colok1

“Awak ingat kita takut dengan awak?” jerit saya suatu ketika dahulu [ketika kecil] bersama seorang jiran lelaki, bermain galah panjang.

Dia melanggar badan saya sehingga saya jatuh. Muka menyembam ke tanah.

“Apa kita-kita?” tanya dia sambil terus mentertawakan saya.

Sambungnya lagi, “kalau tak takut, bangunlah. Lawan.”

Saya bangun dan menendang bahagian paling sulit pada tubuhnya. [Err… bahagian ini imaginasi sahaja].

Waktu itu, dalam blok kawasan perumahan saya, hanya dua keluarga yang berasal dari Johor dan berketurunan Jawa. Kami, terbiasa dan dibudaya dengan kata gantinama diri ‘kita’ yang merujuk kepada saya. Tapi mereka menganggap kata ‘kita’ itu pelik.

Apapun, kami rapat dengan semangat kekitaan, walaupun jarak rumah jauh-jauh.

Sekarang, bumbung kamu lantai saya dan begitu seterusnya, masih belum mampu memupuk semangat kekitaan.

KOMA

Kata Rahimin Idris, dia lebih suka guna kata gantinama diri ‘kita’ dalam karya. Sebab ‘kita’ mendekatkan yang jauh.

Dan ‘kita’, terasa lembut dan manis. Untuk tujuan kebersamaan.

Tetapi, semasa menteri-menteri kita memberi ucapan, kerapkali saya amati mereka guna kata gantinama diri ‘kita’ untuk menjelaskan sesuatu yang tidak berkaitan dengan orang lain.

Contohnya, “Kita akan pastikan PPSMI diteruskan kerana ia membawa agenda negara ke arah kemajuan di peringkat lebih tinggi.”

Kita, dalam ayat di atas tidak betul dari aspek konotasi. Juga kesan kepada pendengar. Kerana isu yang dibawakan tidak disepakati bersama rakyat dan pemimpin. Oleh hal yang demikian, lebih baik pihak yang berkenaan guna perkataan ‘kami’.

Untuk rancangan dan agenda mereka [pemimpin negara] yang tersendiri, guna kata ganti nama diri ‘kami’. Bukan ‘kita’.

Jika saya silap, betulkan.

KOMA

Mengemaskini fail artikel-artikel.

Artikel saya yang tersiar di laman web YADIM mencecah 57 buah sedari mula saya bekerja, sehingga kini [tidak termasuk lima buah artikel yang tidak kedapatan di laman web berkenaan kerana kebobrokan sistem pada laman web berkenaan pada bulan Mei 2008].

Kebanyakan artikel saya menggunakan kata ‘kita’ untuk mengajak pembaca sama-sama memikirkan bahawa apa yang saya tuliskan ada kaitan dengan diri masing-masing. Merujuk peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan.

Namun, sejauh mana kamu yang membaca terkesan dengan artikel ‘kita’?

Tahun ini kenapa artikel ‘kita’ cuma ada 3 sahaja setelah 2009 sampai ke bulan Jun? Sepatutnya ada err… [6 x 4 = 24]. Ya, 24 artikel.

Kenapa jadual penulisan ‘kita’  semakin teruk pada tahun ini?

Mungkin kerana kita terlalu terikat dengan teori.

*Ini adalah entri lama yang baru diposkan hari ini. Malas mahu membuat entri baru akibat jiwa yang tiba-tiba naik menyampah dengan manusia yang suka bercakap dan bertindak mengikut teori. Teori hanya mengurung dan tidak membebaskan kita untuk berfikir. Cukuplah okey!

*Ini juga adalah entri malas-malasan kerana tidak sabar menunggu Sabtu dan Ahad yang insya Allah akan menggembirakan hati saya.