DSC_0257

Barisan pemenang HSBI bersama YB Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan kepimpinan DBP serta pihak penaja semasa Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 yang bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.

PERMULAAN

“Kata orang, ilmu yang tidak diamalkan umpama pohon tidak berbuah,” jelas saya kepada adik.

“Eh, apa pula. Pohon, jika tidak berbuah, masih boleh menjadi manfaat kepada manusia. Kiranya pohon mempelam yang mandul di belakang rumah kita itu tiada manfaatkah kakak?” balas adik yang kadang memang bijak berfikir.

Saya mengiyakan kata-kata adik. Pohon mempelam itu, menjadi tempat burung melepas lelah, membuat sarang dan berteduh dari hujan. Pohon yang mandul itu juga, menjadi teduhan kami adik-beradik kala berpetang dengan jemput-jemput pisang, di bawahnya yang tersedia satu pangkin.

Pohon itu, walau tidak berbuah, ia meredup dan menyegarkan mata kami.

Harus fikir perumpamaan lain yang berkaitan dengan ilmu yang tidak diamalkan.

KOMA

Hadiah Sastera Berunsur Islam. HSBI.

Hari ini menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Berunsur Islam. Seramai 12 pemenang telah dirai. Senarai nama pemenang boleh sahaja berkunjung ke ujana Nisah Haron.

Hanya dua genre dipertandingkan. Puisi dan cerpen, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang meletakkan genre novel, drama pentas dan drama televisyen dalam pertandingan ini. Jika hal ini disebabkan kekurangan dana, maka badan-badan Islam yang selama ini memperjuang kemaslahatan masyarakat Islam harus berganding bahu dengan Yayasan Pendidikan Islam bagi mengangkat sastera sebagai medium dakwah yang berkesan.

Dengan terbentuknya satu pertandingan begini, maka masyarakat memandang bidang sastera sebagai bidang yang sama popular dengan kegiatan seni yang lainnya seperti berlakon dan menyanyi. Hal ini juga seterusnya meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa sastera itu luas bukan hanya sekadar terlingkung dalam bidang penulisan cerpen dan puisi sahaja.

Mengadakan semula genre novel, drama pentas dan drama televisyen berserta puisi dan cerpen yang diadakan saban tahun memungkinkan kita memperkaya karya sastera dan seterusnya mengangkat sastera di mata umum.

Berbalik kepada HSBI yang diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka pula, saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Saudara Rozlan tentang kesan dan impak HSBI yang harus dilaksanakan dalam bentuk antologi seperti yang berlaku kepada Hadiah Sastera Karya Utusan (HSKU). Namun, itu semua perlukan gerak kerja yang bukan main-main.

Saya berharap, keupayaan penulis, penerbit dan penaja memungkinkan sastera diangkat ke tempat yang sepatutnya terutama sastera berunsur Islam yang akan membantu kerajaan dalam menangani isu-isu kebejatan sosial masyarakat. Tidak dinafikan bahawa penulisan dan karya banyak mengubah manusia dan masyarakat ke arah yang lebih baik.

Di sinilah, maka saya kira penulis, penerbit dan pembaca akan merasa betapa manisnya buah yang di hasilkan oleh pohon yang ditanam dengan limpahan ilmu dan kudrat yang bukan sedikit itu.

PENUTUP

“Abah mahu tebang pohon mempelam dibelakang rumah,” sahut abah ketika saya tanyakan mengapa dia membelek-belek mesin gergaji pemotong pokok.

“Jangan abah. Nanti nak baca buku di mana? Kalau ibu buat cempedak goreng, kan bagus dapat makan di bawah pohon itu ramai-ramai. Juga sangat kasihan dengan burung-burung yang mula membuat sarang menjadikan pohon itu tempat menyambung generasi,” jawab saya dengan rasa bimbang sekali.

“Baca buku di rumah sahaja. Makan cempedak goreng di beranda. Ada angin nyaman sambil menonton televisyen. Burung-burung itu, telah tuhan cipta dengan kemandirian yang tinggi. Mereka tahu mencari tempat berteduh.” jawab abah sambil berlalu meninggalkan saya.

Dengungan kasar mesin gergaji pemotong itu melagukan tangis yang bukan sedikit buat saya dan adik. Ya, kerana pohon itu mandul, abah menebangnya. Kerana pohon itu uzur juga abah melupuskannya kerana bimbang ia menimpa rumah kami.

Pohon yang manakah yang tidak perlu ditebang atau dibuang kalaupun ianya mandul?

“Pohon rasa yang penuh dengan ilmu pengetahuan. Maka rasanya akan menyubur pohon hidup kamu juga buahnya boleh diberi kepada orang lain.”

Itu kata abah. Benar. Ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah. Sekadar menjadi tempat singgahan. Namun masih bermanfaat bukan.

Jadilah pohon. Pohon apa sahaja.