Semalam hujan. Cantik dalam dingin. Jatuh cinta untuk kali yang entah ke berapa. Hari ini saya tidak tahu sama ada hujan turun lagi atau tidak. Juga tidak tahu sama ada saya akan bernafas untuk berapa hela lagi. Semoga dipanjangkan umur buat saya dan semua.

KOMA

Hujan. Banyak tafsirannya.

Lebih kepada emosi : pilu, sedih dan emosi-emosi yang membawa kepada kepiluan hati.

Hujan itu air mata. Katanya. Saya biarkan sahaja kerana dalam jiwa ada banyak cerita tentang hujan.

Ia tidak terucap. Tidak tercatat.

Hujan tidak menentu sejak tahun lepas. Tidak ikut musim lagi. Banyak perkara jadi tidak menentu.

Nelayan yang biasa menyusun atur jadual untuk ke laut tiba-tiba runsing dengan permainan cuaca ini.–> Insya Allah, ada rezeki yang lain yang telah Tuhan sediakan untuk hamba-Nya yang sentiasa berdoa.

Penunggang motorsikal pula sudah tidak percaya kepada mentari yang cerah di pagi hari yang tiba-tiba dalam masa beberapa minit hujan turun tanpa wacana. –> Bawa sahaja baju hujan untuk menunjukkan keredhaan kita terhadap apa juga yang menghalangi perjalanan.

Melihat langit sudah menjadi satu tertib untuk memulakan perjalanan. –> Mulakan sahaja dengan doa. Insya Allah, dipermudahkan segala perjalanan tidak kira panas atau hujan.

Ahh..hujan lagi. Tergendala lagi segala agenda. –> Tidak mengapa, ada hikmah yang besar di sebalik ‘rehat’ ketika hujan.

KOMA

Masih mengingati hujan semalam. yang sungguh deras berjatuhan dari langit. Awan-awan mula menipis. Dan akhirnya mentari mencelah dengan hangatnya.

Ya, sejak setahun yang lalu…kisah hujan masih belum mampu saya tafsirkan dengan kata-kata dan cerita. Hujan turun dan terus turun. Saya masih buntu dan terus buntu. Sepertinya, titis air hujan dingin yang suci itu belum mampu menghilangkan karat yang bertampuk di hati dan turunnya ke jemari. Maafkan saya tuan yang setia menunggu.