Assalamualaikum, kawan.

Apa khabar kamu di sana? Sudah serasikah dengan tempat barumu?

Saya di sini biasa-biasa sahaja. Seperti janji kita dahulu. Supaya saya jangan sedih-sedih dan kamu juga jangan kekok memulakan hari barumu di sana.

Angin di sini masih seperti selalu. Kadang hembusannya kencang menerbangkan sebahagian rambut di sisi kening. Kadang ia lesu berhembus sehingga tidak terasa hadirnya.

Mentari juga, kadang ia panas. Memberi harapan dan segunung impian. Tiba-tiba pula ia menghilang.

Hujan yang dahulunya saya kagumi sehingga leka berteleku di jendela, juga hadir kadangkala. Mungkin rindukan kamu yang juga suka pada titits-titisnya. Indah. Dan dari atas ini, kita bersedia dengan kamera, merakam gelagat manusia yang kadang bergembira dengan titis-titisnya dan kadangkala cemuh mencuka merasa sukarnya dengan kehadiran hujan.

Pelangi. Hari itu pelangi muncul. Tanpa sangsi. Mungkin mahu juga mewarnai hari kamu. Tapi, saya telah ceritakan hal sebenar kepadanya bahawa kamu tiada lagi di sini kawan. Pelangi tiba-tiba menghilang. Entahkan merajuk entahkan apa. Tidak pula dia mahu memikirkan saya yang turut mendamba warna-warninya.

Bulan. Ia indah seperti biasa. Apatah lagi dalam keadaan begini. Waktu begini. Mengambang penuh kerana ia memang waktu untuk sang bulan memancarkan cahayanya dengan gemilang. Kita merenung bulan yang sama walau dari tingkap yang berbeza.

Bintang masih begemerlapan seperti biasa. Menjadi selimut yang paling indah buat kita.

Awan-awan yang setiap hari melintasi langit kita, masih ada. Melintasi bumbung rumah kita dan tersenyum. Kadang saya rakam dalam kamera betapa indahnya awak-gemawan itu. Yang seringkali juga bermain-main dengan mentari. Sehingga kita yang di bawah ini sangsi sama ada mendung sedang berarak membawa hujan, ataupun mentari masih di sana, menyinar alam.

Pokok-pokok yang menghiasi laman taman kita, sudah besar mengikut aturan kejadiannya. Masa kamu pergi, pepohon bermacam jenis itu hanya separas dada. Kini, ia meningkat keparas bahu. Bermakna, agak lama juga kamu tiada di sini.

Apa lagi yang ingin saya khabarkan kawan?

Semua yang saya ceritakan masih di sini. Tanpa sangsi.

Auntie penjual surat khabar masih dipenjuru itu. Kedai mamak masih biasa-biasa. Bising dengan kecoh-riuh pengunjungnya. pasar malam meriah dan lelah. Surau dan masjid masih setia mengejutkan kita di kala subuh dan mengingatkan kita setiap lima waktunya. Burung-burung masih riang ke sana sini dan kadangkala meninggalkan ‘khazanah’ mereka di bumbung kereta kita.

Semua masih di sini. Dengan seri.

Semua masih begini. Tanpa kamu di sisi.

Yang Benar,

Zalila Isa

KOMA

Assalamualaikum, kawan.

Angin di sini, tidak sama seperti kelmarin.

Mentari hari ini sebenarnya tidak sama seperti semalam.

Hujan dingin. Pelangi tidak berwarna. Bulan suram. Bintang tiada gemerlapan. Awan berantakan. Pepohon tidak lagi menghijau.

Mereka yang hadir di sekeliling kita terasa tiada dalam ada.

Saya rasakan itu. Tanpa kamu.

Yang benar,

Kawanmu yang tertinggal di sini.