadun bangsa semakin tinggi dan mereka belajar dari sejarah ini. Malahan, saya juga pohon tuan hamba menulis semula kisah kami dalam bentuk yang lebih menarik tetapi, ceritanya tidak lari dari yang asal. Supaya setiap generasi memahami kisah ini dan mengambil pelajaran daripadanya,” jelas Jebat.

“Ya, supaya kematian dan penyesalan kami tidak sia-sia,” tambah Tuah pula.

Layla ternganga. Kemudian, dengan jemari menggeletar, Layla menekan suis penghidup dan terus hilang dalam arus masa.

KOMA

“Prof, siapa yang benar? Jebat atau Tuah?” tanya salah seorang pelajarnya.

“Tentulah Tuah. Seorang rakyat harus setia kepada sultannya,” jawab seorang pelajar lain.

“Setia membabi-buta?” jawab yang lain.

“Dan Jebat itu, hero sangatkah jika tidak menyelidik sebelum bertindak?” sambut suara yang lain pula.

“Semua ini Patih Kerma Wijaya la dalangnya,” kata seorang pelajar yang lain pula.

Profesor Layla tersenyum. Sambil merenung mesin masa sebesar Galaxy tab itu, dia berkata, “Kebenarannya terpulang kepada kamu. Mereka cuma bercerita. Dan ceritanya sekarang, kamu yang corakkan.”

Tiba-tiba satu mesej diterima. Profesor Layla memeriksa kotak mesej.

“Kenapa dalam novel itu, tuan hamba gambarkan hamba memakai baju warna kuning? Hamba tidak berapa gemar baju warna itu. Boleh tak tukar warna coklat krim? Dan Patih Kerma Wijaya, kenapa bajunya warna putih?”

Jemari Layla ligat menaip.

“Sebab kalau warna kuning, percikan darahnya nampak real dan kesannya lebih dahsyat. Patih Kerma Wijaya kan berkulit gelap. Takkan hamba nak pakaikan baju warna hijau pula. Kan?”

Send : Hang Jebat.

 

Versi Rizal Gunx