Hari ini saya menggodek komputer di pejabat yang sudah lama tidak disentuh kerana semua kerja saya lakukan dengan menggunakan komputer riba.

Banyak fail yang tidak dapat ditemui. Banyak fail yang tidak ingin ditemui, namun muncul di kaca mata.

Tertarik dengan satu fail gambar yang di dalamnya terkandung hasil rakaman mata saya ketika mula-mula menggunakan DSLR. Kelakar dan kagum juga.

Begitulah saya dahulu.

Dan beginilah saya ketika ini.

Dan fail-fail tersebut, hanya saya tahu apa isinya.

KOMA

Fail.

Hidup.

Dalam hidup kita ada banyak fail yang tersimpan segala maklumat. Cerita. Keterujaan. Rahsia atau bukan rahsia.

Fail yang telah kita simpan dan tidak mahu buka-buka lagi, di mana tempatnya?

Fail yang selalu dibuka dan di simpan di tempat yang mudah dicapai. Pastikan ia tidak hilang.

Fail yang rahsia, dan tidak mahu sesiapa mengetahuinya.

Bagaimana dengan fail yang kita tidak tahu statusnya? Mahu dikongsi dengan yang lain ataupun mahu disimpan untuk sendiri-sendiri?

Hati-hati dengan fail yang itu.

Yang mungkin akan gembira buat kita tetapi tidak buat yang lain.

Buka atau tidak, ia aturan akal kamu.

KOMA

“Masih perlu ada satu fail yang dinamakan ‘rahsia saya’, di mana rahsia itu usah di beritahu pasangan kita atau sesiapa sahaja. Bimbang jadi begini. Memudaratkan jiwa dan rasa antara dia dan kamu,” kata saya kepadanya.

Ya, rahsia itu milik kita.

Buka atau tidak, ia aturan akal kamu.