“Langit petang dengan sinar mentari yang menjingga sangat cantik. Langit malam yang masih nampak kebiruannya kelihatan bersih dan tulus dengan bulan sabit yang ‘tajam’, bintang sebutir, lampu di sisi  jalan yang menyinar. Terasa mahu mengambil gambar,” kata saya lewat perbualan maya, kepadanya.

Saya tahu dia sedang membayangkan kata-kata itu.

Sambung saya lagi, “cermin kereta yang dipenuhi titis hujan petang tadi, masih belum kering. Titisnya berwarna emas apabila disinari lampu di sisi jalan.”

Saya pasti dia sedang membayangkan kata-kata itu.

Dan sekiranya dahinya masih berkerut membayangkan cerita yang saya citrakan melalui tulisan, maka saya gagal di situ. Gagal membawa keindahan mentari senja sesudah hujan mendingin kepadanya.

KOMA

Saya bercerita dengan kawan-kawan, atau sesiapa sahaja dengan tulisan. Berkisah dan bertukar pandangan dengan tulisan. Artikel yang saya tulis, saya pasti memberi kesan kepada pembaca walau sebesar zarah kebaikan. Namun, ada juga tulisan saya yang kurang difahami, malah menimbulkan keraguan, ketidakselesaan rasa serta yang paling saya takuti menimbulkan salahfaham.

Makanya, di situ, saya gagal bercerita. Gagal kerana apa yang ingin saya ceritakan tidak sampai maksudnya kepada pembaca. Gagal dan kecewa apabila rasa yang ingin disampaikan, yang maksudnya baik, menjadi tidak baik pada pemahaman orang lain.

Tulisan saya, apabila ia dalam simpanan, maka ia menjadi hak saya untuk mempertahankannya bagaimanapun. Tetapi apabila telah diterbitkan dan dipaparkan kepada umum, ia menjadi hak umum untuk mengkritiknya atau memandangnya dari sudut apapun.

Harapan penulis, agar segala apa yang ditulis memberi kesan yang baik-baik walau bagaimana cara sekalipun tulisan itu dicitrakan oleh pembaca.

KOMA

Saya melihat mentari senja itu lagi. Cantik. Tidak tergambar dengan kata-kata.

Maka, saya capai kamera, dan mula ‘menembaknya’ bertubi-tubi. Tidak terakam juga cantiknya apabila setting pada kamera tidak dijaga. Warnanya tidak begitu asli. Memandang gambar tersebut tidak rasa hangat dan bangganya mentari memiliki cahaya yang gemilang.

Maka, saya ambil pensil, dan mula melukis, mewarna. Juga gagal.

Maka, saya simpan sahaja dalam hati segala keindahan mentari hari ini.

Kerana, jika terus menerus, saya memaksa diri untuk menggambarkan mentari itu, dengan cahaya yang gemilang, saya bimbang. Bimbang diri sendiri merana. Merana kerana gagal menyampaikan rasa indah dan syukur itu. Lebih merana jika yang membaca tulisan, menatap gambar dan menilik lukisan saya, akan salah faham.

Tapi kawan, jika kamu menggunakan rasa hati yang putih tanpa prejudis, tanpa saya tulis, rakam atau lukis, ia tetap mentari di mata hati kamu. Tetap mentari. Bukan selainnya.

Advertisements