DSC_0453-Edit

Saya tahu beliau berbangsa India. Bukan dari tutur katanya. Bukan juga dari cara beliau berpakaian kerana saya tidak pernah menemui beliau. Hanya mendengar suaranya hampir setiap hari dua tahun lepas. Dia memang bangsa India tulen. Namun tutur katanya, cara dia menggunakan ayat dan menyapa orang lain benar-benar mengagumkan.

Dan pagi ini rahsia pecah.

KOMA

Hari ini 090909.

Hari ini juga diiktiraf sebagai Hari Radio Semalaysia.

Radio sinonim dengan medium informatif selain televisyen. Dengan radio, kita mendengar lagu untuk mengurangkan tekanan semasa terperangkap dalam kesesakan jalan. Juga menenangkan pelajar sedari sekolah rendah hingga ke universiti, kala otak sarat dengan ilmu. Menjadi teman suri rumah dalam melaksanakan rutin harian. Pendek kata, radio untuk sesiapa sahaja dan di mana juga. Radio juga berfungsi memberi maklumat terkini yang bukan sahaja dihadirkan dalam bentuk sehala, malah dua hala. Kehadiran radio secara online dan dilengkapkan di dalam telefon bimbit menjadikan radio begitu luas sebarannya.

Dengan kehadiran radio swasta yang memperbanyakkan stesen radio sedia ada, memungkinkan pelbagai perkara diperoleh. Lagu-lagu yang menghiburkan, iklan yang berkesan, maklumat yang penting, berita yang ringkas, komunikasi yang berkesan dan interaktif, dan sebagainya.

Dahulu, kita mengenali penyampai radio hanya melalui suara dan kata-kata yang dituturkan. Kini, suara dan paras rupa seiring dalam tugas. Penyampai radio popular suara dan rupa apabila mereka turut mengenai tempias populariti melalui gambar dan aktiviti harian dalam bentul visual. Pengaruh penyampai memberi kesan kepada pendengar radio. Jadinya, tugas penyampai lebih mencabar dan bukan sekadar memperaga suara.

Cabaran yang harus mereka pikul  dalam melaksanakan tugas ialah kepetahan bercakap dan berinteraksi dengan pendengar, menggunakan bahasa yang baik, lancar dan intonasi yang betul, menjaga tutur kata, dan menyampaikan maklumat dengan betul dan tepat.

Saya kira, terdapat beberapa peristiwa yang melibatkan bahasa, menjadi isu di kalangan penyampai radio swasta yang kebanyakannya tidak begitu mengambilberat soal skrip sebelum bercakap. Kononnya, lebih terbuka dan lebih terkini dengan stail begitu.

Saya masih terkesan dengan radio yang dinaungi RTM beberapa ketika dahulu walaupun skema, namun mereka menjaga setiap patah bicara dengan baik. Rasa tenang dan tidak serabut. Berbanding dengan beberapa radio swasta dan bukan swasta yang sudah mula mengubah cara penyampaian mereka ke arah lebih interaktif tetapi tidak begitu menjaga soal adab dan cara bercakap.

“Pakai main cakap ikut sedap mulut sahaja,” kata seorang kawan yang menyampah dengan sebuah stesen radio swasta, di mana penyampainya seorang anak muda yang cakap seperti ‘mulut tiada insuran ‘ [eh, ada ke insuran mulut?’].

Juga ada stesen radio yang mempunyai penyampai ala-ala ‘mak nyah’. Saya bukan prejudis, namun, tidak sesuai jika suara-suara sumbang [lentok dan gaya bercakap dengan beberapa istilah gender – confius ] begitu, dihadapkan kepada masyarakat.

Apatah lagi dengan suara penyampai radio yang membingitkan suasana dengan jerit-pekik yang terlampau dan ketawa yang berdekah-dekah. Hey, saya jadi tertekan dengar suara yang begitu. Itu sungguh tidak manis.

Memanglah, kita punya banyak pilihan radio lain, namun apa yang dihidangkan sebagai pilihan biarlah mengikut aturan yang cantik dan sesuai dengan masyarakat pendengar yang mempunyai pelbagai latarbelakang pendidikan, budaya dan umur.

Saya mohon, sempena Hari Radio Semalaysia ini, stesen radio masa kini, sila kemaskini kandungan siaran termasuklah sikap yang perlu ada pada penyampai radio. Ini bukan soal menjalankan tugas sahaja, tetapi soal ‘memberi’ sesuatu kepada masyarakat. Apa yang mahu diberi?

KOMA

tahniah-dj-premaidop-KL-FM-huhuGambar dipetik di SINI


Saya mengagumi penyampai radio ini.

Prema dari radio Sinar Fm yang telah bersara dua tahun lepas [sebelum ini beliau berkhidmat di stesen radio KL.fm] . Suaranya sungguh baik. Baik bagi saya ialah menjaga bahasa, nada dan menitikberatkan soal hubungan dengan pendengar. Ayat yang digunakan menyejukkan hati. Suaranya melunakkan ketegangan.

Dia berbangsa India. India yang tulen. Namun, dia menggunakan Bahasa Melayu dengan baik.

“Bahasa Melayu di hujung lidah sahaja,” katanya.

Bahasa Melayu ialah bahasa yang paling mudah di tuturkan. Tidak perlu belajar. Hanya praktis. Itu kata-kata beliau pagi tadi semasa di jemput ke konti Sinar FM sambil ditemubual oleh Khrill, Kak Engku dan Salleh Yaakub di segmen Pagi Di Sinar. Malahan, saya juga sependapat dengan seorang pendengar yang bernama Acu, yang menelefon dengan rasa teruja memuji Dj Prema sebagai seorang dj yang sangat beradab dengan pendengar, suara yang baik dan menggunakan bahasa Melayu dengan fasih.

Pagi ini, saya jagi teruja. Teruja mengatakan yang menyatukan Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu yang perlu dituturkan dengan baik oleh setiap rakyat.

Tapi, kenapa Salleh yaakub boleh menuturkan slang bahasa Melayu ‘tamil’ semasa berbual sedangkan Dj Prema menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Masih teringat kata-kata Prof. Abdullah Hassan semasa Bengkel Bahasa Melayu Tinggi dahulu. Katanya, “jika kita ikut slang bangsa yang dilawan bercakap, maknanya, kita menghina bangsa tersebut.”

Benar, ia tidak langsung menambahkan kemesraan. Kononnya mahu dilihat mesra dengan menggunakan slang bangsa tersebut. Tidak, ia tidak melihatkan kemesraan tetapi lebih menghina jika slang yang kita gunakan itu salah pada tempatnya dan konteksnya.

Menyampuk dalam keadaan yang tidak tepat juga mencacatkan perbualan pagi tadi.

Maaf, penyampai radio masa kini harus belajar cara menyampai dengan betul.

Selamat meraikan Hari Radio Semalaysia!

Advertisements