_MG_5758

“Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi. Beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.”

Kata-kata, atau saya kira mungkin juga hadis yang menjadi hiasan mural di dinding-dinding sekolah dahulu. Dan sehinga kini masih dijadikan kayu ukur untuk masyarakat Islam menyeimbangkan hal-hal dunia dan akhirat.

KOMA

Andainya kamu tahu esok tiada bagi kamu, apa yang harus kamu lakukan hari ini?

Meminta maaf dengan kawan-kawan dan sanak-saudara?

Makanya kamu, harus mula membuat satu senarai nama kawan-kawan dan sanak-saudara dengan nombor telefon terkini. Gunakan segala kemudahan yang ada – blog, facebook, YM atau apa sahaja, agar mudah untuk kamu meminta maaf dan memberitahu mereka bahawa kamu tidak akan bernafas lagi esok pagi.

Atau mula memikirkan banyak mana impian yang telah dicapai dan banyak mana impian yang tak tercapai. Buatlah mana yang penting sementara esok tidak menjengah. Esok yang mungkin tiada nafas lagi buat kamu.

Makanya, kamu yang yakin hidup masih panjang, gunakan masa ini untuk menyenaraikan segala impian dan tandakan dengan simbol tertentu bagi impian kamu yang telah tercapai atau belum.

Impian itu penting kawan. Supaya kita punya sebab untuk bangun esok pagi menyelesaikan dan melaksanakan apa yang diimpikan. Sila buat senarai sekarang.

Apa lagi?

Ibadah?

Bukankah sedari lahir kamu tahu hal ini yang tidak boleh dilakukan sesuka hati? Makanya, bagi yang yakin hidupnya masih panjang, ubahlah corak hidup dan mula berjalan menelusuri jalan yang diperintahkan oleh-Nya.

Untuk mereka yang tahu esok tiada untuknya, buatlah apa yang kamu rasa perlu kepada-Nya. Mohon ampun dengan taubat yang seikhlasnya. Mendoakan agar diri diampuni. Mengharapkan diri agar diletakkan di kalangan orang yang dikasihi-Nya atau apa-apa sahaja.

Hidup, Insya Allah. Mati itu pasti.

KOMA

Alhamdulillah, masih bernafas pagi ini.

Namun, tetap harus meminta maaf kepada kamu. Dan juga bersedia dengan ikhlas memaafkan kamu, kawan-kawan yang banyak menemani saya.