Terkeliru antara ‘ruh’ atau ‘roh’.

Buka kamus dewan, maka diberitahunya kepada saya bahawa roh ialah perkataan dari bahasa Arab yang bermaksud, bahagian dalam manusia yang mempunyai daya fikir (berperasaan, berkemahuan), jiwa.

Mencari roh yang hilang tidak semudah mencari bulan di balik awan.

KOMA

Saya, ingin sekali menikmati malam dengan bulan yang terang benderang. Mahu menikmatinya selalu-selalu. Setiap masa. Setiap kali mata tertempa ke langit malam, saya mahukan bulan purnama di situ. Saya mahu menikmatinya kerana bulan begitu sempurna buat saya.

Bulan purnama, katanya merupakan bulan yang paling sempurna (14-15 haribulan setiap bulan). Bulan yang mengandungi kecerahan dan kecantikan hakiki. Sepenuhnya. Bulan purnama juga merupakan bulan yang menerbitkan kata-kata indah buat sang pencinta.

Tetapi bulan hanyalah bulan. Bulan yang mengambil cahaya matahari buat menimbulkan dirinya sendiri. Bulan yang selalu juga hilang kala awan melintas lalu. Bulan yang entah di mana kala hujan menyapa. Bulan yang kelihatan kecil dari bumi dengan cahaya yang gemilang juga adalah bulan yang sepi. Tanpa udara, tanpa bunyi, tanpa apa-apa.

Namun, siapalah kita mahu menyalahkan bulan yang kadang kurang bersinar menunjukkan jalan di gelap malam. Dan siapalah kita untuk merungut tentang bulan yang kadang berteduh di balik awan, sehingga kita di bumi ini pun tidak dapat menikmati keindahan malam tanpa bulan yang terang. Siapalah kita untuk mengungkit hal bulan yang menumpang cahaya mentari. Siapalah kita berbanding bulan yang telah dicipta begitu untuk tujuan-tujuan tertentu.

KOMA

Saya mencari roh yang hilang. Melihat bulan, sudah tentu ia tidak akan ketemu di situ.

Namun, melihat bulan seperti yang diceritakan di atas, memberi satu pengalaman lain buat saya.

Bulan yang begitu, cahaya yang terang atau dengan cahaya yang suram, tetap memberi makna kepada manusia di bumi. Tetap ada fungsi dan keistimewaan tertentu. Tetap melaksanakan tugasnya.

Roh yang dicari bukan terletak pada serinya paras wajah. Ia terletak pada hati. Dan tindakan yang dilaksanakan.

Mungkin juga catatan ini seperti tidak sampai kepada maksudnya.

Roh yang hilang.

Untuk diri yang selalu bimbang.

(Hakikat membimbangi tsunami dan gempa yang melanda Jepun. Hakikat membimbangi peperangan yang masih menngeluti umat Islam di seluruh dunia. Hakikat melihat diri manusia yang semakin hilang roh)

Ada doa untuk itu. Carilah hakikat diri.

Allah sayang kamu yang sayangkan diri.

(diterjemah dari karya Douglas Mallock)

 

Jika kau tak dapat menjadi meranti di puncak bukit

Jadilah aur dilembah, tapi jadilah aur teranggun di sisi bukit

Kalau bukan pokok, aur saja pun jadilah.

Jika kau tak boleh menjadi rimbun, jadilah rumput

Dan hiasilah jalan di mana-mana

Jika kau tak dapat menjadi haruan, jadilah sepat

Tapi jadilah sepat yang terlincah di dalam paya

Bukan semua boleh menjadi nakhoda,

lainnya harus mengikut sahaja

Pasti ada sesuatu untuk semua.

Kerana ada tugas berat, ada tugas ringan

Antaranya dibuat mana lebih berdekatan

Jika kau tak dapat menjadi bintang, jadilah bulan

Jika kau tak boleh menjadi jagung, jadilah keledek

Bukannya mengikut besar kau kalah ataupun menang

Jadilah dirimu yang terbaik.