Rizal bengang. Ketika perutnya memulas kelaparan, ketika itulah dia diminta menghantar beberapa cek dan wang tunai yang harus di masukkan ke dalam akaun seorang pelanggan syarikatnya. Rizal mengambil keputusan untuk pergi ke sebuah bank yang berdekatan dengan pejabatnya dengan anggapan, bank yang kecil tidak ramai pelanggan.

Tiba di bank, Rizal terus memakir motor kapcainya. Masuk sahaja ke dalam bank, Rizal menepuk dahi. Hampir semua kerusi penuh. Hendak tidak hendak, terpaksalah Rizal akur, hari ini hari gaji. Jadi, banyak urusan yang akan dilakukan di bank. Dia memerhati sekeliling, dan dengan lemah dia menuju ke tempat mengambil tiket. 0252. Rizal memerhati nombor pada kertas itu dan mengalih pula pandangan ke arah skrin hitam di bahagian atas kaunter.

Skrin yang memaparkan nombor warna merah itu menunjukkan angka 0230. Rizal mengambil tempat duduk di sebelah seorang makcik yang nampaknya sedang tekun berzikir menggunakan kiraan jemari sementara menanti gilirannya. Rizal terus mencongak-congak dengan jari, berapa nombor lagi yang perlu dilangkahi untuk sampai kepada nombor gilirannya. Oleh kerana Rizal memang lemah bab kira-mengira, maka dia mencampur-tolak angka-angka itu dengan jemarinya perlahan-lahan.

“Bagus, orang muda yang selalu ingat tuhan seperti awak ini. Teruskan berzikir. Semoga tuhan merahmatimu, nak…” kata mak cik di sebelahnya.

Rizal tergamam tetapi dia mengangguk-angguk senyum sambil jemarinya ligat mengira. Dia melihat kaunter bank sudah seperti kaunter menjual ayam golek akibat kelaparan yang menggila. Kemudian dia ternampak beg tangan seorang wanita yang sungguh comel seperti sebiji kek coklat kegemarannya. Dia mengalihkan pandangan kea rah seorang lelaki yang gempal. Perut lelaki yang berlapis-lapis bertukar menjadi burger istimewa yang selalu dinikmatinya ketika tengah malalm, pulang dari melepak dengan kawan-kawannya. Rizal menelan air liurnya.

Tiba-tiba, pintu bank dirempuh kasar. Tiga orang lelaki bertutup wajah dengan helmet menggamat suasana.

“Ini rompakan. Berdiri semua. Berdiri sebelah dinding sana!” jerit salah seorang daripada mereka.

Suasana bertambah gamat. Namun, tiada jeritan kedengaran kerana bimbang ditembak. Juga mungkin kerana masing-masing mungkin sudah terdedah dengan babak begini dalam drama Gerak-Gerak Khas. Rizal tergesa-gesa berlari ke arah dinding sehingga lupa perutnya yang kelaparan. Mungkin perut yang mengembang kosong tadi, sudah mengecut kerana ketakutan.

“Makcik, tolong bergerak ke arah dinding. Ini rompakan. Makcik nak kena tembak ke?” jerit seorang perompak lagi.

Makcik yang duduk di sebelah Rizal tadi rupanya masih duduk di situ dengan gaya yang cun. Kemudian, setelah diacu pistol ke kepalanya, makcik itu hanya tersenyum dan jalan melenggang ke sebelah Rizal yang sudah seperti mahu terkucil melihat pistol perompak itu yang besar dan berkilat. Walaupun Rizal digelar Rizal Gunx, namun dia cukup seram melihat pistol di hadapan matanya itu.

Sementara lelaki yang pertama mengaut duit dari kaunter, dua orang rakannya mengawal orang ramai yang mula panik apabila diacu-acukan ke pistol ke arah mereka.

“Ala, ini mesti geng Bang Ang Boom. Saja buat gempak,” bisik makcik itu ke telinga Rizal. Rizal tergamam.

Segera dia merenung sekeliling dan akhir sekali ke wajah mak cik yang penuh keyakinan itu. Makcik itu tersengih dan buat gaya cun bajet ada kamera sedang merakam aksi mereka menjadi tebusan di bank itu. Rizal teringat rancangan televisyen Bang Ang Boom yang suka mengenakan orang dengan pelbagai ragam itu. Rizal geleng kepala seperti tidak percaya. Namun, Rizal berharap semoga segalanya selesai segera kerana dia betul-betul lapar sehingga terasa mahu pengsan seperti sewaktu dia di perhimpunan sekolah sepuluh tahun yang lepas.

Mata Rizal mula berpinar lagi. Seketika, di depan matanya terpampang seekor ayam golek yang harum baunya. Tanpa berlengah Rizal menyambar ayam itu, menggigit dan mengunyah dengan penuh selera. Sosa yam golek yang kemerah-merahan memenuhi sekitar wajah dan bajunya.

Rizal betul-betul lapar sehingga tidak menghiraukan kekecohan yang melanda di sekelilingnya. Dia terhenti mengunyah apabila ada tangan kasar menarik kepalanya dari ayam golek itu. Telinganya dipiat beberapa kali dan Rizal kembali ke alam nyata.

“Cut….” terdengar jeritan kasar.

Rizal mengesat-ngesat matanya yang masih berpinar.

KOMA

Hari itu, tim Bang Ang Boom kecoh. Cubaan mereka untuk mengenakan orang (mahu mengenakan pengurus bank itu dengan insiden rompakan) tidak berjaya kerana salah seorang pelakonnya (yang berlakon menjadi perompak) cedera teruk di bahagian lengan akibat ‘diratah’ oleh Rizal.

“Kan aku dah kata, ini semua lakonan sahaja…” kata mak cik itu masih dengan gaya ‘jobo’ kerana tidak tertipu dengan proram Bang Ang Boom itu.

“Itulah, buat lagi program bodoh macam ni…” sambut salah seorang pelanggan bank tadi. Rizal terkebil sambil mengelap mulutnya yang dipenuhi darah.

Versi Rizal Gunx

Versi Pelitaminyaktanah

Versi Suhaimi

Versi Nurish

Versi Salman

Versi Sharul

Advertisements