Emak pesan. Untuk kali yang sungguh banyak. “Jangan…jangan…jangan….” Kata emak.

Abah juga pesan, “usah…usah…usah….”

Mungkin mereka lupa dengan pesanan pakar motivasi, “elakkan guna perkataan jangan atau usah untuk menghalang anak-anak  melakukan sesuatu.”

Saya, sebagai anak yang dimaksudkan itu, mengiyakannya.

Apabila emak dan abah kata ‘jangan…usah…jangan..usah…’, saya semakin berkeras mahu ke sana : sebuah pokok besar di hujung kampung kami yang sungguh redup dan rendang. Dan dalam hati saya membayangkan saya menjadi ‘bawang merah’ : ibunya menjadi ikan kaloi, dimakan oleh dirinya sendiri, mengumpulkan tulang ikan tersebut dengan bantuan semut yang baik hati, dan seterusnya menanam tulang ikan itu di bawah sepohon pokok yang rendang. Itu syaratnya. Dan ‘tadaaaa…’ paginya, sebuah buaian yang talinya berlilit bunga comel, tersedia untuk menghiburkan ‘bawang merah’.

Ya, saya suka babak itu jika dikaitkan dengan pohon besar di hujung kampung.

Tetapi, emak menghalang lagi. Abah juga selalu mengingatkan tentang hantu segala macam hantu yang bakal muncul apabila saya berada di kawasan itu.

“Abah ni, banyak sangat tengok cerita hantu..kan dah terpengaruh,” kata saya ketika itu. Dan abah menjengilkan matanya. Dengan garang.

Petang itu saya nekad mahu menyelongkar kisah pokok besar yang ditakuti orang. Saya ajak Rizal kerana dia juga beiya-iya mahu menyelongkar misteri pokok besar itu walaupun dia baru terlibat dengan kemalangan kecil sehingga lututnya tidak mampu menjejak sejadah akibat mengelak seekor kambing yang disangkanya tunggul mati.

Petang itu, suasana redup. Kami bersaing melangkah dengan laju. Dari jauh kelihatan Pohon besar itu terbuai-buai ditiup angin bagai melambai saya dengan Rizal.

Rizal pandang saya. Saya angguk. Kaki kami melangkah lebih laju.

INTERMISSION.

Saya memerhati kulit pokok besar itu. Menggerutu tetapi indah dengan corak ira yang berpusar dan kadang jalur yang tersusun indah.

“Pandang apa?” Tanya Rizal.

“Kulit pokok ini cantik,” jawab saya.

Dengan perlahan Rizal menghulur jemarinya kea rah kulit pokok yang menawan itu.

“Rizal…jangan….” Jerit saya.

Tetapi sudah terlambat. Tiba-tiba mata saya gelap. Hanya suara Rizal kedengaran, “ kalau ada sumur di ladang, boleh hamba menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang, kita akan berjumpa lagi….Selamat tinggal Layla…”

KOMA

Mata saya yang terang semula melihat sekeliling. Rizal tiada.Saya terjelepuk di tepi pokok besar yang telah ‘memakan’ Rizal, kawan baik saya.

Air mata mula tergenang.

“Jangan sedih, dia selamat.” Tiba-tiba satu suara halus berbisik di telinga saya.

Saya memandang sekeliling. Tiada sesiapa. Mata saya menerawang ke sekitar.

Dari celah-celah rekahan kulit itu, muncul seekor kumbang tanduk kecil. Saya memerhati kumbang itu.

“Jangan pandang saya begitu, saya malu. Saya tidak ada bulu mata macam awak. Awak cantik…bla..bla…bla…” kumbang tanduk itu bersuara.

Saya memintas bebelan kumbang itu yang sedikit sebanyak menyerupai emak saya. Ya, suaranya memang tak ubah seperti suara emak saya.

Kumbang itu diam merenung saya. Kemudian dia bersuara lagi. “Jangan bimbangkan Rizal. Dia sedang belajar sesuatu di dalam kerana kedegilannya.”

“Degil? Tapi saya yang ajak dia ke mari,” balas saya.

“Tidak, sebenarnya dia lebih degil dari awak. Setiap hari dia ke sini. Bercakap-cakap dengan pokok besar ini dengan angkuh. Rizal juga selalu ….errr…err…”

“Selalu apa?” tanya saya tidak sabar.

“Dia selalu buang air kecil di tepi pokok ini. Tahu tak, pokok ini bukan tempat yang selamat?” sambung satu suara lagi.

Muncul seekor siput babi yang besar.

Saya terkejut. Suara siput babi itu memang suara abah. Saya geleng kepala pening.

Daun-daun yang berguguran juga tiba-tiba bersuara secara koir, “tunggulah, selepas ini giliran awak pula jika awak masih berdegil mahu ke mari…..”

Saya gementar. Sangat gementar dan terus bangun mahu lari dari tempat yang lebih menakutkan dari filem-filem Melayu yang seram itu.

“Baiklah, saya janji akan dengar cakap emak saya. Saya janji tak akan datang ke sini lagi seperti yang abah suruh. Saya janji. Tolong lepaskan Rizal….tolong….” kata saya dalam keadaan separa berlari.

Tiba-tiba, lengan saya dipegang dengan lembut.

Dalam debar yang sangat dalam, saya menoleh ke arah tangan itu.

KOMA

“Eh, emak…emak buat apa di sini?”

Emak tersengih. Macam marah, macam tidak. Eh, entah.

Abah pula muncul.

Dan kemudian beberapa orang kampung juga muncul. Termasuk Rizal. Tersengih-sengih.

Saya memandang mereka. Antara faham dengan tidak, tentang apa yang sedang berlaku.

“Ini apa?” tanya saya akhirnya.

“Saja, mahu menakutkan kamu supaya jangan bermain di pokok ini,” kata emak.

“Tapi, tadi, tidaklah menakutkan sangat. Bukankah sepatutnya ada babak : Anda di sedut ke dalam pokok itu. Nah! ceritakan alam fantasi apakah yang anda alami. Binatang pelik apakah yang anda jumpai? Bagaimana anda dapat kembali ke alam sebenar ? Siapa yang menolong ? Siapakah yang jahat ? Apakah moralnya cerita anda ini ?” kata saya lagi.

“Tak sempat. Lagipun modal kami kecil sahaja,” kata Rizal sambil tersengih lagi.

“Jadi? Apa moralnya buat saya begini?” kata saya. Hampir menangis sebetulnya kerana kecewa dipermainkan.

“Layla tengok atas pokok itu,” kata abah sambil ibu jarinya menunjuk ke atas.

Saya mendongak.

“Ada sarang burung yang banyak atas itu. Hari itu, anak Mak cik Senah kena berak burung. Entah burung apa. Sampai jadi kudis dan teruk kulitnya.” Kata emak.

Saya diam.

“Hari itu, Rizal tak tahan mahu buang air, lantas dia terus buang di bawah pokok ini. Ada sarang semut api di daun pokok ini. Jatuh dan terkena anu Rizal. Bengkak dua minggu,” kata Mak Cik Bijah sambil memandang Rizal yang sudah malu kepalang.

“Tetapi, kenapa abah tak beritahu dengan jelas sebab akibatnya dan bahaya bermain di sini? Tidak perlu berdrama sebegini” tanya saya seperti tidak puas hati juga.

“Eh, kan awak suka berimaginasi?” kata Rizal.

“Mana ada?” saya nafikan keras.

“Yang duk berangan pasal buaian, bawang merah la…semut la….itu semua apa? Cuba baca bali perenggan 5 cerpen ini,” kata emak.

“err…itu …itu…”

Saya mencebik. Kemudian terus berlalu balik ke rumah.

Moral : Jangan ajar anak-anak berimaginasi bukan-bukan. Beritahu sahaja fakta dan realiti. Kan mudah!

Versi Sharul

Versi Rizal Gunx

Versi Azzahari Pelitaminyaktanah