Putus. Patah. Layu.

Transisi daripada bermula – berlangsung – berhenti.

Yang putus mungkin akan bersambung. Yang patah mungkin akan tumbuh kembali. Yang layu, akan muncul tunas dan kuntum baharu. Tetapi yang baharu manakan mungkin sama dengan yang lama.

“Saya tidak nampak ada transisi antara saya dengan kamu dalam perjalanan ini. Jadi bagaimana mungkin kamu kata ia masih ada. Dan bagaimana pula kamu boleh meminta kata putus dari saya?,” kata saya kepadanya.

“Jadi apa keputusan kamu?” jawab dia.

“Jika kamu rasa ia patut di putuskan, maka saya akan kata ‘putus’. Ia lebih baik.” kata saya semula.

Saya sedang bertransisi. Memutuskan, mematah dan melayukan yang tidak wajar. Menyambung, menumbuhkan dan mengembangkan yang baharu.

Tahun baharu, telah saya senaraikan pelbagai perkara. Serta menyahkan perkara-perkara ‘sampah’ untuk mendepani perjalanan.

Transisi. Daripada baik menjadi lebih baik. Ada sesiapakah yang mahukan diri menjadi lebih teruk dan menyusahkan orang lain dari hari ke hari?

KOMA

Menonton Gema Zafana 2009 di Istana Budaya membuatkan saya kagum benar kepada khazanah seni Melayu.

Ia bukan sekadar persembahan. Ada transisi di dalam persembahan tersebut. Juga dalam diri saya. Saya pernah terlibat dengan tarian Zapin. Jadi sedikit sebanyak saya tahu transisi yang ingin di sampaikan oleh jurutari dalam persembahan  ini. Transisi asalnya kepada moden. Dapat dilihat setiap transisi itu bercerita. Dan ia dibezakan dengan emosi, kisah-berkisah dan gaya gerakan tari. Jika transisi yang ingin dipaparkan itu tidak berjaya, maka tidak akan terpapar apa yang ingin ditarikan. Dan tidaklah pula ia menggamit penonton sehingga ke penghujung persembahan

Setiap pergerakan membayangkan cerita dan emosi. Saya kira hal itu terkandung dalam semua bentuk seni.

Tahun ini, banyak aktiviti yang saya sertai seperti bengkel, seminar, teater, persembahan puisi dan seni yang membanjiri Kuala Lumpur. Pelbagai hal yang saya cedok dan amati dari setiap perkara yang saya lakukan. Perkara ‘sampah’ yang menyulami setiap langkah, telah saya buang dan cicirkan dalam setiap perjalanan.

Setiap percakapan, bahasa di lisan dan ditubuh, punya cerita dan emosi sendiri.

Transisi dari satu ruang ke ruang yang lain.

Kamu mahu memasuki ruang yang mana?

Perlukah saya juga memasuki ruang yang ingin kamu masuki?

Ruang kita berbeza. Transisi kita, semua manusia juga berbeza. Ada yang mahu mengubah diri menjadi lebih bermakna. Dan ada juga yang mahu begitu-begitu sahaja. Ada yang tidak mahu fikirkan langsung. Dan saya kira, tidak ada apa yang memaksa setiap individu untuk menentukan transisi dalam kehidupan mereka.

Putus atau sambung, transisi untuk menjadi lebih baik atau sebaliknya.

Saya mahukan yang Tuhan redhai. Setiap dugaan dan ujian, hadir untuk menunjukkan transisi hidup kita, bagaimana citranya.

KOMA

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2010.

Esok adalah hari terakhir 2009. Menjelang 2010. Pelbagai hal telah direncana. Mentransisikan kehidupan agar menjadi lebih baik.

Transisi. Daripada baik menjadi lebih baik. Ada sesiapakah yang mahukan diri menjadi lebih teruk dan menyusahkan orang lain dari hari ke hari?

PUTUSKAN!

Advertisements