tahu

“Kenapa tidak kemaskini blog? Di facebook juga sebut nak tutup blog. Kenapa?” tanya seorang kawan maya melalui telefon.

“Saya penat. Semangat lari. Dan saya mahu menyendiri,” jawab saya.

Maka saya hanya duduk di sofa. Memicit-micit alat kawalan jauh sambil fikiran sangat sifar.

National Geographic. Berita Tamil. Atashinchi. Pakar kejelitaan. Warung Kita. Bicara Kifayah. Double Exposure. Kasamh Se. Dan segala macam program di televisyen yang hanya saya baca tajuknya.

Mahu mencari ‘tahu’ yang tidak tahu bukan mudah dan sering penuh syak wasangka.

KOMA

Semangat itu hilang entah ke mana.

Mungkin hati yang tercicir di Bukit Broga.Ya, sengaja dicicirkan tetapi tiada siapa peduli. Saya pun jadi tidak peduli.

Atau jiwa yang tercalar di balik bait-bait puisi luka-merana. Juga rasa yang meronta pada sesuatu – bagai mengejar tetapi kaki terikat di perdu pohon rasa.

Kirakan detik kamu merasa kehilangan walau apa yang hilang ada di hadapan mata. Begitulah saya.

Bayangkan. Menukar rasa suka-cinta kepada ikhlas semata-mata kerana Allah memang payah. Tapi, Alhamdulilah, saya sedang merasa manisnya ikhlas dan insya Allah, saya cuba secara konsisten.

Jadi, usah pura-pura tahu segala sehingga meluka hati kawan yang lain. Juga usah berlagak tahu segala sehingga melempar hukum pada yang tidak bersalah.

Pura-pura tahu padahal sejak awal kamu juga buat-buat tak tahu.

KOMA

“Kesopanan dan kesusilaan itu macam prinsip rukun negara sahaja,” katanya melalui YM. Seorang kawan yang baru dikenali.

“Iya. Comel kan perkataan itu? Siapa agaknya yang mencipta rukun negara. Mesti jiwanya sangat besar terhadap bangsanya.” jawab saya.

“Memamah apam balik dengan penuh kesopanan dan kesusilaan” – ini status Ym saya yang menjadi isu perbualan kami tadi.

Tahukah kamu, kesopanan dan kesusilaan itu besar ertinya. Usah abaikan terutama kepada orag yang lebih makan garam daripada kamu.

Ada perkara yang kamu tidak tahu tetapi beriya ingin tahu dan akibatnya apa yang kamu tahu yang cuma sedikit kamu jadikan isu yang besar.

Benar kata seorang teman penyair. Untuk mencari tahu bukan hal yang senang. Kadang kita tewas. Jika menang pun untuk apa?

“Aku tak mahu apa-apa. Hanya mahu menulis.” Katanya.

“Ya, saya juga.” Dan dalam hati, saya ingin menjadi dia. Sederhana dan sendiri-sendiri itu lebih baik daripada berkawan tetapi menyakiti hati yang lain. Serius, saya akan berdikit-dikit tinggalkan ‘kawan yang pura-pura tahu’.

Ikhlas dalam mencari tahu. Memadai.