d

Kata Rahimin, menurut Jalaludin Rumi, lapar dan cinta menguasai dunia.

Saya fikir, cinta memang menguasai dunia. Dalam cinta, ada suka dan benci.

Rupanya, lapar juga menguasai dunia. Dalam lapar, ada suka dan benci juga.

Saya diam. Sambil membaca Mingguan Malaysia hari ini. Ada puisi saya di dalamnya. Alhamdulillah. Terima kasih kawan-kawan yang banyak mendorong.

KOMA

Saya dikelilingi kawan-kawan dan bukan kawan-kawan yang lapar dan cinta. Dunia mereka, ya, penuh dengan lapar dan cinta.

Laparkan nama. Maka mereka jadi cinta pada nama.

Laparkan perhatian. Makanya, mereka akan cinta pada perhatian.

Dan segala macam lapar yang membuatkan mereka cinta, cinta, cinta.

Dalam kedua-dua keadaan itu, iaitu lapar dan cinta, manusia tidak akan lepas dari rasa suka dan benci.

Semasa suka, apa yang terlihat seperti kena sahaja. Walaupun salah, buat juga.

Semasa benci, tiba-tiba jadi manusia yang sangat berpengetahuan luas. Seolah-olah mendapat hidayah.

Kamu salah. Kamu berdosa. kamu manusia jalang. Kamu akan disumbat ke neraka.

Padahal, seawalnya kamu juga yang berpimpin tangan menuju ke alam dosa itu.

Mengapa tiba-tiba menyalahkan orang lain atas rasa kecewa diri yang membuak-buak kerana jiwarasa terluka?

KOMA

Ini adalah kata-kata saya.

Kata-kata yang pelik tapi benar bagi saya.

Tentang manusia yang kecewa akibat rasa yang tidak memenuhi permintaannya.

Maka manusia itu akan kecewa. Menjadikan suka kepada benci. Menjadi lapar dan cinta sesuka hati.

Berdakwah bukanlah mahu dijunjung sangat. Cuma rasa kecewa.

Saya teringin membenarkan diri yang dianggap salah oleh seorang kawan. Tapi untuk apa? Sebaiknya saya diam dan biar dia terus bercakap.

Betapa pandirnya seorang kamu yang tidak ikhlas dalam ‘hablu minan nas’. Menegur kerana Allah. Sebaiknya.

Advertisements