DSC_1329

Masa : 7.30 malam.

Saya menjamah buah kurma yang disediakan, sementara menunggu hidangan. Agak lewat kerana lambat tiba ke restoran itu.

Meja kiri dan kanan penuh. Begitu juga yang di hadapan. Dapur restoran yang berdekatan dengan saya agak bising dengan bunyi senduk kuali yang berperang sesama sendiri.

Tiba-tiba terdengar batuk-batuk kecil di meja sebelah. Dua orang kanak-kanak terbatuk-batuk dan tangannya menggosok mata. Ibu bapa mereka sedang enak menjamah makanan.

Saya perhatikan meja di hadapan mereka. Ada sekumpulan lelaki [muda], menghisap rokok sambil makan buah kurma. Hidangan mereka juga belum sampai.

Tiba-tiba juga, saya rasa ada bendalir hijau mengepung jiwa. Saya akan bertukar jadi hulk kah?

KOMA

“Cik..boleh tanya?” saya menyapa cik pelayan yang dalam sesak-sibuknya itu.

“Ya, nak tambah hidangan?” tanya cik pelayan.

“Tidak. Saya minta hidangan lelaki-lelaki di meja hadapan itu dibuat dahulu. Saya tidak apa. Saya mengalah,” jawab saya.

Cik pelayan yang berkebaya songket pendek warna coklat dari jenis kain Sutera Thai itu agak terkedu.

Saya menyambung lagi dengan suara yang agak kuat, “saya sangat kasihan melihat mereka yang sangat lapar sehingga asap pun mereka telan. Tolong cik ya…buatkan hidangan mereka dahulu. Saya sanggup tunggu dan mengalah untuk hidangan saya.”

“Lagipun, kasihan juga dengan kanak-kanak yang terbatuk-batuk di sebelah saya ini. Takkan kerana orang lain, paru-paru mereka pula yang pecah,” sambung saya yang saya harap dapat mematikan pinga cik pelayan.

Cik pelayan terus ke dapur.

Lelaki-lelaki perokok juga terpinga dengan suara rasa saya.

Saya senyum dan menjamah kurma kedua yang terhidang di meja.

Advertisements