DSC_0126-Edit

“Tidak pasang bendera di kereta? Lagi dua hari nak sambut merdeka,” kata seorang kawan.

“Kemerdekaan itu bukan di bendera, ia di sini,” jawab saya sambil meletak tangan di dada.

“Jadi, bagaimana nak menunjukkan yang ‘di sini’ itu sebagai bukti kita menghargai kemerdekaan negara?” tanyanya lagi.

Saya diam. Dalam hati berkata, “itu soalan yang susah kawan. Jika mahu jawapan, lihat masyarakat sekeliling. Apa yang kamu lihat melambangkan kemerdekaan negara?”

KOMA

Merdeka bagi saya itulah dia. Apabila melihat masyarakat boleh hidup bersama-sama walaupun berlainan agama dan budaya. Merdeka apabila sensitif dengan budaya dan agama bangsa lain serta saling tahu kedudukan dan letak diri sesuatu bangsa dalam sesebuah negara.

Juga merdeka apabila ada kesinambungan yang baik antara pemimpin dan rakyat, ibu dan bapa, anak-anak dan keluarga, jiran sesama jiran, kawan sepejabat dan sebagainya.

Tidak merdeka apabila memikirkan bahawa masih ramai remaja yang terpesong, pembikin filem yang menghasilkan filem-filem yang tidak menyumbang kepada sahsiah bangsa, pelajar-pelajar yang semakin kurang kualiti kebijaksanaannya serta kakitangan kerajaan yang semakin lupa kepada tanggungjawabnya.

Juga tidak terlupakan artis-artis yang semakin lupa diri, peniaga yang haloba, pengeluar makanan yang tidak jujur, hotel yang tiada pengesahan halal JAKIM, kes-kes jenayah yang tergantung tanpa penyelesaian, kes-kes rasuah dan penipuan yang tidak terbendung dan banyak lagi.

Paling penting, konflik politik yang melibatkan para pemimpin parti, fitnah-memfitnah, pijak-memijak sehingga rakyat tidak rasa hormat dan mengiktifan kepimpinan seseorang pemimpin.

Mendengarnya, terasa amat tidak merdeka di sini.

Tapi, di mana-mana negara juga ada perkara-perkara yang disebutkan di atas.

KOMA

Status Facebook saya hari ini : Apa tema kemerdekaan tahun ini? Kita leka dengan puasa atau memang semangat kemerdekaan itu telah tiada? Adakah semangat kemerdekaan diukur dengan betapa banyaknya bendera yang dikibar? Kepada Pak Menteri, usah risau dengan hal bendera yang tidak ber kibar. Prihatin dengan suara rakyat, itulah lambang kemerdekaan buat negara.

Mahu merdeka dengan cara yang bagaimana?

Mengibar bendera dan berarak semata?

SELAMAT MENYAMBUT MERDEKA BUAT SEMUA.

Advertisements