DSC_0252-Edit

“Hey Hamdan, awak baca diari saya ya?” tanya saya kepada rakan sekelas yang sedari awal tahun persekolahan kami seperti kucing dengan anjing. Sebetulnya bukan pertanyaan, tetapi tempelak.

“Mana ada,” nafi dia.

Saya menarik muka masam, dan kami bergaduh lagi dan lagi.

Waktu itu kebencian saya pada dia diterjemah melalui contengan dan ukiran pada pokok berdaun lebar [seperti dalam filem Ali Setan – Ali love Asmidar]. Tetapi saya tulis ‘Hamdan Badak’.

Diari itu masih ada. Masih ada kisah kita, Hamdan. Juga tentang kawan-kawan yang lain. Lily Teoh, Aru, Lela, Gee, Syam, Zura, Midah, dan semua.

KOMA

Saya suka menulis dengan jemari menggunakan pen atau pensil. Selalunya pen. Tetapi kadangkala, saya lupa di mana saya letak pen. Beg saya besar, ada banyak kocek dan bahagian. Mana sempat mahu mencari di kala ilham datang menimpa.

Kertas memang sentiasa ada. Nota kecil. Jika tiada saya perlukan tapak tangan untuk mencatit nota.

Tulisan tangan tidak kisah apa rupanya. Cakar ayam, cantik-cantik, serong tepi sebelah kanan atau serong tepi sebelah kiri. Leper-leper atau bulat-bulat. Kurus-kurus atau gemuk-gemuk. Kadang nampak kemas dan kadang, saya sendiri tak mampu nak baca.

Tulisan biar pelbagai, kata kawan sekolah dahulu. Biarkan tangan menari dengan rentaknya. Kerana setiap rentak ada emosi yang di bawa. Ada cerita. Ada rasa.

Jadinya saya bukan seperti Dahlia, yang sentiasa tekun dengan disiplin dan stail tulisan tangannya. Buku sekolahnya dari muka surat pertama sehingga akhir mempunyai tulisan tangan yang sama. Seperti tulisan yang ditaip menggunakan komputer. Sekejap saya kagum dengan dia.

Menurut tafsiran kawan-kawan, dia seorang yang tegas dan tetap pendirian. Itu kata mereka berdasarkan tulisan tangannya. Memang dia seorang yang tetap pendirian dalam apa jua perkara. Disiplin. Tapi itu bukanlah mengagumkan benar kerana hidup Dahlia tiada kerencaman.

Membosankan, kata seorang kawan lain yang tulisan tangannya sangat cakar ayam. Samsul, seringkali dimarahi cikgu kerana tulisan tangannya sangat tidak kemas dan menimbulkan kesusahan buat cikgu untuk membacanya. Samsul bukan peduli itu semua. Dia tetap dengan ‘cakar ayam’nya. Sampaikan apa yang dia tulis tidak langsung dapat dia baca akhirnya. Tetapi dia kata itu seni. Kami iyakan sahaja. Malas mahu bertekak dengan dia.

Mungkin juga Samsul tahu yang kegagalannya dalam SPM adalah 90% disebabkan tulisan tangannnya.

Saya menjadi penulis dan wartawan. Jika membuat kerja rasmi, saya akan menulis laju-laju. Laju-laju apabila mendengar ucapan tanpa teks. Laju-laju apabila mahu mencatat ucapan itu yang akhirnya bakal diterjemah melalui berita.

Jika menulis diari pula, selalunya ikut rasa dan sedikit akal. Ya, saya punya diari peribadi. Itu bukan lumrah seorang wanita. Tetapi memang saya paksakan diri untuk mengadakan diari yang bertulis tangan. Di dalam diari itu ada jiwa rasa saya. Ada peristiwa, ada suka-suka. Ada segalanya. Memang menulis mengikut rasa. Tulis sahaja selagi punya rasa ketika itu. Ketika ketika yang lain, rasanya juga lain.

Diari itu juga, bukan sahaja ada cerita, malah ia adalah perjalanan hidup yang apabila sampai waktunya kita akan lupa. Dokumentasikan perjalanan hidup bukanlah mudah tetapi tidaklah sesukar mana. Percayalah ia amat membantu bukan untuk mengimbas kenangan lama dan cerita silam tetapi juga untuk menilai sejauh mana kita menjadi manusia dan sejauh mana kita berfikir.

Tulisan dan cerita, saling seiring.

Kerana itu, dalam diari saya punya pelbagai bentuk tulisan. Tulisan tangan tidak kisahlah bagaimana. Cakar ayam, cantik-cantik, serong tepi sebelah kanan atau serong tepi sebelah kiri. Leper-leper atau bulat-bulat. Kurus-kurus atau gemuk-gemuk. Kadang Nampak kemas dan kadang, saya sendiri tak mampu nak baca.

KOMA

A. Samad Said, dalam dokumentari A.Samad Said – Kehidupan Seorang Seniman turut menyimpan diari bertulis tangan saban hari dan tahun. Dan diari itu juga dikatakan disimpan di dalam peti besi di sebuah bank.

Pak Samad bukan sahaja mencatit akal-rasanya di dalam buku-buku yang beliau baca, malah mencatit apa sahaja di dalam diarinya. Uniknya, diari beliau dicatit menggunakan pen yang perlu dicelup dalam cecair dakwat.

Lihat sahaja manuskrip bertulis tangan untuk puisi Al-Amin yang merupakan puisi moden tentang kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Puisi ini merupakan  yang terpanjang dihasilkan di Malaysia. Melihat salinan asal penulisan puisi itu, yang bertulis tangan sangat mengagumkan saya. Memperlihatkan betapa sukarnya menghasilkan sebuah puisi. Bukan kerja main-main.

“Tulisan tangan adalah medium untuk hasilkan karya sastera. Seni tulisan tangan adalah karya seni tersendiri.”

KOMA

“Mana awak tahu saya suka warna hijau dan suka makan kek coklat?” tanya saya pada dia suatu ketika dahulu.

“Ada la,” jawab dia sambil tersenyum.

Tapi saya masam muka, menganggap dia membaca diari saya yang ketika itu tertinggal di bawah meja belajar di sekolah. Kami tidak bertegur sapa lebih kurang beberapa bulan. Akhirnya saya sedar, hal kek dan warna kesukaan itu bukan hanya tersimpan di dalam diari. Saya pernah beritahu dia semasa kami mahu mengadakan jamuan di sekolah.

Catatan hidup saya bukan hanya di tangan, tetapi di bibir juga. Jadinya, saya perlu belajar berfikir sebelum bercakap.

Terlajak perahu la kawan.

Advertisements