DSC_0380

Kadang tidak semua soalan perlu jawapan. Ini hal yang pernah saya sebut-sebutkan dalam beberapa entri di blog ini.

Ya, tidak semua soalan perlu jawapan. Itu untuk hal yang lain, kawan.

Hari ini, saya kira semua soalan yang melingkungi diri telah saya sediakan jawapannya.

Ada rasa puas walaupun agak cuak sedikit dengan keputusan atau kesan jawapan itu kelak.

Insya Allah, doa dan usaha. Pesan kawan-kawan yang saya hargai. Terima kasih kawan-kawan.

KOMA

SESI 1 – Ujian bertulis yang saya duduki pagi tadi masih terkesan di kepala. Berbayang-bayang soalan yang perlu saya sudahi. Menyunting manuskrip ilmiah dan karya kreatif. Walaupun hanya dua mukasurat, ianya soalan yang agak ragu-ragu saya sudahi. Ada banyak alasan di sini. Bahagian kedua lebih kepada soalan merenung diri sendiri. Genre buku yang bagaimanakah yang anda minati?

Telah berjawab semua dan Alhamdulillah, saya melepasi soalan-soalan sesi pertama ini.

SESI 2 – Gementar menghantui. Jumpa kawan-kawan. Katanya soalan biasa-biasa sahaja. Saya meminta hati agar jangan terlalu cepat mengalah. Meminta jantung juga agar jangan terlalu laju berlari. Ia menyesakkan. Pelbagai bentuk soalan diajukan. Saya kira agak banyak kali juga saya menghadapi situasi begini sebelum ini. Entah kenapa kali ini agar gemuruh. Alhamdulillah, setiap soalan tidak dibiarkan tanpa jawapan. Dan saya kira jawapan yang diberi bukan jawapan main-main.

Semoga segalanya baik.

Keputusan ditangan tuan hamba.

Hamba mengikut sahaja.

KOMA

Sehabis sesi soal-soal dan jawab-jawab, saya mendatangi kawan-kawan yang baharu dikenali. Seperti biasa ada soal-soal dan jawab-jawab yang agak biasa dan luar biasa.

“Awak ada blog bukan?” Soal kawan itu.

Saya agak terkejut. Apatah lagi apabia dia menyebut hal-hal yang pernah berlaku dalam blog saya – saya berura-ura mahu menutup blog.

Saya tanyakan pada dia, bagaimana dia boleh mengecam saya. Tentunya ini soalan saya yang kurang akal setelah diketahui yang saya menampal beberapa gambar saya di blog, Facebook juga Goodreads.

Maka perbualan-perbualan seterusnya memasuki fasa saling kenal-mengenali dan cerita-cerita yang berkait-kait.

“Nak tanya sikitlah. Apa makna kata ‘KOMA’ dalam entri awak itu? Siap huruf besar dan bold lagi,” tanyanya lagi, yang membuat saya ter ‘erkkk’.

Maka saya jelaskan pada beliau dengan panjang lebar bagi menjawab soalan-soalan beliau itu.

Pendapat dia, sama seperti apa tujuan saya menghadiahkan KOMA kepada pembaca. Ya KOMA itu bagai tembok yang terpaksa kamu hadapi setelah kamu berlari di atas huruf-huruf yang saya susun. Berehatlah setelah KOMA.

Hari ini, memang hari saya menjawab soalan. Dan ia memang untuk hal yang ini. Perlu jawapan untuk soal-soal begini.

Advertisements