“Kecil hati. Rasa nak sambung semula kontrak ‘gaduh’.” Sms saya kepada dia setelah menggeledah blog dia. Membaca catatan perasaannya yang tidak puas hati kepada saya. Dia jawab, “tidak perlu ambil pusing sangat catatan itu. Kita manusia biasa kan? Ada masa salah dan silap.” — Kami baru berbaik dua hari lepas setelah hampir setahun berkonfrontasi.

Status FB saya. Itulah dia.

Kami berbaik semula yang entah kenapa, sehingga kini saya masih belum mengerti, kami sebenarnya kenapa?

Gaduh, elok, gaduh, elok.

Minyak dan air. Mungkin itu simbolik antara saya dengan dia.

Dan kita terus bergaduh lagi. Untuk hal yang mana, saya pun tidak pasti.

Saya dan awak umpama minyak dan air. Kita boleh bersama di dalam satu bekas. Tetapi, tidak mempengaruhi antara satu sama lain. Mungkin juga.

Saya tahu kewujudan awak. Awak rasa kewujudan saya. Tetapi, untuk menyelami rasa antara kita berdua : awak faham saya, dan saya tahu isi hati awak, saya fikir menemui jalan buntu.

Namun, saya lebih rasa seperti : Saya di dalam rumah. Dan awak di halaman sana. Kuncinya, entah mana kita campakkan ketika hati bergetar dengan emosi.

KOMA

Untuk membuka semula pintu itu, saya cuba mengenali semula proses kami berkawan melalui blog yang banyak menyimpan cerita antara saya dengannya.

Satu persatu. Sehingga mata pun enggan lelap. Ya, saya menghabiskan separuh malam saya dengan memikir semula tentang saya dengan dia.

Banyak betul catatan tentang saya. Konsisten. Seperti mana sapaan-sapaannya lewat sms setiap pagi.

Blog saya? Entah. Yang ada hanya dendam. Saya cuba mencari kisah manis yang boleh saya bawa dalam perjalanan yang mahu kami mulakan semula ini. Hampir tiada.

“Kerana yang manis, ada dalam jiwa saya.” –> Hujah bela diri yang klise daripada saya untuk menegakkan ego sendiri.

KOMA

“Takkan tiada satupun hal-hal yang manis yang awak ingat tentang saya,” katanya.

Saya tidak berani menentang matanya.

Dalam hati. Ada.

SELAMAT BERKAWAN.