8.03 pagi.

Buka lap top dan mula melayari Facebook. Mahu mengetahui khabar dan cerita dari kawan-kawan. Mungkin juga bukan kawan.

Memeriksa e-mail, untuk mengetahui khabar dan cerita yang dihantar oleh kawan-kawan. Mungkin juga bukan kawan.

Membuka Yahoo Messenger, untuk mengetahui khabar dan bertukar cerita dengan kawan-kawan. Mungkin juga bukan kawan.

Membelek blog. Meneliti berita yang dipaparkan dalam blog-blog orang lain, juga memikirkan berita apakah yang mahu dipersembahkan kepada kawan-kawan. Mungkin juga bukan kawan.

Membaca berita-berita di surat khabar secara online. Tentang kawan dan lawan yang selalu berkawan dan kerap pula berlawan.

KOMA

KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin meminta pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan fitnah, pembohongan dan memutar belit fakta terutamanya media baru.

KOMA

Kita punya medium yang sangat besar dalam menyampaikan berita.Kemudahan dan keselesaan ini disalah erti dengan menganggap, apa sahaja yang terdetik di hati mahu disampaikan secara ‘cepat’ kepada yang lainnya. Menafikan fungsi akal yang letaknya lebih tinggi dari hati.

Kadang, berita yang kita mahu sampaikan hanya untuk sasaran tertentu. Tetapi, tidak mustahil juga, mereka yang tidak kita sasarkan akan membaca berita itu.

Betapa juga berita, yang mahu kita sampaikan kepada A, kadang tersasar kepada B.

Betapa mudahnya berita masa kini dikeluarkan dan dipaparkan. Tinggal akal menilai, berita manakah yang perlu dijadikan iktibar dan berita yang bagaimanakah yang perlu dibuang jauh-jauh dari fikiran.

Beritakanlah sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain.

Simpanlah cerita dan berita yang boleh menggugat emosi dan membawa kemudaratan kepada yang lainnya.

Berfikir sebelum memberitakan sesuatu kepada yang lainnya.

Itu masih tanggungjawab kita sebagai manusia.

Atau kamu sudah letih menjadi manusia?