“Toast Titanium. Selepas jumpa kamu, baru saya tahu kegunaannya sedangkan perisian itu sudah lama bermastautin di komputer riba saya,” kata saya kepadanya semasa kami menikmati minuman yang istimewa itu.

Maka, bolehlah saya memuat turun lagu-lagu yang saya suka dan mainkannya di dalam kereta.

Hari itu, saya teruja. Mungkin dengan CD yang dipenuhi lagu-lagu yang saya suka.

Kononnya, saya mahu menyajakkan lagu yang berkumandang. Maka, saya pasang lagu kuat-kuat dan mula mengikuti lirik yang dinyanyikan. Tapi saya tidak menyanyi. Saya bersajak. Bebas dan mengasyikkan.

Habis satu lagu. Lagu Siti Nurhaliza. Saya minum air dan tarik nafas.

Erkkk…Pemandu kereta di sebelah memandang saya dengan penuh rasa. Mungkin.

KOMA

DSC_0323-2

PERKAMPUNGAN PENULIS 1 MALAYSIA, anjuran Biro Tatanegara dan GAPENA. Di BTN, Jalan Bellamy.

Sebenarnya, saya lebih suka mengambil yang baik dari membicarakan yang tidak baik. Mendengar nama BTN, saya sudah pelik. Wah, bagaimakah kami akan digaul dengan BTN? Minyak dan air memang tidak boleh bercantum tetapi tetap boleh berada di dalam bekas yang sama.

Jumaat lepas, sesudah habis kelas renang, saya bergegas ke Jalan Bellamy untuk mendaftarkan diri. Mewakili Persatuan Penulis Negeri Sembilan. Kemudian, bergegas semula ke pejabat. Balik rumah, mengemas pakaian dan bergegas semula ke Jalan Bellamy.

Majlis perasmian malam itu sederhana. Dengan kapasiti kehadiran peserta lebih kurang 60 orang mewakili persatuan penulis negeri masing-masing. Pembimbingnya juga bukan calang-calang. S.M Zakir, Salleh Rahamad, Shamsudin Othman, Hamzah Hamdani, Dr. Fong dan beberapa pembimbing lain.

Namun, malam itu saya di hidangkan dengan mukadimah yang mengecewakan. Maaf, benar-benar mematikan mood. Jelas, encik yang memperkatakan tentang puisi dan ketatanegaraan itu tidak membuat penyelidikan menyeluruh tentang dunia kepuisian. Juga menyinggung perasaan anak muda dengan sewenang-wenang menghukum, remaja masa kini tidak tahu apa makna puisi.

Tidakkah encik itu tahu, bahawa dunia kepuisian dan remaja sudah lama bersemi baik dan cantik. Remaja tahu apa itu puisi. Dan tahu apa yang perlu mereka tulis dalam puisi.

Biarlah kami, pemuisi ‘menyanyi’ dengan rentak kami. Usah ajar kami ‘menyanyi’ sedangkan nyanyian kamu sendiri sumbang.

KOMA

BTN. Kami didedahkan dengan ketatanegaraan. Pengetahuan am tentang dasar yang di gagaskan oleh Perdana Menteri, 1Malaysia. Mereka mahu memahamkan kami tentang konsep 1Malaysia. Namun, seperti yang berlaku hari ini, kekeliruan tentangnya juga menyinggah benak kami. Apa sebenarnya 1Malaysia?

Saya suka dengan penjelasan dan pembentangan oleh Datuk Zainal Kling. Tentang perjalanan sejarah dan kenegaraan kita. Saya suka apabila dengan bijaksana, beliau menjelaskan konsep 1Malaysia lebih menimbulkan huru-hara daripada bersatu padu. Namun, dengan cermat juga, beliau menyarankan agar penulis muda mengambil langkah tengah. Menulis tentang persamaan bangsa dan bukan menggegar bangsa dengan perbezaan demi perbezaan yang sememangnya wujud.

Saya cemburu melihat adik-adik yang semangat menghadiri bengkel tersebut. Cemburu kerana minat dan keupayaan membawa mereka mendalami apa yang mereka minati. Apatah lagi yang berkeyakinan membuat sajak dan mendeklemasikannya dengan baik.

KOMA

Penulis, boleh menjadi orang tengah. Antara pihak yang membuat dasar dengan pihak yang menentang dasar. Penulis yang baik tidak membenarkan diri mereka menjadi alat kepada mana-mana pihak. Berada di tengah dan mendamaikan. Membenarkan yang benar. Menegur yang salah.

Sesiapa sahaja berhak memberi pandangan kepada penulis tentang apa yang perlu mereka tulis dan hasilkan.

Cuma, biarkan mereka ‘menyanyi’ dengan bebas. Dengan rasa mereka sendiri.