“Apa itu semiotik?” tanya Dr. Sanat Nasir.

Kami, pada waktu itu hanya memandang papan putih di hadapan sambil pena menari-nari di atas kertas kosong. Menjangkakan kuliah kali ini begitu sukar apatah lagi dengan stail pensyarah ini yang tidak menjelaskan secara terus. Beliau tidak menyuap kami dengan makanan. Kami di minta mencari makanan sendiri.

Jika waktu itu kami punya lap top dan talian internet meluas seperti sekarang, sudah pasti kami menjadi tetamu setia wikipedia.

Kami diam lagi. Dr. Sanat senyum. Mengerti kedangkalan akal kami.

“Semiotik itu tanda. Apabila lampu isyarat berwarna merah, apa tandanya?” tanya beliau.

Kami mula tersenyum dengan penjelasan awal itu walaupun kami tahu, masih banyak sisi-sisi semiotik yang perlu kami fahami.

Masih banyak sisi-sisi tanda yang perlu kita pelajari.

Semiotik, itulah dia.

KOMA

Kami menikmati hidangan yang dipesan.

Sekali.

Dua kali.

Tiga kali.

Malah kini sudah berkali-kali. Yang mengiringi pertemuan dan perbualan biasanya membuatkan kami berpandangan sesama sendiri. Mungkin awalnya tawa akan tercetus. Selebihnya, usah tahan air mata untuk membuktikan petanda yang diberi sejak awal oleh Tuhan.

KOMA

Membaca petanda demi petanda.

Satu, kamu akan tahu apa yang perlu dilakukan.

Dua, kamu tahu, apa yang wajar dilakukan.

Mungkin, itu akan memaknakan tanda kehidupan kita.

Advertisements