“Kenapa senyap?” tanya seorang kawan.

“Saja. Malas bercakap. Dan tiada apa mahu dicakapkan,” jawab saya.

Sukar rupanya orang lain mahu memahami jawapan seperti itu. Padahal ia mudah.

Bercakap ialah soal diri sendiri. Kita berhak bercakap. Kita berhak diam.

Jika ada yang bertanya ,”kenapa?”

Kita wajar menjelaskan. Tapi penjelasan begitu memang sukar di fahami oleh orang lain.

Saya, dalam fasa memilih untuk diam. Diam untuk sesetengah hal dan sesetengah kawan. Untuk hal-hal yang tidak mahu saya cakapkan.

Faham.

KOMA

Saya kesal kerana saya lupa, peristiwa manakah yang saya terdengar hal ini ;

“Orang Melayu mudah di jajah kerana banyak bercakap. Pada zaman penjajah menguasai negara ini, mereka hanya mampu menguasai negara dan fizikal penduduk Melayu. Jiwa orang Melayu gagal di tawan. Dan puncanya adalah orang Melayu tidak banyak bercakap. Penjajah tidak dapat memahami budaya pemikiran orang Melayu. Mereka juga gagal mencari kelemahan orang Melayu yang ‘berat mulut’.”

Sambungannya ;

“Jadi mereka mula berbaik-baik dengan orang Melayu. Belajar bercakap bahasa Melayu. Belajar menghormati orang Melayu dan adat budayanya. Dari situ mereka tahu dan dapat menyenaraikan kelemahan demi kelemahan orang Melayu untuk mereka menjajah pemikiran bangsa Melayu.”

Mari kita lihat semula sajak Melayu oleh dua tokoh yang hebat ini. Mewakili dua zaman.

Dan kini, kesannya…

Walau negara sudah merdeka, penjajah masih boleh tersenyum riang. Agenda mereka menjajah pemikiran bangsa kita berjaya tanpa dipaksa. Tanpa berkerah tenaga.

Dan kita jadi bangsa yang taksub kepada hiburan. Meminggirkan agama. Bersikap terbuka untuk segala hal. Menuntut hak dan kebebasan bersuara. Melabelkan ‘kolot’ kepada mereka yang diam kurang bersuara serta bergaduh sesama kita sehinggakan seorang penyair dari Indonesia yang saya lupa namanya  berkata, “pergaduhan kita sesama bangsa dan budaya lebih hebat dan lama daripada bergaduh dengan penjajah di zaman dahulu.”

KOMA

Orang mudah membaca diri kita dengan perkataan-perkataan, serta gaya bahasa kita bercakap. Itu puncanya daripada kita,  jika dia melabel kita dengan begitu dan begini, kerana kita telah beri petunjuk kepada orang lain tentang sikap kita melalui percakapan.

Orang juga mudah membaca diri kita jika kita tidak banyak bercakap. Itu hal mereka, yang mudah menilai walau tidak tahu apa sebenarnya yang kita fikirkan. Itu prejudis namanya, wahai kawan.