bi

“Anak kedua dalam keluarga?” tanya seorang kawan.

“Ya. Mengapa?” tanya saya kehairanan.

“Selalunya, anak kedua dikaitkan dengan unsur ‘penawar dan racun’.” Dia menjawab telus.

Saya kira anak kedua yang digelar ‘angah’ memang selalu menjadi racun dan penawar dalam keluarga. Perangainya pelik-pelik dan kadangkala menghiburkan.Tetapi saya lebih rasakan bahawa dalam diri setiap manusia ada unsur itu. Bukan khusus untuk ‘angah’ sahaja. Benar. Serius.

Saya tidak berapa suka bercerita hal-hal begini yang memperkata tentang sikap dan tingkahlaku melalui bulan kelahiran, kedudukan dalam keluarga, tapak tangan, anggota badan atau apa sahaja.

Terasa peribadi di selongkar.

Tetapi, baik juga mengetahui hal-hal begini untuk tujuan-tujuan tertentu. Contohnya, untuk tujuan berkawan.

Untuk hal-hal lain juga ada racun dan penawar. Ada dalam setiap perkara dan benda.

Makanan, boleh jadi racun dan penawar.

Cinta, ada racun dan penawar.

Penulisan, boleh menjadi racun dan penawar.

Hiburan, kadang menjadi racun, dan kadang menjadi penawar.

Politik, katanya banyak racun dari penawar.

Jiwa, ada racun dan penawar.

Jadinya, jika kamu diracuni, maka carilah penawarnya dalam diri. Pasti ada.

KOMA

Kata ibu, kawan itu umpama racun dan penawar.

Perlu kedua-duanya untuk hidup.

Racun, untuk mengetahui apa yang tidak boleh dalam berkawan.

Penawar, untuk mengetahui apa yang perlu dalam berkawan.

Ya, saya kira kawan-kawan yang ada sekarang ada yang bersifat racun dan ada juga yang bersifat penawar. Saya kawan kesemuanya. Yang ada dua-dua sifat ini, untuk saya belajar dan meneruskan hidup.

Tapi kawan, jika kamu diracuni, ia membimbangkan saya apatah lagi jika saya tidak mampu menjadi penawarnya.

Maaf. Saya juga beku.