DSC_0326-Edit-2

“Lihat rak buku saya. Malas mahu susun,” katanya.

Hanya jauhari mengenal manikam,” jawab saya.

Dia ternganga dengan pepatah yang saya berikan.

Ya, hanya jauhari mengenal manikam. Hanya yang bijaksana yang mengenal erti kebijaksanaan.

******

“Bilik profesor sangat bersepah. Biar saya kemaskan,” kata saya suatu ketika dahulu semasa di menara itu. Tahun tiga. Dan membuat kajian tentang penggunaan bahasa Melayu di sekolah.

“Usah. Biarkan buku-buku itu di situ. Biarkan helaian akhbar itu di sana. Biarkan majalah itu di situ,” demikian jawabnya.

Bilik pensyarah yang menyelia kertas kajian saya sememangnya bersepah. Dengan longgokan fail yang pelbagai, buku-buku, jurnal, majalah, keratan akhbar, kertas kerja pelajar, tesis dan bahan bacaan lainnya. Saya anggarkan kepeningan melampau akan saya alami jika bilik saya begitu rupanya.

Hanya jauhari mengenal manikam,” jawabnya ringkas.

******

Bilik saya semasa tahun satu di menara itu – ada sebuah rak tersusun buku-buku yang berkaitan dengan Melayu. Sebuah rak tersusun tin biskut, makanan segera, beberapa botol mineral, cawan, pinggan, sudu dan garfu, bekas makanan plastik dan tisu. Sebuah almari tesusun baju kurung dan terlipat helaian baju-baju dalam dan luar. Tiada hiasan. Maksud saya ‘beruang kecil’ atau bunga-bunga. Cukup ringkas untuk sebuah bilik asrama.

Jauhari tetap mengenal manikam.

KOMA

Dahulu, seorang kawan bertanya tentang cara saya menyimpan gambar-gambar yang saya miliki. Saya tidak jawab.

“Adakah kamu susun berdasarkan peristiwa, ciri-ciri gambar, tarikh gambar diambil atau apa?” tanyanya lagi.

Fail dengan nama bunga, senja, laut, sungai, bangunan, rumah, masjid, ukiran, lanskap, keluarga, diri sendiri, kawan-kawan, makanan, buku dan segala bagai nama fail boleh kamu bina dengan di dalamnya dipenuhi gambar-gambar yang telah dikhaskan. Satu fail terkandung gambar-gambar yang punya ciri serupa.

Menyusun gambar di dalam fail yang khas memang memeningkan. Apatah lagi jika ada gambar yang tidak punya kategori.

“Ini mahu diletakkan di fail mana?” tanya saya sendirian melihat gambar batu tanda jalan semasa pulang ke kampung raya lepas. Kuala Pilah, 33.

Abstrak. Ya, namakan sahaja fail abstrak.

“Baguslah awak. Susun gambar dengan baik. Mudah mencari gambar yang kita kehendaki,” katanya.

Saya hanya tersenyum sambil mengenangkan ‘jauhari yang mengenal manikam’ itu.

KOMA

“Susun kata-kata supaya dia faham apa yang ingin kamu sampaikan,” kata seorang kawan yang kacak, semasa kami di menara itu.

“Sudah disusun. Sudah juga diluah,” jawab saya.

“Apa jawapannya?” tanyanya.

Abstrak. Bagaimana saya mahu memahami jawapan yang abstrak?

Jika ia sebuah susunan, susunan yang bagaimanakah yang harus saya ikuti dan fahami?

KOMA

Kawan yang malas menyusun buku di rak itu, fahamilah, sesungguhnya kamu yang mahu buku itu disusun begitu. Mengikut citarasa kamu agar ia menyelesakan dan memudahkan kamu memilih buku yangdikehendaki dengan mudah. Kamu tahu di mana kamu simpan buku yang kamu dakwa telah hilang itu.

Saya mengerti juga bahawa sengaja tidak disusun buku dan majalah-majalah yang bersepahan di meja dan rak pensyarah saya itu. Usah disusun oleh orang lain. Kelak, kamu akan kehilangan buku yang ingin kamu gunakan. Hanya kamu tahu di mana buku tersebut.

Ada  rasa yang perlu saya susun sebaiknya di dalam hati. Suatu ketika, semuanya telah tersusun baik. Mana yang perlu saya turuti dan mana yang perlu saya hindari. Namun, ada beberapa rasa yang tidak mampu saya susun sebaiknya. Mahu diletakkan di hati, bimbang mati. Mahu disuakan kepada rasa, bimbang pula binasa. Mahu di longgokkkan kepada nafsu, jadi melulu.

“Abstrak kadangkala lebih beerti untuk kita fahami hidup. Hidup bukan mudah untuk dimengerti. Tidak pula payah untuk diuliti,” kata saya kepada diri sendiri setelah gagal mengenalpasti rasa yang abstrak ini.