Beza antara kita : Saya melihat dedaun kering itu sungguh indah dan menimbulkan satu fragmen yang dramatik dan melankolik. Kamu jawab, “sampah pun cantik?” –> betapa bezanya kita. Namun, kita masih boleh berkawan. Kerana dalam proses berkawan, perbezaan melengkapi persamaan.

Itu status yang saya buat di ruang Facebook saya hari ini. Memikirkan kawan.

Ya…semua tentang kawan. Kerana hidup ini dipenuhi dengan kawan. Penuh.

Jika tidak berkawan, tidak pula saya anggap kamu sebagai lawan.

KOMA

Status itu untuk seorang kawan yang benar-benar berbeza pemikirannya dengan saya. Saya mencongak-congak, adakah persamaan antara kami?

Bahasa, ya. Namun, dia tidak pandai bersastera dan berbahasa yang manis dan elok. Itu katanya. Maka saya jawab begini, ‘asal kamu tahu berbahasa dengan waras dan wajar’.

Budaya, ya. Kerana dia Melayu dan saya juga Melayu dengan kedaerahan yang berbeza. Timur dengan Selatan tetaplah boleh berkawan selagimana budaya itu tidak merencatkan hubungan.

Kegemaran. Oh, kami punya kegemaran yang berbeza.

Dan pelbagai perkara lagi yang membuatkan kami ‘bagai bumi dengan langit’.

Namun, apalah perbezaan itu bagi saya.

Dia tetap kawan yang baik. Kerana dia punya adab yang tinggi.

KOMA

Ada status lain yang ingin saya tulis. Tentang seorang kawan yang lain yang saya sendiri tidak faham budaya, bahasa dan dirinya sendiri. Jika dipanjangkan ia akan jadi gaduh dan saling tidak puas hati.

Saya ingin sahaja mendiamkan segalanya. Saya ingin mewajarkan keadaan. Ingin berkata apa yang saya buat bukan kerana ego atau saya bertindak mengikut rasa sendiri. Malah apa yang saya lakukan hari itu tidak berkaitan dengan kisah-kisah kami yang lalu.  Dia dengan bangga mengatakan saya bodoh sombong, selalu buat silap dan tidak meminta maaf.

Saya, mahu dia senaraikan perbuatan saya yang manakah yang salah dan perlu memohon maaf darinya.

Mari saya ceritakan satu kisah :

Keluarga saya selalu mengunjungi sanak saudara. Semasa berkunjung, kadang abah bawa jiran atau kawannya untuk memandu. Semasa tiba di rumah sanak saudara, perkara pertama yang kami lalui ialah budaya bersalam-salaman. Saya kagum dengan itu. Salam adalah permulaan silaturrahim.

Malahan, ‘orang luar’ yang kami bawa, akan disalami. Alasannya, “adab kita orang Melayu menyalami sesiapa sahaja yang berada dekat dengan diri.”

Biarpun orang yang disalami tidak dikenali atau tidak disukai, jabatan tangan tetap ada.

Kisah yang berlaku antara kita :

Saya datang bersama keluarga untuk bertemu dengan kamu. Saya datang kepada kamu dan menyerahkan barang yang mahu dipinjamkan.

Yang saya kesalkan di sini (yang menjadi suatu hal yang tidak kamu fahami dan apatah lagi saya), kamu tidak bertemu dengan keluarga saya yang menghantar saya bertemu dengan kamu. Kamu tidak menyalami ataupun memberi senyum mesra. Sekurang-kurangnya angkatlah tangan tanda sapaan.

Kamu fikirlah, berbeza bagaimanapun kita, saya tidak boleh terima jika kawan saya tidak beradab.

Oh ya, yang mengatakan kamu tidak beradab bukan saya. Tetapi orang yang tersinggung dengan ‘adab tinggi’ yang kamu tunjukkan. Katanya, ‘semacam benar kawan awak itu.” dan alasan saya, awak sibuk dan tergesa sehingga tidak sempat bertemu dengan keluarga saya. Jawab keluarga saya, “untuk tunjukkan adab, tidak perlu masa yang lama.”

Kamu ada buat salahkah kepadanya?

Atau apa?

Saya tidak nampak alasan apapun di situ.

Maaf. Ini penjelasan buat kamu yang nampaknya tidak faham apa yang berlaku. Dan dengan bongkak (bukan bodoh sombong), masih menyalahkan saya.

Sekarang, kamu tentu sudah faham. Ia bukan hal kecil.

Dan sudah-sudahlah. Jangan seperti tidak faham dan buat-buat tidak tahu.