Saya teringat tentang kuliah Semiotik oleh Dr. Sanat Nasir semasa di menara itu beberapa tahun yang lalu. Benar-benar teringat. Merasakan secara jujur bahawa kuliah beliau, iaitu cara penyampaiannya benar-benar memberi ilmu kebahasaan yang tinggi. Bukan sekadar menyampaikan.

“Pinjam nota kuliah Dr. Sanat,” kata seorang teman yang benar-benar bosan dengan kuliah Semiotik dan beberapa kuliah lain yang disampaikan oleh Dr. Sanat.

Saya tersenyum. Menyerahkan nota kuliah saya. Kawan itu, mengambil dan mula melihat nota saya.

“Lima baris sahaja?” tanya dia sambil mengerutkan dahi.

Jika saya tidak berbahasa dengan adil, itu bukan salah bahasa, tetapi salah saya yang bertindak zalim terhadap bahasa sendiri.

KOMA


Beberapa tahun dalam hidup saya, terutama semenjak belajar tentang kebahasaan, saya mula mengerti betapa bahasa  merupakan unsur paling penting dalam hidup manusia selepas agama. Dalam segala aspek kehidupan, kamu akan berkomunikasi secara tulisan, lisan atau bahasa isyarat. Dan betapa, setiap kali berbahasa, setiap kali itulah kamu belajar tentang manusia dan isi alamnya.

Menidakkan kuasa bahasa, maka kamu adalah antara penutur yang tidak tahu apa-apa tentang hidup dan kemanusiaan. Sekalipun, di seru sebagai ‘binatang’ juga tidak layak kerana binatang atau haiwan juga mempunyai budaya bahasa mereka sendiri.

Tertanya-tanya, apakah gerangan yang membuatkan lelaki yang bernama Anduka Taruna ini serta para manusia yang membalas komen beliau, berbahasa dengan tiada fikirnya. Mungkin beliau masih boleh menyelamatkan diri, seandainya kebencian kepada pihak yang dicaci maki itu, disalurkan dengan bahasa yang baik dan santun.

Bahasa apapun, mempunyai sifat-sifat yang boleh digayakan dengan situasi dan emosi. Saya kesal membaca emosi ‘benci dan marah’ lelaki tersebut dalam bahasa Melayu, sekaligus menunjukkan bahasa Melayu ialah bahasa yang kesat.

KOMA

Ilmu kebahasaan bukan untuk dicatat dalam buku nota. Ia dalam fikir dan waras. Ilmu bahasa mengekori kamu selagi kamu hidup. Dan bahasa itu bagai kawan yang sungguh membantu dalam menyambung perhubungan dengan manusia yang lain.

Bahasa bukan diwarisi, tetapi dipelajari. Jangan fikir, walau kamu Melayu, kamu boleh berbahasa Melayu dengan baik. Jangan fikir, kamu berbangsa selain Melayu, kamu tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Bahasa bukan unsur politik atau agama. Bahasa ialah tali penyambung antara manusia dengan manusia yang lainnya.

Demikian, kuliah Dr. Sanat yang tidak saya catatkan di dalam buku nota kuliah.